
Laporan Dan Foto Oleh : Muhammad Rizal Redzuan (Putrajaya)
GEORGE TOWN, 4 Ogos (Malaysiaaktif) – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, sebentar tadi telah menyempurnakan Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2018 dihadapan kira-kira 35000 hadirin di Padang Kota Lama, Pulau Pinang.
Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2018 bemula pada 3 hingga 5 Ogos 2018 bertujuan menyemarak sambutan BuLan Kebangsaan tahun ini dan meningkatkan semangat patriotik serta cintakan negara dalam kalangan masyarakat.
Turut dilancarkan pada malam ini ialah Kembara Merdeka Jalur Gemilang yang akan menjelajah ke seluruh negara membawa mesej kenegaraan dalam inisiatif untuk menggalakkan masyarakat mengibarkan Jalur Gemilang.
Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) ini melibatkan 60 buah termasuk 40 buah motorsikal berkuasa tinggi serta 135 peserta terdiri daripada warga Jabatan Penerangan Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), MalaysiaAktif dan Kelab Motorsikal Berkuasa Tinggi ST13MMC.

Upacara perarakan membawa masuk Jalur Gemilang diketuai oleh Leftenan Sobra Mulisa Ahyum dari KD Sri Pinang,Tentera Laut Diraja Malaysia.
Turut menjayakan majlis pada malam ini ialah kumpulan Aktivis Sayangi Malaysiaku iaitu sukarelawan berumur antara 18 hingga 35 tahun berjumlah 300 orang yang berperanan sebagai krew promosi patriotik, krew media sosial, pasukan sorak (cheer team) dan pasukan gotong-royong. Manakala seramai 524 orang anggota kawalan keselamatan dan lalu lintas serta seramai 80 anggota pasukan kesihatan dan perubatan bertugas sepanjang program.
Pada sebelah pagi telah diadakan Larian Merdeka yang telah disempurnakan pelepasan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow di Jalan Padang Kota Lama pada hari ini. Seramali 3,000 peserta telah terlibat dalam larian sejauh 5 kilometer ini.
Pelbagai aktiviti menarik diadakan sepanjang tiga hari program berlangsung antaranya ialah Pameran Caring Bridge, Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG), Larian Merdeka, Konsert Sayangi Malaysiaku, persembahan Buskers Sayangi Malaysiaku, Jualan My Best Buy FAMA, Karnival Food Truck, persembahan PENTARAMA dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Pulau Pinang dan Majlis Kebudayaan Negeri Pulau Pinang, serta program keagamaan.