Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

BSMM Putatan Perlukan Sumbangan Awam Laksana Kerja Kemanusiaan

By 27 Mac 2018Tiada komen4 minit bacaan

 

 

Laporan oleh: Fauzrina Bulka / Foto: Azman Jumat (Sabah)

 

 

PUTATAN, 27 Mac (Malaysiaaktif) – Ditubuhkan semenjak Januari 2011, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) Daerah Putatan telah melakukan pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan memperoleh pencapaian yang sangat membanggakan.

Pengerusinya, Nanih Abah berkata semenjak penubuhan PBSMM di daerah ini, ia terus berkembang dan menjalankan aktiviti yang berkaitan pembangunan ahli, memberi pelbagai bantuan perkhidmatan kecemasan dan bantuan bencana serta aktiviti-aktiviti kebajikan yang membawa manfaat bukan sahaja kepada anggota malah kepada masyarakat yang memerlukan.

“Memandangkan PBSMM merupakan organisasi sukarela yang tidak berasaskan keuntungan dan mempunyai sumber pendapatan yang tetap, dana yang di peroleh  bergantung melalui sumbangan awam bagi melaksanakan aktiviti dan kerja-kerja kemanusiaan.

“Kami berharap lebih ramai syarikat, organisasi dan orang perseorangan tampil  untuk menyumbang kepada persatuan supaya kami dapat membantu mereka yang memerlukan, tidak kira semasa bencana ataupun kecemasan.

Nanih (dua dari kanan) berharap agar lebih banyak sumbangan diterima agar PBSMM dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik.

Nanih (dua dari kanan) berharap agar lebih banyak sumbangan diterima agar PBSMM dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik.

“Kami turut berharap ada bantuan untuk menyumbang kenderaan atau ambulan kepada kami bagi membolehkan kami memberikan perkhidmatan yang lebih baik dan efektif kepada komuniti di daerah Putatan, ini kerana buat masa ini BSMM daerah Putatan bergantung kepada peminjaman kenderaan bagi melaksanakan pelbagai aktiviti persatuan.

“Ada masanya pihak BSMM Daerah menghadapi masalah tidak dapat memberikan perkhidmatan ambulan dan kecemasan kerana kenderaan Ibu pejabat yang sangat terhad,”jelas Nanih.

Tambahnya juga, buat masa ini BSMM daerah Putatan menjalankan operasi dan mesyuarat di rumahnya atau menumpang di Balai raya Kampung Sailan, justeru mereka turut berharap agar mendapat bangunan khas sebagai pejabat pentadbiran dan pusat menjalankan aktiviti.

Nanih juga memaklumkan bahawa penyumbang yang menyumbang berbentuk kewangan berjumlah RM500 ke atas layak mendapat pengecualian cukai.

Jelasnya lagi, dalam keadaan kekurangan fasiliti yang dihadapi oleh persatuan di daerah, namun pelbagai aktiviti masih dapat dilaksanakan sepanjang tahun lepas. Antaranya seperti Kursus Pertolongan Cemas kepada Pelajar Berkeperluan Khas (OKU).

Ahli-ahli yang banyak membantu daerah-daerah yang terjejas dengan bencana banjir.

Ahli-ahli yang banyak membantu daerah-daerah yang terjejas dengan bencana banjir.

“Kami telah menjalankan kursus pertolongan cemas kepada seramai 100 orang Pelajar OKU di Sekolah Menengah Kebangsaan Tansau Putatan yang bertujuan untuk memberi pendedahan dan latihan kepada mereka berkaitan bantu mula yang perlu dilakukan sekiranya berlaku kecederaan atau kecemasan di sekolah mahupun di rumah.

“Kami turut menjalankan aktiviti jualan bendera (Flag Sale) sepanjang bulan Mei di sekitar daerah Putatan, bertujuan untuk mengumpul dana bagi membiayai program dan latihan yang di rancang sepanjang tahun.

