
Laporan & Foto : Edi Rizam Kassim (Putrajaya)
GEORGE TOWN, 3 Ogos (Malaysiaaktif) – Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) dalam mengelorakan Bulan Kebangsaan kali ini meneruskan penjelajahan ke seluruh negara melalui Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2018 (KMJG18) yang dianjurkan setiap tahun, bagi tujuan memupuk semangat patriotisme dalam kalangan rakyat malaysia di samping mengajak orang ramai untuk mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang Bulan Kebangsaan ini.
Ketua Pegarah JaPen, Datuk Ibrahim Abdul Rahman berkata “kembara merdeka ini telah bermula 15 tahun lalu dengan tujuan mengajak orang ramai untuk mengibarkan Jalur Gemilang dan tahun ini diteruskan lagi dengan peglibatan agensi lain bagi memeriahkan lagi konvoi pada tahun ini,” beliau ditemui semasa Majlis Makan Malam dan Taklimat Kembara Merdeka Jalur Gemilang di Batu Maung.
Sebanyak 56 kenderaan pelbagai jenis terdiri daripada motosikal berkuasa tinggi sebanyak 30 buah, dan pelbagai segmen kenderaan sebanyak 26 buah, konvoi kali ini disertai seramai 133 orang daripada Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Angkatan Pertahanan Awam, Persatuan Motosikal ST1300 dan Jabatan Penerangan. Konvoi pada tahun ini bakal menjelajah sejauh 2,722 kilometer bermula hari ini dan akan berakhir pada 31 Ogos di Putrajaya semasa Sambutan Hari Kebangsaan 2018.
Sebelum itu peserta konvoi telah disantuni oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Datuk Haji Abdul Halim Hussain. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada perserta konvoi yang sanggup menyertai konvoi KMJG18 dan berjauhan dengan keluarga.
Pelancaran Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2018 akan disempurnakan oleh Perdana Menteri pada Sabtu malam ini di Padang Kota Lama, sempena Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2018.