
Laporan: Idris Sani Saberun/Foto: Saiful Rahman Sabri (Sabah)
KOTA BELUD, SABAH, 05 Mac (Malaysiaktif) – Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) diwujudkan bagi melonjakkan kualiti sistem pendidikan.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said berkata kerajaan sentiasa menekankan kepentingan pendidikan dan melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan rakyat mempunyai akses kepada pendidikan.
“Secara purata perbelanjaan pendidikan Malaysia adalah dua kali ganda berbanding perbelanjaan negara ASEAN lain.
“Ini menunjukkan kerajaan sekarang begitu menitikberatkan bidang pendidikan untuk rakyat Malaysia, walaupun terdapat pandangan negatif daripada pihak tertentu yang sentiasa mengkritik usaha murni kerajaan dalam membantu rakyat,” jelasnya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Bantuan Persekolahan dan Tuition Rakyat anjuran Yayasan Bank Rakyat di Dewan Tun Said pada Sabtu.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Usukan turut memuji usaha Yayasan Bank Rakyat (YBR) dalam membantu masyarakat, khususnya golongan kurang berkemampuan, untuk maju dalam pendidikan.
“Usaha YBR ini diharap dapat membantu kerajaan dalam usaha membentuk ekosistem pembelajaran abad ke-21 bagi memastikan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan tercapai.
“Malah, kerajaan turut menyediakan Bantuan Khas Awal Persekolahan 1Malaysia sebanyak RM100 yang memanfaatkan3.2 juta murid.
“Kemudahan yang disediakan kerajaan adalah hasil kestabilan politik yang membolehkan kerajaan meneruskan agenda membangunkan dan memajukan negara,” tambahnya.

Salleh merakamkan gambar kenangan bersama-sama guru-guru, ibu bapa dan para pelajar sekolah rendah sekitar Kota Belud.
Pada majlis tersebut, 250 murid sekolah rendah dalam Parlimen Kota Belud menerima bantuan RM100 dan beg sekolah menerusi YBR manakala 10 orang pelajar sekolah rendah juga terpilih untuk menerima bantuan Tuition Rakyat sebanyak RM1,440 untuk setiap sekolah.
Turut hadir Pengerusi YBR Tan Sri Shukry Mohd Salleh, Pemangku Pegawai Pelajaran Kota Belud, Anjan Rudin; Pengurus Besar Yayasan Bank Rakyat, Norasyikin Saharudin dan Pengurus Besar Bank Rakyat Wilayah Sabah, Saini Hammade.
– MRR