
Laporan dan Foto : Muhammad Rizal Redzuan (Putrajaya)
GEORGE TOWN, 4 Ogos (Malaysiaaktif) – “Pelancaran Bulan Kebangsaan 2018 bakal menjadi titik permulaan untuk Pulau Pinang menerima program-program besar kerajaan kerana sebelum ini, hampir tiada program besar kerajaan persekutuan dibuat di sini.”
Itu luahan Mohd Safuan Abdullah, 50, rakyat Pulau Pinang yang ditemui semasa hadir di tempat persinggahan Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) di Bayan Baru, Pulau Pinang petang tadi.

Bangga dan gembira Pulau Pinang menjadi tuan rumah – Nur Alia Amira Che Din 22 dari Balik Pulau Pulau Pinang
“Satu kebanggaan bagi rakyat Pulau Pinang kerana sebelum ini negeri ini diperintah oleh pembangkang tetapi kini berada sealiran dengan kerajaan persekutuan.
“Pemilihan Pulau Pinang sebagai tempat pelancaran Bulan Kebangsaan adalah paling tepat kerana sejarah, budaya dan makanannya mengambarkan Malaysia secara keseluruhan,” katanya ketika ditemui, di sini siang tadi.
Budaya kaum yang pelbagai di negeri ini boleh mewakili budaya rakyat Malaysia keseluruhannya.
Menurut Safuan, “jika rakyat Malaysia sendiri tidak mahu mengibarkan Jalur Gemilang dan meraikan Bulan Kebangsaan, kita nak harap rakyat mana yang akan mengibarkan bendera kita dan menyambut hari kebangsaan kita.
“Kalau Hari Raya, Tahun Baru Cina dan sebagainya diraikan hanya oleh kaum-kaum tertentu, tapi Hari Kebangsaan adalah satu -satunya hari yang semua kaum boleh meyambutnya serentak.
“Kita tak perlu tunggu bendera percuma baru nak kibar, lebih malang lagi, dah dapat bendera percuma pun tak kibar juga,” itu pula luahan hati Muhammad Adzlan Adzhar.
Dia sangat bersyukur dan bertuah kerana Jabatan Penerangan Malaysia memilih Pulau Pinang sebagai tapak pelancaran Hari Kebangsaan pada tahun ini.
Katanya, pemilihan ini memberi ruang para hadirin dari seluruh negara untuk menikmati syurga makanan malah sekarang ialah musim durian di Balik Pulau.
“Khususnya di Pulau Pinang amnya di Malaysia, Jabatan Penerangan perlu terus memupuk semangat kemerdekaan dalam kalangan masyarakat.
“Usaha Jabatan Penerangan Malaysia mengedarkan bendera percuma adalah baik tetapi rakyat sepatutnya lebih patriotik untuk tidak menunggu bendera percuma untuk dikibarkan,” ujarnya.
Bagi menyemarakkan Bulan Kebangsaan, Jabatan Penerangan Malaysia melancarkan Kembara Merdeka Jalur Gemilang yang akan menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dan menyuburkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat.
Seramai 133 orang peserta akan menyertai KMJG ini dengan 40 buah motorsikal berkuasa tinggi, 40 buah kenderaan termasuk pacuan empat roda.
Mereka akan berkonvoi sejauh 2722 kilometer (km) dengan 220 hentian di Semenanjung Malaysia bermula dari 3 Ogos di Pulau Pinang dan berakhir pada 31 Ogos di Putrajaya. Seterusnya konvoi disambung dengan konvoi di Sabah sejauh 2000km dan di Sarawak (2700km)
Pelancaran Bulan Kebangsaan akan diadakan di Padang Kota Lama, Pulau Pinang oleh Perdana Menteri pada 4 Ogos 2017.