Skip to main content
Berita TempatanHomeKelantanPutrajaya

Rakyat Bachok Bakal Terima Hospital Baharu

By 6 April 2018Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto : Syed Hisham Shah (Putrajaya)

BACHOK, 6 April (Malaysiaaktif) – Inisiatif pihak kerajaan dalam menyediakan kemudahan terbaik dalam semua aspek termasuk kesihatan membuktikan kerajaan tidak meminggirkan mana-mana pihak.

Pengerusi Mara, Datuk Dr. Awang Adek Hussin, berkata pembinaan Hospital Bachok kini sedang rancak dijalankan bagi menaiktaraf perkhidmatan kesihatan di daerah ini.

Awang Adek ketika sesi dialog berlangsung.

Awang Adek ketika sesi dialog berlangsung.

“Hospital ini sudah melebihi 30 peratus pembinaan, dan apabila siapnya hospital ini nanti, ia akan menjadi pusat tumpuan baharu dan akan meringankan beban di Klinik Kesihatan Bachok yang sedia ada ini.

“Dalam bidang kesihatan, di Bachok ini dalam tempoh dua tahun akan datang apabila siap sepenuhnya nanti akan menjadi hospital yang terbaik di Kelantan.

“Tapak keseluruhan hospital ini seluas 50 ekar, manakala pembinaan bangunan hospital hanya menggunakan 20 ekar sahaja, baki 30 ekar ini akan dibangunkan kemudian,” katanya ketika sesi dialog sempena program sehati@rtm di di perkarangan Pantai Irama, di sini hari ini.

Menurut Awang Adek lagi, hospital ini bukan sahaja akan menjadi hospital daerah malah turut akan dijadikan hospital berkembar Kota Bharu apabila siap dibina nanti.

“Hospital Bachok ini nanti akan menjadi hospital satelit atau hospital berkembar kepada Hospital Kota Bharu kerana kedudukannya yang dekat dengan pusat bandar termasuk fasiliti dan kepakaran terbaik disediakan,” katanya lagi.

Sebahagian daripada pengunjung yang hadir.

Sebahagian daripada pengunjung yang hadir.

Awang Adek turut menggalakkan penduduk setempat untuk beralih kepada ekonomi digital selari dengan peredaran masa.

“Ekonomi digital ini ialah ekonomi masa depan, jadi kita akan mencari satu program khusus kepada generasi muda dalam mempromosikan produk mahupun bakat mereka, maka kita akan berikan tumpuan akan hal ini,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Awang Adek turut mengharapkan agar pembangunan industri dapat dipesatkan agar peluang pekerjaan dapat ditingkatkan.

“Negara perlu kepada pembangunan industri yang boleh membuka peluang pekerjaan terutamanya kepada anak-anak muda.

“Saya yakin industri di Bachok ini akan dapat dirancakkan dengan pelbagai pelan pembangunan pada masa hadapan,” tambahnya di hadapan kira-kira dua ribu pengunjung fiesta.

-SH

Tinggalkan komen anda