
Laporan dan foto oleh: Eparizan Mansor (Putrajaya)
PUTRAJAYA, 28 Ogos (MalaysiaAktif) – Hari kedua perbarisan ditambah baik dan berjalan lancar dengan komitmen seawal 5.30 pagi peserta kontinjen berkumpul di Dataran Putrajaya bagi menyertai perarakan Nasional sejauh hampir 5 kilometer.
Dianggarkan seramai 15 ribu peserta yang melibatkan orang awam, pasukan keselamatan dan ketenteraman awam menjayakan sesi raptai dan perbarisan yang diadakan sempena ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-61 tahun.
Pada tahun ini, persembahan juga menampilkan kelainan dengan melibatkan seramai 600 orang kumpulan kesenian yang dikenalpasti daripada penari-penari profesional yang terlibat secara langsung dalam acara perbarisan seperti dari Kumpulan Kesenian Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara seluruh negara, Kumpulan Kesenian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Permata Seni Tari dan daripada badan bukan kerajaan (NGO) seperti kumpulan Teresang, Kumpulan Persatuan Anak Sabah, Soka Gakkai dan Indian Dance.
Ketika ditemui, Syafika dari Permata Seni Tari sangat teruja dan berkata akan melakukan yang terbaik sempena sambutan kemerdekaan ke-61 negara dan berharap sesi raptai yang diadakan selama 3 hari ini sebelum hari kejadian nanti dapat memperbaiki segala kelemahan yang boleh mencacatkan persembahan mereka nanti.
Untuk rekod, acara sambutan kemerdekaan di Putrajaya kali terakhir adalah sekitar 13 tahun yang lalu. Sehubungan itu, bagi menjayakan kelancaran sambutan bulan kemerdekaan di Putrajaya ini sebanyak 11 laluan ditutup dan dilencongkan bagi mengelakkan kesesakan, saman atau tunda dan kesalahan trafik yang lain.