
Laporan dan foto : Mohd Baharruddin Mohamad (Sarawak)
SAMARAHAN, 3 Ogos (Malaysiaaktif) – Institusi wakaf dan pembiayaan dalam sesebuah negara amat penting kerana berdasarkan peranan dan sumbangan wakaf itu sendiri, ia memberi impak yang besar kepada ekonomi, tenaga kerja dan kesejahteraan masyarakat dan negara.
Naib Cancelor Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Prof Datuk Dr. Muhamad Kadim Suaidi menyatakan pengurusan wakaf dan pembiayaan yang ditadbir dengan baik membolehkan institusi tersebut berkhidmat sebagai sumber utama menyalurkan pembiayaan untuk pelajar kurang berkemampuan atau asnaf.
“Pembiayaan dan Wakaf Unimas sebagai inisiatif untuk memanfaatkan projek pembangunan universiti sebagai peluang untuk warga kampus dan orang ramai secara keseluruhannya melaksanakan amal jariah.

Taib Mahmud (dua dari kanan) bersama-sama Muhamad (kiri) sempena Majlis Makan Malam UNIMAS & Friends 2018, semalam.
“Tabung Biasiswa sebagai contoh khusus kepada bantuan untuk pelajar yang kurang mampu melanjutkan pengajian manakala Tabung Kebajikan Pelajar membantu pelajar yang ditimpa musibah dan kesusahan.
“Selain wakaf, Unimas juga turut mewujudkan lima tabung pembiayaan untuk membantu pihak yang memerlukan sebagai melengkapkan tanggungjawab organisasi ini kepada masyarakat dan negara,” katanya ketika berucap sempena Majlis Makan Malam UNIMAS & Friends 2018, di sini semalam.
Program makan malam tersebut merupakan sebahagian daripada program amal yang dilaksanakan institusi pengajian tersebut bertujuan untuk mengumpul dana bagi manfaat kebajikan dan pembangunan kampus melalui tabung-tabung Pembiayaan dan Wakaf di Unimas.
Muhamad turut menjelaskan kewujudan Tabung Pembangunan adalah bagi memastikan kemudahan kepada pelajar terutamanya kemudahan yang melibatkan aktiviti pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan dapat disediakan.
“Melalui tabung ini, pelajar B40 akan dibiayai yuran pengajian mereka dan kemudahan pendidikan sementara sehingga pelajar tersebut mendapat tajaan pendidikan manakala Tabung Akademik dan Penyelidikan bagi membantu menyemarakkan kelestarian budaya penyelidikan,”tambahnya.
Dalam majlis yang sama, Unimas turut menerima sumbangan daripada Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud, sebanyak RM200 ribu dan bantuan kewangan daripada Tabung Baitulmal Sarawak bernilai lebih RM2.15 juta.