Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

Semangat Patriotisme Bukan Bermusim

By 1 Ogos 2018Tiada komen4 minit bacaan

Laporan : Aishah Latip / Foto : Jaed Tepus, Chua Choon Sim (Sarawak)

KUCHING, 1 Ogos (Malaysiaaktif) – Tanggal 31 Ogos semakin hampir untuk kita menyambut ulang tahun kemerdekaan negara tercinta. Maka bermula 1 Ogos hingga 16 September setiap tahun adalah bulan kebangsaan. Bertemakan “sayangi malaysiaku” pada tahun ini adalah amat bertepatan dengan kepelbagaian penduduk yang ada dan hidup secara aman damai dan harmoni. Kemerdekaan adalah satu nikmat yang patut kita syukuri. Oleh itu, seluruh rakyat Malaysia mesti menghargai nikmat kemerdekaan ini dengan berusaha ke arah memperkukuh kemajuan serta bekerja keras dalam apa jua bidang yang diceburi supaya negara mencapai taraf negara maju berpendapatan tinggi.

Generasi muda juga perlu diberi kefahaman bahawa semangat patriotik perlu diterapkan dalam kehidupan seharian, pemikiran dan tindakan terutama dalam konteks membela dan mempertahankan kepentingan tanah air. Ia melambangkan pengorbanan serta kebanggaan dengan apa yang dicapai selama ini.

selaras dengan itu Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak dalam menyemarakkan lagi bulan kebangsaan dan semangat patriotisme dikalangan masyarakat negeri ini dengan mengadakan Majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Sarawak 2018 yang diadakan pada 7 Ogos ini di Sekolah Kebangsaan Lumba Kuda, Kuching.

Selain itu, Pertandingan Keceriaan Sempena Hari Kebangsaan 2018 turut diadakan bermula pada 1 hingga 31 Ogos 2018. Terdapat 10 buah kategori dipertandingan iaitu bangunan kerajaan, bangunan swasta, kampong (tradisional/baru/cina/ kawasan estet), sekolah menengah, sekolah rendah, taman perumahan, rumah individu, pintu gerbang, anjung komuniti dan IPTA/IPTS. Malah, Pameran MyMerdeka dengan kerjasama Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak bersama Mydin Holding turut diadakan bermula 14 hingga 16 September 2018 yang bakal diadakan di Mydin Mall, Petra Jaya Kuching. Antara usaha-usaha untuk menyemarakkan lagi agenda patriotisme ini turut diadakan Pertandingan Akhir Pidato Kenegaraan 2018 serta Pertandingan Akhir Pengisahan Kenegaraan 2018.

aktiviti dan Kempen Kibar Jalur Gemilang wajar diberi perhatian oleh semua lapisan masyarakat. Sambutan kemerdekaan akan hilang serinya tanpa kibaran Jalur Gemilang. Mengibarkan jalur gemilang wajar dilihat sebagai aktiviti penting di bulan ini. Hal ini amatlah penting sebagai tanda kebanggaan kita kepada negara tercinta dan dengan ini dapat menyemai kecintaan dan penghormatan terhadap bendera kebangsaan yang menjadi ciri penting dalam pembinaan sesebuah negara. Justeru, inilah masanya untuk rakyat Malaysia berbilang bangsa memaparkan semangat patriotik terhadap negara dengan cara mengibarkan Jalur Gemilang sama ada di rumah, di premis perniagaan, di kenderaan, di sekolah, institusi pengajian tinggi dan di taman-taman perumahan sehinggalah ke desa-desa seluruh pelosok tanah air. Ia bukan paksaan, tetapi dilakukan secara sukarela sebagai usaha memeriahkan perayaan kenegaraan ini.

Dalam konteks mendidik generasi muda, aktiviti kibar Jalur Gemilang dapat menerapkan perasaan bangga dan patriotik terhadap negara. Ia sekali gus dapat menjadikan generasi muda kita tahu menghormati dan mencintai bendera. Malah, ia juga perlu lebih banyak usaha dilakukan untuk menerangkan dan menjadikan mereka lebih peka dan menghargai serta menghayati erti sebenar kemerdekaan.

Mendekati seorang pensyarah Politeknik Matang, Mohd Izwan Sharuddin, 30 tahun berkata, “semangat patriotisme bagaikan bermusim. Masyarakat akan sedar dan terasa semangat patriotisme hanya pada bulan kemerdekaan atau hanya pada tarikh 31 ogos setiap tahun. Hal ini disebabkan amalan pemimpin tempatan yang hanya memberi fokus kepada aktiviti kenegaraan pada bulan kemerdekaan sahaja. Katanya, sewajarnya aktiviti-aktiviti ini dibuat berterusan bukan sahaja di bulan kemerdekaan malah seharusnya sepanjang masa bagi melahirkan semangat cintakan negara dan tanah air kepada seluruh masyarakat malaysia.

Tambahan, generasi baru lebih cenderung kepada visual yakni benda yang mereka boleh lihat dengan mata sendiri. Sehubungan itu, aktiviti yang diadakan perlu lebih praktikal dan inklusif bagi semua lapisan masyarakat. Pada masa yang sama perlu dititikberatkan juga berhubung maklumat mengenai perjuangan daripada pejuang-pejuang kemerdekaan yang lepas supaya mereka lebih merasa menghargai negara”, kata Izwan.

Siti Asmah Abang Adenan, 25, berkata agensi swasta perlu memainkan peranan yang sama penting dengan agensi kerajaan agar turut serta dalam menganjurkan pelbagai aktiviti kemerdekaan bagi menyemarakkan semangat patriotisme yang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat. Selain itu, katanya semangat patriotisme yang semakin pudar di kalangan dewasa adalah bergantung kepada diri sendiri kerana semangat patriotisme itu telah dipupuk sejak di bangku sekolah lagi, dan hal tersebut terpulang kepada individu tu sendiri sama ada mahu mempraktikkan atau mengabaikannya.

Siti Asmah

Siti Asmah

Seorang kakitangan kerajaan, Shafiza Morshidi, 39, berkata kempen kibar jalur gemilang ini perlu dibuat secara berterusan dan tidak mengkhususkan pada bulan Ogos sahaja. Sehubungan itu, beliau turut menyeru agar masyarakat sentiasa berfikiran terbuka dan jangan bersikap terlalu mengkritik dengan setiap agenda kerajaan. Malah, sebagai masyarakat perlu sentiasa menyokong dengan aktiviti serta kempen seperti Kempen Kibar Jalur Gemilang bagi menyemarakkan semangat patriotisme.

Shafiza Morshidi

Shafiza Morshidi

Tuntasnya, semangat patriotisme mesti terus disemarakkan dan diperkukuhkan bagi menghadapi cabaran-cabaran baru yang boleh menggugat kemerdekaan dan kedaulatan negara. Semangat patriotisme bukan sahaja penting untuk mempertahan kedaulatan dan kemerdekaan tanah air tetapi juga menjadi obor dan pendorong untuk rakyat terus berusaha gigih membangun dan memajukan negara ini, terutama dalam menjayakan agenda transformasi nasional yang dibawa oleh kepemimpinan negara yang silih berganti.

Kakitangan Awam mula menghias pejabat dengan jalur gemilang

Kakitangan Awam mula menghias pejabat dengan jalur gemilang

-erk

Tinggalkan komen anda