
Laporan oleh : Siti Yusmila Yusof dan Mahazir Abu Hassan / Foto oleh : Zainaudin Ab. Hamid
BALING, 7 Apr (Malaysiaaktif) – Kampung Dara Sungai Tawar mempunyai penduduk yang berbilang kaum iaitu kaum India, Melayu dan Cina.
Seramai 133 orang penduduk Kampung Dara Sungai Tawar telah menerima Lesen Pendudukan Sementara (LPS) setelah hampir 30 tahun mereka menetap di sini semalam.
Bagi mendapatkan geran penuh, LPS perlu diberikan terlebih dahulu kepada penduduk dan penduduk perlu menjelaskan sejumlah bayaran kepada Unit Hasil, Pejabat Tanah Daerah Baling untuk proses seterusnya.
Mantan Pengerusi JKKK Kampung Dara Sungai Tawar, Abu Hassan Harun, 67 melahirkan rasa syukur apabila penantian selama 30 tahun untuk memiliki gerah tanah hampir berakhir tidak lama lagi.
“Dengan kehadiran pemimpin-pemimpin tempatan hari ini ke kampung ini seakan-akan memberi sinar baharu kepada kami semua dan penantian kami hampir berakhir tidak lama lagi,” ujarnya.
Bagi seorang penduduk, Punusamy Maniam, 57 menyatakan rasa gembira dan berterima kasih kepada Pegawai Daerah Dan Tanah Daerah Baling kerana prihatin dengan nasib mereka di sini.
“Tidak ketinggalan juga, saya amat berterima kasih kepada Datuk Seri Abdul Azeez yang sentiasa turun padang membela nasib kami di sini,” tambahnya lagi.
Majlis penyerahan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) ini telah disempurnakan oleh Pengerusi Eksekutif Yayasan Pembangunan Rakyat Baling, Kedah, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.
– MRR