Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Kraftangan Tradisi Imbau Emosi, Memori Sewaktu Kanak-kanak

By 7 April 2018Tiada komen4 minit bacaan

 

Laporan oleh: Fauzrina Bulka/ Foto: Azman Jumat (Sabah)

 

TENOM, 7 Apr (Malaysiaaktif) –  Dia tekun meneliti sejenis beg yang dinamakan Barait. Dibelek-belek dan sesekali tersenyum sendiri. Kemudian bertanya sesuatu pada penjual di dalam dialek suku kaum Dusun yang sukar dimengerti, kerana penulis bukan dari suku yang sama.

Dusia (kiri) melayani Sipitun(kanan) ketika membelak Barait kecil yang sedang dicubanya.

Dusia (kiri) melayani Sipitun(kanan) ketika membelak Barait kecil yang sedang dicubanya.

Berkenalan dengan pengunjung dari Tambunan ini, Sipitun Aidang, 67 merasa gembira kerana mengikut gerak hati mengunjungi pameran kraf dalam Malam Kebudayaan Sepakat Komuniti 1Malaysia Peringkat Daerah Tenom di Padang Pekan Tenom pada Jumaat malam.

Program tersebut adalah anjuran Jabatan Penerangan Daerah Tenom, Komuniti 1Malaysia, Jawatankuasa Keselamatan Dalam Bandar (JKDB) Pekan Tenom dan Tenom Lama serta Pusat Kebudayaan Murut Sabah.

Di tapak itu juga turut disediakan tapak-tapak pameran yang menghimpunkan pelbagai kraftangan, produk dan jualan kepada pengunjung.

Dusia bersama Barait saiz besar.

Dusia bersama Barait saiz besar.

Mengimbau kembali, menurut Sipitun sewaktu kecilnya, beliau sering melihat ayahnya membuat kerja kraftangan yang sama samada untuk kegunaan keluarga ataupun di jual di pasar tamu.

“Bila melihat kembali barangan ini, saya dapat mengimbau semula memori waktu itu,  rasa seronok berada dalam suasana bersama bapa dan ahli keluarga lain berkumpul bersama.

IMG-20180407-WA0029

“Bukan senang untuk berjumpa lagi kraf serupa ini, dengan kehalusan buatannya sebab mungkin anak muda sekarang tidak sanggup menghadap dan menyiapkannya kerana mengambil masa.

“Kalau difikir, rasa rugi juga saya tidak belajar kebolehan bapa ini, kalau tidak mungkin boleh membantu masyarakat supaya kraftangan tradisi ini tidak pupus,” katanya.

IMG-20180407-WA0036

Seorang peniaga kraftangan, Dusia Limbigit, 66 suku Dusun yang berasal dari Kota Belud serius dalam seni kraftangan semenjak 2010.

“Saya mempelajari seni kraf ketika bercuti sementara menanti waktu persaraan. Saya seorang yang tidak suka duduk diam tanpa membuat sebarang aktiviti, dengan itu saya belajar membuat kraf sendiri melalui pemerhatian yang orang di kampung buat.

“Di tambah lagi saya seorang ibu tunggal, maka saya dapat fokus dengan hobi baru ini yang juga merupakan sumber pendapatan selepas bersara,” ujar Dusia.

Menurutnya, dia bangga dapat membawa kembali imej kraf tradisi etnik dusun hingga hari ini agar dapat dinikmati oleh generasi sekarang dan dapat bantu mengimbau memori pada orang lama.

Josly menunjukkan corak Tinongulun yang terdapat pada hiasa Pinakol

Josly menunjukkan corak Tinongulun yang terdapat pada hiasa Pinakol

Seorang lagi peniaga barangan kraf etnik Rungus, Josly Ligon yang berasal dari Kudat berkata beliau merupakan generasi ketiga yang meneruskan legasi perniagaan tersebut.

“Kini kami sudah ada generasi ke empat yang akan meneruskan perniagaan ini dan kebanyakan barang jualan kami adalah hasil tangan ahli keluarga kami sendiri.

“Kecuali jika kami menerima tempahan yang besar contohnya untuk konvokesyen ataupun cenderahati daripada agensi, kami akan mendapatkan bantuan daripada orang kampung.

