
Laporan : Idris Sani Saberun / Foto : Jeffren Malaning (Sabah)
KOTA KINABALU, SABAH, 27 Feb. (Malaysiaaktif) – Sikap pemimpin tidak berpegang kepada prinsip antara punca pengundi beralih sokongan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13 yang lalu.
Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) merangkap Menteri Tugas-Tugas Khas di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Teo Chee Kang berkata, senario kini pengundi semakin bijak memilih dan menilai parti mana yang mampu mentadbir negara.
“Keadaan ini menunjukan satu perkembangan positif kepada Barisan Nasional dan kita yakin mampu mengulang kemenangan pada PRU ke14 di seluruh negara khususnya di Sabah.
“Pengundi yang pernah menyokong parti pembangkang sebelum ini merasa kecewa kerana pemimpin yang diharapkan membawa perubahan sanggup bekerjasama dengan sesiapa sahaja demi kepentingan politik seterusnya menggadaikan prinsip yang mereka pegang selama ini.
Katanya semasa ditemui media pada Rumah Terbuka Tahun Baru Cina LDP di Dewan Hakka Teluk Likas pada Ahad.
Tambah beliau, sentimen mempengaruhi pengundi dengan memainkan emosi seperti mana yang sedang berlaku di Semenanjung turut dimainkan di negeri ini termasuk Sarawak.
Katanya lagi, pada masa sekarang teknologi komunikasi yang canggih mampu menularkan emosi dan sentimen pengundi di sana bagi menggambarkan kegagalan pentadbiran kerajaan.
Teo menjelaskan, walau apa pun sentimen yang dimainkan pembangkang ia nya tidak mencerminkan identiti sebenar kerajaan, contohnya sambutan tahun baru cina hari ini kehadiran pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) jelas menunjukkan kekuatan solidariti yang ada pada parti BN.
“Dengan kekuatan ini, semua parti komponen BN telah bersiap sedia berhadapan cabaran PRU14 yang akan di umumkan Perdana Menteri pada bila-bila masa, ” katanya.
Sambutan majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Dr. Juhar Mahiruddin dan Toh Puan Dr. Norlidah R.M. Jasni.
Keberangkatan tiba Tun Juhar dan Toh Puan Norlida di sambut Presiden LDP, merangkap Menteri Tugas-tugas Khas di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Teo Chee Kang dan Isteri, Datin Seri Panglima Grace Ong Juang @ Grace Teo.
Seramai lebih 2,000 masyarakat pelbagai kaum sekitar Bandaraya Kota Kinabalu menghadiri majlis tersebut.

Teo Chee Kang menyampaikan cendera kenangan kepada Musa sambil disaksikan Faridah (enam kanan), Grace Teo (lima kanan) dan Ahli Majlis Tertinggi LDP.
Para tetamu turut disajikan dengan makanan tradisi serta beberapa persembahan tarian kebudayaan Cina dan nyanyian oleh artis-artis tempatan.
Turut hadir, Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman dan isteri, Puan Sri Faridah Tussin; Menteri Luar Negeri, Dato’ Sri Anifah Aman; Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Yahya Hussin; Menteri Pelancongan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun; Pengerusi Perhubungan Parti Gerakan Sabah, Datuk Gordon Leong Vui Cheung; Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Yeo Boon Hai dan Konsul Jeneral Negara China di Sabah, Liang Caide.