Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Politeknik KK Raih Dua Anugerah PolySea 2017

By 21 Julai 2018Tiada komen3 minit bacaan

 

 

Laporan oleh: Siti Mariam Aziz Rashid

 

KOTA KINABALU, 21 Jul(Malaydiaaktif) – Politeknik Kota Kinabalu (PKK) meneruskan kecemerlangannya dalam bidang sukan Lawn Bowls apabila menerima Anugerah Pengurus Cemerlang dan Anugerah Jurulatih Cemerlang di Pulau Pinang baru-baru ini.

Anugerah tersebut disampaikan bersempena Polytechnic Sports Excellence Awards 2017 (PolySea 2017) yang diadakan di Dewan Seri Mutiara, Politeknik Seberang Perai.

Anugerah Pengurus Cemerlang berjaya disandang Saril Hj. Yusop selaku Pengurus Sukan Lawn Bowls Majlis Sukan Politeknik, manakala Anugerah Jurulatih Cemerlang milik Eric Yeo Cheng Aun selaku Ketua Jurulatih Lawn Bowls PKK dan Politeknik Malaysia sejak tahun 2012 hingga sekarang.

Majlis Penyampaian anugerah disempurnakan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Prof. Datuk Dr. Mohd. Ismail Abd. Aziz.

Pengarah PKK, Zainab Othman ketika ditemui berkata, kedua anugerah tersebut adalah atas daya usaha dan komitmen para pegawai.

 

PKK BOLEH…..Saril (kiri) pemenang Anugerah PengurusCemerlang dan Eric pemenang Anugerah Jurulatih Cemerlang

PKK BOLEH…..Saril (kiri) pemenang Anugerah PengurusCemerlang dan Eric pemenang Anugerah Jurulatih Cemerlang

“Mereka banyak menyumbang dalam pembangunan sukan Lawn Bowls di peringkat Politeknik Malaysia serta membawa kejayaan atlet di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, sekaligus menaikkan nama Politeknik Malaysia bagi sepanjang tempoh 2017.

“Alhamdulillah dengan usaha dan komitmen tinggi pegawai sukan kita, PKK telah berjaya memenuhi kriteria yang ditetapkan bagi kategori tersebut dan diharap momentum kecemerlangan ini berterusan pada masa hadapan,” kata Zainab.

Sementara itu Saril berkata anugerah yang diraihnya menjadi pembakar semangat untuk meningkatkan lagi kecemerlangan sukan Lawn Bowls di Politeknik Malaysia, khasnya PKK yang juga menjadi pusat kecemerlangan sukan tersebut.

“PKK bertuah kerana mempunyai ramai pelajar yang berbakat dan aktif dalam pelbagai bidang sukan termasuk Lawn Bowls.

“Ini terbukti dengan kejayaannya muncul sebagai IPT kedua terbaik di Sabah pada Sukan IPT Sabah 2017 dan 2018 baru-baru ini.

“Kita juga mempunyai atlet yang akan mewakili IPT Malaysia ke Asian University Games di Myanmar dalam sukan karate dan catur pada Disember 2018, serta atlet yang mewakili negeri Sabah ke Sukan Malaysia (SUKMA) bagi sukan Lawn Bowls, Karate, Tenpin Boling dan Ragbi pada September akan datang.

“Semua pencapaian pelajar ini telah membantu mengangkat nama PKK khasnya di persada kebangsaan dan juga antarabangsa,” tambahnya.

Bagi Eric pula, kejayaan meraih Anugerah Jurulatih Cemerlang bagi sukan Lawn Bowls
adalah satu pengiktirafan yang cukup manis dan memberi kepuasan kepada dirinya.

Beliau yang juga Penolong Jurulatih Lawn Bows IPT Malaysia selama dua tahun, berasa amat bersyukur dengan penganugerahan tersebut.

“Saya merasa amat berbangga dan bersyukur atas pengiktirafan ini, terutama apabila melihat kejayaan para pelajar meraih kemenangan dalam sukan tersebut. Ini bererti pengurusan latihan kita adalah di landasan yang betul,”ujar Eric.

Beliau berkata, sukan Lawn Bowls di PKK terus cemerlang pada tahun ini apabila PKK
muncul Johan dalam Kejohanan Lawn Bowls Open Pairs USIM iaitu Kejohanan IPT di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi, dan telah berjaya menyumbangkan 2 pingat emas, 1 perak dan 2 gangsa dalam Sukan IPT 2018 dalam sukan tersebut baru-baru ini.

PolySEA merupakan program anjuran Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti serta Majlis Sukan Politeknik, dan merupakan anugerah tertinggi yang diberikan kepada atlet institusi tersebut sebagai penghargaan kepada sumbangan cemerlang yang mereka berikan di dalam pembangunan sukan politeknik dan di pentas kebangsaan.

PolySea 2017 kali ini menawarkan 28 anugerah bagi mengiktiraf pencapaian jurulatih dan atlit serta kakitangan yang terbabit dalam pelbagai sukan yang disertai institut pendidikan itu.

PKK mempunyai rekod kecemerlangan tersendiri apabila pernah menerima anugerah PolySea bagi kategori Olahragawati Politeknik Malaysia sebanyak 2 kali bagi tahun 2013 dan 2014, Kategori Politeknik Terbaik Dalam Sukan (2015) dan Olahragawan dan Olahragawati Harapan (2016).

Bagi Anugerah Pengurus Cemerlang, Saril dan Eric masing-masing membawa pulang piala dan wang tunai sebanyak RM2,500.

 

 

-MRR

Tinggalkan komen anda