Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeNegeri Sembilan

Veteran ATM Terus Dibela

By 10 Mac 2018Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan : Noorshazana Shaadan (Port Dickson)
Foto : Tentera Darat Malaysia

PORT DICKSON, 10 Mac (Malaysiaaktif) – Kerajaan melalui Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa peka dan terus mencuba untuk menentukan kesejahteraan dan kebaikan yang dapat diberikan kepada veteran.

Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Datuk Sri Zulkiple Haji Kassim, berkata pelbagai inisiatif telah dilakukan untuk membela nasib veteran, antaranya dengan penubuhan SASaR.

Zulkiple turut menyampaikan bantuan kepada balu veteran.

Zulkiple turut menyampaikan bantuan kepada balu veteran.

“SASaR atau Satu Anggota Satu Rumah merupakan antara inisiatif perumahan yang dapat dinikmati oleh veteran yang boleh dimohon melalui Cawangan Pembangunan, Markas Tentera Darat (TD).

“Ketika pelancaran SASaR, kita telah menerima sambutan yang baik dan kini terdapat 3,500 unit rumah dan 6,700 permohonan daripada anggota dan veteran ATM,” ujarnya ketika sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada veteran ATM Peringkat Negeri Sembilan di sini, semalam.

Program seperti Satu Anggota Satu Rumah (SASaR), Skim Anuti Veteran (SAVe), Transformasi PERNAMA dan Pelan Transformasi Perkhidmatan Kesihatan ATM antara inisiatif yang diberikan kepada veteran ATM.

“Kerajaan sedar akan tuntutan dan keperluan veteran ATM yang belum dapat dipenuhi yang mungkin kerana terdapat beberapa kekangan tertentu. Oleh itu, kita telah mewujudkan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) yang ditubuhkan khas untuk menangani isu yang berkaitan dengan veteran.

Siti Rahamah berbangga menjadi sebahagian daripada warga ATM.

Siti Rahamah berbangga menjadi sebahagian daripada warga ATM.

“Keprihatinan kerajaan yang tidak pernah mengabaikan veteran ATM turut disalurkan melalui 10 Blueprint Veteran 1Malaysia. Antaranya Bantuan Bakti Negara (BBN) yang diberikan kepada bekas tentera yang tidak berpencen,” tambahnya lagi.

Zulkiple turut berkata penganugerahan pingat ini merupakan sebahagian dan simbolik pengiktitirafan dan pengorbanan serta khidmat bakti veteran ATM secara sukarela dalam berkorban untuk mempertahankan negara.

“Segala kemakmuran dan kemajuan negara yang dinikmati oleh rakyat bukan datang begitu sahaja, tetapi ia adalah dari pengorbanan para pahlawan negara,” katanya lagi.

Koperal (B) Siti Rahamah Osman, 58, berkata beliau sebagai pesara tentera amat menghargai penganugerahan pingat ini. Beliau tidak menjangkakan pengorbanannya berkhidmat selama 21 tahun tetap dikenang dan diiktiraf.

“Bukan hanya kerana pingat, tetapi, keringat serta apa sahaja yang saya lakukan hanyalah untuk negara yang tercinta,” kata ibu kepada empat orang cahaya mata ini.

Seramai 188 orang veteran ATM telah hadir bagi menerima penganugerahan PJM ini yang telah diadakan di Auditorium Muzium Tentera Darat, Port Dickson.

Turut hadir, Presiden Persatuan Veteran ATM, Senator Laksamana (B) Tan Sri Anwar Haji Mohd Nor dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV), Haji Abdul Karim Haji Husain.

-SH

Tinggalkan komen anda