“Di samping itu juga dana yang telah dikutip daripada orang awam digunakan untuk membantu mereka yang memerlukan, sebagai contoh membeli barang-barang keperluan asas untuk di salurkan kepada mangsa kebakaran besar yang melibatkan lebih 10 buah keluarga yang terjejas di Kg Ketiau, Putatan pada tahun lepas, “katanya.

Menurut Nanih, sepanjang Tahun 2017 juga BSMM Daerah Putatan telah menjalankan beberapa Kursus Pertolongan Cemas & Cardio Pulmonary Resusitation (CPR) kepada Orang Awam (industri), syarikat dan pelbagai organisasi, berkaitan pertolongan cemas dan CPR.

Kursus tersebut merupakan syarat asas yang telah ditetapkan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (NIOSH) kepada syarikat-syarikat yang mempunyai ramai pekerja atau tempat bekerja yang berisiko tinggi mengalami kecemasan.

Simon (tengah) turut hadir memberi sokongan dalam mesyuarat agung yang diadakan di daerah.

Simon (tengah) turut hadir memberi sokongan dalam mesyuarat agung yang diadakan di daerah.

 

Tambahnya, mereka juga banyak terlibat dalam membantu daerah-daerah yang terjejas dengan bencana banjir seperti banjir besar di Kota Belud dan Beaufort dengan menghantar sukarelawan bagi membantu dalam bentuk tenaga manusia dan kecemasan.

“Pergerakan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah dilahirkan dengan hasrat untuk memberi pertolongan tanpa diskriminasi kepada mereka yang cedera di medan pertempuran dan berusaha untuk mencegah dan meringankan kesengsaraan di mana juga.

“Tujuannya adalah untuk melindungi nyawa dan kesihatan serta hormat-menghormati sesama manusia selain memupuk persefahaman, persahabatan, kerjasama serta kedamaian yang berkekalan di kalangan manusia,”katanya.

Nanih turut berbangga kerana Setiausaha Kehormat BSMM Daerah Putatan, Jerome Conahap telah terpilih bagi mewakili Malaysia untuk mengikuti latihan kepakaran setelah berjaya melengkapkan pra syarat bagi kelayakan menghadiri latihan Regional Disaster Response Team (RDRT) WASH 2017 di Bandung.

“Lebih daripada 20 orang pemohon telah mengambil bahagian dalam pra syarat tersebut dan hanya tiga orang sahaja yang terpilih bagi mewakili Malaysia yang juga di sertai oleh negara-negara lain di seluruh rantau Asia Pasifik.

Jerome Conahap terpilih mewakili Malaysia untuk mengikuti latihan kepakaran.

Jerome Conahap terpilih mewakili Malaysia untuk mengikuti latihan kepakaran.

“Regional Emergency Specialized WASH Training  2017 bertujuan melatih anggota baru dalam menjadi sebahagian daripada anggota WASH RDRT. Selain itu juga Pasukan RDRT ini adalah bertujuan menggalakkan pembentukan kapasiti pengurusan bencana serantau khususnya Asia Pasifik .

“Anggota Palang Merah atau Bulan Sabit Merah daripada pelbagai negara ini dilatih bersama sebagai satu pasukan yang akan dikerahkan dalam masa yang singkat untuk membantu dan menyokong Persatuan Kebangsaan Negara-negara Jiran Serantau khususnya di Asia Pasifik yang menghadapi bencana.

“Seramai 22 orang peserta daripada 10 buah negara rantau Asia Pasifik menghadiri Regional Emergency WASH Training  2017 yang di jalankan selama seminggu pada Sept 2017 yang berpusat di Pusat Air dan Sanitasi Darurat PMI, Jatinagor, Bandung, Indonesia,”jelasnya selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan BSMM Daerah Putatan di balairaya Kampung Sailan Putatan pada malam Ahad.

Hadir sama, Pengarah BSMM Negeri, Simon Chin dan Naib Pengerusi BSMM Negeri, Mohd Saiful Seman / Unit MAMS, PENERANGAN

  • MRR

 

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda