
Laporan dan foto : Wee Kim Been (Kota Bharu)
TANAH MERAH, 3 Mei (Malaysiaaktif) – Dikir Barat sememangnya tidak asing lagi dipersembahkan di setiap majlis keraian khususnya di negeri ini. Persembahan ini dilaksanakan secara berkumpulan, yang mana setiap kumpulan terdiri daripada daripada ‘tok juara’, tukang karut serta ahli kumpulan yang di sebut ‘awok-awok’.
Penganjur Persembahan Program Dikir Barat DUN Bukit Panau, Dayang Saniah Awang, 52, berkata setiap bait lirik yang dipersembahkan melalui dikir barat ini, dapat menyalurkan maklumat bermanfaat kepada masyarakat umum.
“Melalui persembahan ini, mesej-mesej mengenai dasar kerajaan dapat disalurkan dengan gaya dan bahasa yang lebih santai,” ujarnya.
Menurut Hamzah Udin, 36, aktiviti seumpama ini seharusnya diperluaskan agar budaya ini terus mekar.
“Anak-anak muda seharusnya digalakkan untuk terus memartabatkan kesenian ini agar ianya terus terpelihara untuk generasi akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, Hafizi Hussin, 29, berpendapat aktiviti sebegini pastinya dapat melahirkan generasi muda yang lebih berfikiran terbuka, optimis dan sekaligus menghindarkan mereka daripada terjebak dalam pelbagai gejala sosial yang tidak sihat.