
Laporan dan foto : Mohd Baharruddin Mohamad & Cassidy Lisut (Sarawak)
KUCHING, 10 Mac (Malaysiaaktif) – Sekolah jalinan kerjasama strategik antara Cahya Mata Sarawak Berhad, Ibraco Berhad dan HELP Education Services akan menawarkan kedua-dua kurikulum kebangsaan dan antarabangsa untuk pelajar peringkat tadika, sekolah rendah, sekolah menengah serta A-Level menjadi suntikan baharu kepada pendidikan negeri ini.
Menurut Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud, kemajuan pendidikan merupakan satu keutamaan kerana ia memainkan peranan penting dalam pembangunan negeri mahupun negara.

RASMI – Tun Taib merasmikan Tunku Putra-HELP International School sambil disaksi oleh kan oleh Len Talif (kiri), Micheal Manyin (dua kiri), Syed Ahamad, Chew Chiaw Han dan Paul Chan.
“Saya sangat gembira kerana Cahya Mata Sarawak Berhad sekali lagi melakukan tugas baik dengan mewujudkan sebuah lagi sekolah swasta di Kuching.
“Kerjasama di antara tiga buah organisasi yang memiliki reputasi ini menjanjikan penyampaian pendidikan dan kemudahan berkelas dunia dengan yuran berpatutan kepada rakyat Sarawak,” katanya ketika majlis perasmian sekolah tersebut di sebuah hotel di sini semalam.
Sementara itu, Pengarah Urusan Ibraco Berhad, Datuk Chew Chiaw Han berkata menerusi Sekolah Antarabangsa Tunku Putra-HELP ini, kecemerlangan dalam pendidikan dapat disemarakkan.
“Program Antarabangsa Sekolah Antarabangsa Tunku Putra-HELP akan menawarkan Kurikulum Pendidikan British bagi mendapatkan kelayakan A-Level CIE dan IGCSE yang diiktiraf dengan meluas dan diterima oleh university-universiti terbaik di dunia.

Taib Mahmud menerima cenderamata setelah merasmikan Sekolah Antarabangsa Tunku Putra-HELP di sini semalam.
“Manakala Program kebangsaan akan menawarkan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) Matematik dan Sains selanjutnya dilengkapi dengan sukatan pelajaran Singapura dan Britain,” katanya.
Tunku Putra-HELP International School ini akan memulakan pengambilan kumpulan pelajar yang pertama pada Januari 2020 di kampus baharunya dengan kapasiti yang dapat menampung 1,500 orang pelajar.
Turut hadir, Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Negeri Sarawak Datuk Seri Micheal Manyin Jawong, Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Cahya Mata Sarawak Berhad, Datuk Syed Ahamad Alwee Alsree.