
Laporan oleh: Asmidar Zainol/Foto: Ahmad Marif (Sabah)
KOTA KINABALU, 31 Jul (Malaysiaaktif) – Hubungan dua hala antara Jepun dan Malaysia khususnya di Sabah akan terus diperkukuhkan demi manfaat kedua-dua negara.
Konsul Jepun di Kota Kinabalu, Hiroko Matsuo berkata, hubungan diplomatik berkenaan sudah lama terjalin iaitu sejak 60 tahun lalu.
“Malaysia khususnya Sabah mempunyai hubungan yang baik dengan kerajaan Jepun dan pada tahun lepas, kita telah meraikan ulang tahun yang ke-60 hubungan diplomatik bagi kedua-duanya.
“Pelbagai program dalam bidang pendidikan, penyelidikan, pertanian, kebudayaan, pelancongan dan sebagainya telah dilaksanakan oleh kerajaan Jepun di negeri ini dan akan diteruskan pada masa hadapan,” katanya.
Tambah Matsuo, kini lebih 400 rakyat Jepun menetap di negeri ini dan hampir 40 ribu rakyatnya datang melancong ke Sabah pada tahun lepas.
Matsuo berkata demikian kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di pejabatnya pada Selasa pagi.
Turut mengadakan kunjungan hormat kepada Shafie ialah Pengarah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Sabah, Maizal Hakiman Nawawi bersama pengurusan tertingginya.
-MRR