IMG-20180407-WA0038

“Corak yang terdapat dalam kraf etnik Rungus mempunyai maksud tersendiri, contohnya corak Tinongulun yang berupa dewa padi kerana masyarakat Rungus ketika dahulu tidak beragama,”jelasnya.

Namun begitu menurutnya, banyak corak yang telah diubahsuai di modenkan mengikut peredaran zaman bagi menarik perhatian generasi muda untuk terus mengenakan corak etnik.

Josly turut berharap agar agensi-agensi terlibat dapat mempergiat dan memperkasakan lagi promosi dan bantuan kepada usahawan kraf sepertinya untuk meningkatkan ekonomi mereka.

“Saya bersyukur kerana berpeluang untuk menyertai pameran ini yang disediakan secara percuma kerana ia sangat membantu memperkenalkan kraf Rungus kepada orang luar.

“Kami merasa bertanggungjawab sebagai sebuah etnik Rungus membawa imej kami kerana suku lain juga turut mengenakan kraf kami dalam pelbagai perayaan kerana sudah tidak banyak etnik yang aktif menghidupkan kraf mereka,”katanya.

Tambah Josly, menjadi harapannya dan juga keluarga agar dapat mengekalkan imej kraftangan Rungus agar tidak pupus dan dapat diperkenalkan hingga ke mata dunia.

IMG-20180407-WA0049

Dalam pada itu, Pegawai Penerangan Daerah Tenom, Kenny Thomas berkata program ini diadakan sebagai salah satu pengisian sambutan Pesta Kalimaran Peringkat Negeri Sabah 2018 yang akan dirasmikan pada 9 April di Padang Pekan Tenom.

“Sambutan Pesta Kalimaran di daerah ini dengan konsep ‘Budaya Menyatupadukan Kita’ telah bermula sejak 31 Mac, dengan Program Larian 5K Sihat Dan Cergas serta Sukan Rakyat Kalimaran.

“Pada hari yang sama juga telah diadakan Pertandingan Rekaan Baju Tradisi ataupun yang disebut sebagai Pagugulaan Ra Limpor Ru Murut dan juga upacara Tolak Bala.

“Pelbagai pameran turut disediakan untuk membantu dengan memberi peluang peniaga dan pengusaha memperkenalkan produk masing-masing terutamanya kepada pengunjung luar.

“Daerah Tenom kaya dengan suku kaum, dan suku kaum Murut merupakan suku terbesar di daerah ini, walaupun demikian, daerah ini tidak membelakangkan suku kaum yang lain termasuklah suku kaum Dusun, Melayu dan Cina.

Etnik Cina yang turut membuka pameran dalam karnival tersebut.

Etnik Cina yang turut membuka pameran dalam karnival tersebut.

“Atas inisiatif untuk mempromosi daerah Tenom yang kaya dengan budaya berwarna warni ini, maka Malam Kebudayaan Sepakat Komuniti 1Malaysia ini diadakan,”ujarnya.

Tambah Kenny, program disusun mengikut momentum yang telah di jangka akan memberi impak yang mendalam dan dekat di hati setiap yang menonton program tersebut.

“Maka dengan itu, kita telah memilih agar tarian dan persembahan lagu Murut diadakan sebagai penutup pada persembahan Malam Kebudayaan tersebut.

“Tarian dan lagu Murut pada akhir program sebenarnya lebih memberi kenangan manis dan diingati oleh kira-kira 5000 masyarakat yang datang menonton program tersebut.

“Dengan itu, sama-samalah kita berganding bahu untuk mengekalkan adat budaya dan juga mengambil inisiatif samada secara individu mahupun melalui organisasi untuk mempromosi apa juga adat budaya yang ada di daerah kita di bahagian pedalaman ini tanpa ada prejudis sesama kita,”ujar Kenny.

Karnival anjuran Jabatan Penerangan (JaPen) Daerah Tenom itu mendapat kerjasama daripada Komuniti 1Malaysia, Jawatankuasa Keselamatan Dalam Bandar (JKDB) Pekan Tenom dan Tenom Lama serta Pusat Kebudayaan Murut Sabah.

 

 

  • MRR

 

Tinggalkan komen anda