
KOTA KINABALU, 21 Jul (Malaysiaaktif) -Universiti Malaysia Sabah (UMS) diseru membuat pelbagai penyelidikan dan kajian tentang pengangkutan awam di negeri ini.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata penyelidikan dan kajian berkenaan dapat membantu kerajaan negeri menghubungkan antara setiap daerah dengan pantas.
“Saya telah meminta UMS untuk meneliti dan membuat kajian bukan sahaja kepada penggangkutan udara tetapi juga kepada pengangkutan keretapi agar ‘connectivity’ di setiap peringkat negeri Sabah dapat dijayakan,” katanya.
Tambah Shafie, lokasi Sabah yang strategik juga dapat menarik ramai pelancong ke negeri ini.
“Sabah berada di tengah-tengah rantau yang terletak hampir dengan China, Jepun, Filipina, Vietnam dan Hong Kong, sudah pasti kita dapat menarik pelancong ke negeri ini.
“Kita yakin dengan langkah-langkah ini secara tidak langsung akan dapat membantu sektor pelancongan negara yang akan menjadi sebagai satu sumber hasil Malaysia pada masa akan datang,” ujarnya.
Shafie berkata demikian semasa Majlis Pelancaran Logo dan Motto UMS di Pesawat MASwings di sini pada Sabtu petang.
Katanya, pengusaha-pengusaha pelancongan juga perlu lebih efisyen dalam mempromosikan makanan dan budaya tempatan agar dapat menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini.
-MRR