Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Terpukau Keunikan Panorama Padi Bukit

By 2 Mac 2018Tiada komen3 minit bacaan

LAPORAN & FOTO  :   Asmidar Zainol (Sabah)

 

KOTA KINABALU, 02 Mac (Malaysiaaktif) – Jika di Semenanjung Malaysia pemandangan sawah padi merupakan pemandangan biasa bagi masyarakat di sana, di Sabah, pemandangan padi bukit pasti membuat anda terpukau.

Bukan hanya kerana padi yang menguning emas bila sampai masa matangnya tetapi pemandangan lokasi kebun padi berkenaan di tanam pasti membuat anda lebih terpesona.

Penulis dijemput untuk mengalami sendiri pengalaman menuai padi bukit bersama keluarga Dominik Toisin, 47, di Kampung Tomis Lama pada ahad.

Penulis mengambil peluang untuk mencuba menuai padi.

Penulis mengambil peluang untuk mencuba menuai padi.

PERJALANAN

Terletak kira-kira 90 kilometer dari Kota Kinabalu, Kampung Tomis Lama merupakan kawasan berbukit bukau, lokasi penduduk kampung di sekitar Nabalu dan Kiulu menjalankan aktiviti pertanian.

Perjalanan yang memakan masa selama dua jam dari Kota Kinabalu dengan menaiki kenderaan diteruskan dengan berjalan mendaki dan menuruni bukit kira-kira 45 minit sebelum sampai ke kebun keluarga Dominik.

Sepanjang perjalanan kami dihidangkan dengan pemandangan yang sangat memukau dengan landskap bukit bukau yang saujana mata memandang.

Kelihatan padi bukit menguning dikebun keluarga Dominik.

Kelihatan padi bukit menguning dikebun keluarga Dominik.

PEMANDANGAN MEMUKAU

Menurut adik ipar Dominik, Marryan Razan, sekiranya cuaca tidak berawan, penulis pasti dapat melihat Gunung Kinabalu dari lokasi berkenaan walau bagaimanapun, ia tidak menghampakan penulis kerana panorama bukit bukau berkabus cukup menambat hati.

Sepanjang perjalanan ke kebun, dapat disaksikan tanaman nanas dan padi ditanam di tepi bukit ibarat ladang teh di Tanah Tinggi Cameron Highland yang pasti akan menambat hati anda.

Setiba di kebun, penulis disambut mesra dengan sapaan oleh keluarga Dominik memandangkan mereka sedang berkerja mengetam padi ketika itu.

Penulis tidak melepaskan peluang membantu dan merakam gambar mereka yang sedang rancak menyiapkan kerja mereka.

Marryan menunjukkan padi yang telah dikatam.

Marryan menunjukkan padi yang telah dikatam.

BENIH PADI

Menurut Dominik, padi berkenaan ditanam pada Ogos yang lalu menggunakan kaedah tanaman benih padi dari musim sebelumnya.

“Sebelum kami mengetam padi, kami akan mengumpulkan dahulu padi-padi yang sihat dan berisi lebih kurang 10 kilogram untuk dijadikan benih bagi musim menanam selepas ini.

“Sebenarnya, benih padi ini merupakan warisan turun temurun dari keluarga kami yang mana padi jenis Silou ini lebih sedap dan wangi berbanding padi lain.

“Syukur, tanaman tahun ini memang memuaskan dan padi yang telah diproses menjadi beras ini boleh menampung keperluan harian kami sehingga dua tahun lebih,” kata bapa empat orang anak itu.

AKTIVITI ‘MINTABANG’

Sementara itu, isteri Dominik, Julianah Razan, 46, berkata, musim menuai padi merupakan masa untuk berkumpul dengan keluarga.

“Amalan berkumpul dan ‘mintabang’ atau gotong royong menuai padi telah menjadi amalan kami sejak lama dahulu.

Julianah (kiri) dan Dominik (kanan) menuai padi di kebun mereka.

Julianah (kiri) dan Dominik (kanan) menuai padi di kebun mereka.

“Seperti hari ini, ibu mertua, adik beradik, ipar dan anak-anak membantu menyiapkan kerja menuai dan apabila selesai, kami akan berkumpul di rumah bagi jamuan makan tengah hari.

“Lebih meriah dan mencepatkan kerja apabila sama-sama membantu memandangkan padi perlu segera dituai bagi mengelak daripada rosak atau di makan oleh tikus, burung atau tupai,” kongsinya.

Julianah berharap kerja-kerja menanam padi dikebun akan diteruskan oleh anak-anak dan warisnya.

“Biarpun kami tidak menjual padi atau beras ini, saya berharap penanaman padi bukit akan diteruskan oleh generasi seterusnya sebagai sumber makanan mereka.

“Dengan penanaman secara berterusan, anak-anak dan waris saya nanti tidak akan putus sumber makanan walaupun mereka tidak berkerja.

“Selain itu, saya juga berharap agar dapat memperkenalkan penanaman dan proses menghasilkan beras ini kepada negara luar.

“Dengan sektor pelancongan yang pesat, proses penanaman padi dan penghasilan beras bukit secara tradisi dapat diperkenalkan kepada para pelacong, dengan itu secara tidak langsung petani seperti kami boleh menjana pendapatan tambahan selain dapat membawa pertanian padi bukit kepada dunia,” katanya.

CABARAN

Sementara itu, anak sulung pasangan tersebut, Olly Scully Dominik, 17, berkata, cabaran semasa mengatam padi adalah cuaca.

“Sekiranya cuaca panas, memang agak mencabar kerana kita berada di atas bukit dan bahang panas itu memang sangat terasa.

Seramai 10 orang ahli keluarga Dominik bergotong royong menuai padi.

Seramai 10 orang ahli keluarga Dominik bergotong royong menuai padi.

“Tetapi dengan gotong royong bersama keluarga, ia dapat membantu mempercepatkan kerja menuai padi.

“Selain itu, aktiviti gotong royong juga dapat mengeratkan kekeluargaan dan suasana bertambah meriah dengan gurau senda setiap anggota keluarga,” kata Olly yang mula mengikut ibu bapanya sejak berusia tujuh tahun.

 

-MRR

Tinggalkan komen anda