
Laporan dan foto: M Zakry Chan (Melaka)
MELAKA, 1 Feb (Malaysiaaktif) – Lebih 2,000 jemaah menunaikan solat sunat gerhana bulan di Masjid Selat Melaka, disini, semalam.
Jabatan Mufti Negeri Melaka dengan kerjasama Majlis Agama Islam Melaka dan Jabatan Agama Islam Melaka telah mengadakan solat gerhana bulan dan cerapan gerhana penuh yang bermula pada pukul 6.30 petang hingga 12.00 tengah malam.
Pegawai Takmir Negeri Melaka, Datuk Abdul Rahim Khaliq Al-Hafiz berkata dalam padangan Islam, kehadiran gerhana adalah cara Allah untuk menunjukkan kekuasaanya kepada umat manusia.
“Nabi Muhammad bersabda apabila Allah memberi rasa takut kepada hambanya dengan tanda-tanda berupa gerhana maka bila kamu melihatnya segeralah berzikir, berdoa, bersedekah dan memohon keampunan,” ujarnya.
Turut bersama menunaikan solat sunat gerhana bulan, Razali Sagap, 58, berkata umat Islam dituntut menunaikan solat sunat gerhana yang hukumnya sunat muaakad.
“Syukur hari ini kita dapat lihat rata-rata masjid mengadakan solat sunat gerhana seperti yang dilakukan di zaman Rasullulah SAW,” ujar Razali.
Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Datuk Othman Muhamad, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Roslan Ibrahim, Mufti Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Halim Tawil, dan Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka, Md. Azhan Samat.
Tiga fenomena serentak pada bulan iaitu Supermoon, Bluemoon dan Bloodmoon dikenali sebagai ‘Super Blue Blood-Moon‘. Fenomena ini terakhir berlaku 152 tahun lalu iaitu pada 31 Mac 1866.