
LAPORAN & FOTO: Zaidi Jamin (Sabah)
KOTA KINABALU, 04 Mac (Malaysiaktif) – Lebih 1000 peserta dari pelbagai lapisan masyarakat menyertai larian amal sempena sambutan hari pendengaran sedunia (World Hearing Day Run) di Taman Rekreasi Perdana Park, Tanjung Aru pada sabtu.
Larian amal sejauh tujuh kilometer tersebut turut mensasarkan sumbangan dana daripada orang ramai yang menyertai larian tersebut bagi membantu kanak-kanak yang mengalami masalah pendengaran dan pertuturan.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) Datuk Dr. Christina Rundi berkata, program larian amal ini adalah bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat berkaitan masalah pendengaran dan pertuturan di kalangan kanak-kanak di negeri ini.
“Progam anjuran Unit Audiologi dan Terapi Pertuturan dengan kerjasama Persatuan ORL, Audiologi dan Terapi Pertuturan (GOASK) ini turut mensasarkan kutipan dana sumbangan bagi membantu kanak-kanak terbabit,”katanya.

Christina turut melawat dan menerima taklimat berhubung masalah pendengaran dan pertuturan setiap tapak pameran.
Christina berkata demikian semasa merasmikan larian amal berkenaan selepas melakukan lepasan para peserta larian seawal pukul tujuh pagi.
Tambahnya, program amal yang dianjurkan ini mampu membuka ruang dan pengetahuan kepada masyarakat khususnya kalangan ibu bapa agar lebih peka terhadap tahap pendengaran dan pertuturan anak masing-masing.
“Sebagai makluman kepada Ibu bapa masalah pendengaran boleh dikesan seawal usia bayi lagi.
“Jika ibu bapa mengesyaki anak-anak mengalami masalah pendengaran atau pertuturan segera hubungi klinik kesihatan berdekatan untuk mendapatkan perkhidmatan audiologis,” ujarnya.
Jelasnya lagi, kepekaan ibu bapa berhubung masalah pendengaran dan pertuturan anak-anak adalah amat penting.

Peserta bersama keluarga turut sama menjayakan program larian amal Hari Pendengaran Sedunia tersebut.
“Lebih awal masalah pendengaran dikesan, lebih awal intervensi dan rehabilitasi dapat diberikan,” jelas Christina.
Sementara itu, Pengarah Hospital Queen Elizabeth (HQE) Dr. Heric Corray yang hadir sama menyertai larian berkata, sambutan masyarakat terhadap program larian amal yang di anjurkan amat memberangsangkan berpandukan bilangan peserta yang mendaftar dan melibatkan diri dalam larian amal tersebut.
“Lokasi larian lebih tertumpu di sekitar laluan jalan menuju ke Sekolah Menengah Kebangsaan La Salle dan Sekolah Menengah Kebangsaan Stella Maris, jalan menuju ke Lapangan Terbang Terminal 2, termasuklah di sepanjang Pantai Tanjung Aru sebelum menuju di lokasi penamatan larian di Perdana Park,”ujarnya.
Heric berkata lagi, setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua yang terlibat.
“Saya yakin sambutan masyarakat dalam penganjuran larian amal ini sedikit sebanyak mampu membantu pihak hospital mengumpul dana membantu pesakit yang mengalami masalah pendengaran dan pertuturan termasuklah kos rawatan dan penyelengaraan peralatan berkaitan, jelasnya.
Pelbagai aktiviti termasuklah pertandingan mewarna kanak-kanak, senaman kesihatan, cabutan tiket bertuah serta pameran berhubung kesedaran masyarakat terhadap masalah berkaitan pendengaran dan pertuturan diadakan sempena program larian amal ini.
Hadir sama Ketua Jabatan Otorinolaringologi HQE, Dr. Halimuddin Sawali, pegawai-pegawai kanan hospital, warga Jabatan Kesihatan Negeri serta warga klinik kesihatan sekitar Kota Kinabalu.
– MRR