
Laporan Oleh : Hasmah Hanafi
BANDAR BAHARU, 7 Apr (Malaysiaaktif) – Seramai 15 orang peniaga kecil sekitar Kulim atau Bandar Baharu menerima peralatan perniagaan memasak yang berjumlah kira-kira RM1000 setiap seorang.
Ia sempena Majlis Perasmian Kursus Kemahiran “Quick Win Food Stall” di Kolej Komuniti Bandar Baharu pada jumaat.
Peralatan tersebut termasuklah khemah, meja, dapur, peralatan memasak seperti kuali, besen, senduk, apron dan juga topi memasak.
Menurut Pengarah Kemas Negeri Kedah, Zamri Mohamad, kursus yang dianjurkan oleh Pejabat Kemas Daerah Bandar Baharu dan Kolej Komuniti Bandar Baharu ini mendapat sambutan yang amat menggalakan tetapi hanya 15 orang peserta sahaja yang benar-benar layak dan memenuhi kriteria penganjur.
Peserta kursus mestilah sudah memulakan perniagaan kecil-kecilan dan sudah mempunyai ruang berniaga, ujar Zamri.
Kursus ini berlangsung selama tiga hari bermula 3 hingga 5 April 2018 dengan tenaga pengajar dari Kolej Komuniti Sungai Petani.
Exco Kerajaan Negeri Kedah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi, dan Sumber Tenaga Manusia Negeri Kedah, Datuk NorSabrina Mohd Noor hadir bagi merasmikan penutupan Kursus “Quick Win Food Stall” tersebut.
Dalam ucapan perasmiannya NorSabrina berkata, “peserta-peserta yang terpilih mengikuti kursus ini sangat bertuah kerana mendapat tunjuk ajar dari chef-chef yang hebat”.
Jadi, manfaatkanlah kepakaran memasak tersebut bila berniaga nanti, ujarnya.
Bandar Baharu sudah dikenali dengan produk durian duri hitam dan udang galah, sekarang ini, “kita boleh mula promosi tempat-tempat makanan yang sedap-sedap pula selepas ini,” katanya lagi.
Beliau juga berharap semua peserta-peserta kursus akan menggunakan peralatan perniaagan yang diperolehi hari ini dengan sebaik mungkin untuk tingkatkan pendapatan kerana kerajaan begitu prihatin nasib peniaga-peniaga kecil untuk majukan perniagaan mereka.
Zamri menambah, sebelum ini, peserta kursus hanya diberikan sijil sahaja tetapi ianya telah ditambahbaik dengan perberian peralatan memasak pula.
Ini untuk memberi peluang kepada peniaga kecil ini majukan pernigaan makanan mereka selain kemahiran memasak yang perlu ada.
Salah seorang peserta kursus tunggal lelaki, Hamidun Kamaruzaman yang berniaga kuew teow goreng di Selama berasa gembira dengan peralatan yang diterimanya hari ini.
Saya tidak menyangka sama sekali semua barangan ini kepunyaan saya sekarang ” katanya terharu.
NorSabrina juga telah menyampaikan sijil kepada semua peserta yang telah menamatkan kursus pada hari ini dan juga sempat membuat demo masakan iaitu nasi goreng dan kuew teow kungfu.
– MRR