
Laporan oleh: Asmidar Zainol/ Foto: Jeffren, Johnny & Mastim (Sabah)
KOTA KINABALU, 31 Ogos (Malaysiaaktif) -Ribuan pengunjung teruja dengan kemeriahan Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah yang berlangsung di Dataran Bandaraya, pagi tadi.
Bagi Sharina Abdullah, 36, peluang berkenaan tidak dilepaskan walaupun terpaksa bersengkang mata menahan mengantuk dan letih selepas bertugas pada shif malam tadi.
“Walaupun baru habis bekerja pukul 7 pagi tadi, saya dan anak, Iman Hadziq Asri,9, bergegas datang ke sini untuk menyaksikan kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan.
“Ini adalah kali pertama saya menyaksikannya secara langsung dan lebih meninggalkan memori ia adalah di negeri ini berbanding tahun-tahun sebelumnya hanya menonton di kaca tv sahaja,” ujarnya teruja.
Menurut Sharina, bagi mengelorakan sambutan berkenaan, dia dan suami turut memasang bendera di kenderaan-kenderaan mereka dan juga di tingkap rumah.
“Tidak lengkap rasanya sambutan Hari Kebangsaan sekiranya tidak diserikan dengan kibaran Jalur Gemilang di rumah,”katanya ketawa.
Sementara itu, Iman Haziq turut berkongsi keterujaannya menyaksikan perbarisan pada sambutan tersebut.
“Antara yang paling saya nantikan adalah perarakan masuk Unit Tindakan Khas (UTK) Polis Diraja Malaysia.
“Rasa sangat teruja bila dapat tengok mereka dengan dekat semasa acara berkawat lengkap dengan pakaian seragam dan senjata.
“Apabila saya besar nanti saya ingin menjadi seorang anggota UTK untuk berkhidmat dan menjaga keselamatan negara,” katanya bersemangat.
Bagi pelancong dari Itali, Valentina Tamburini, 35, ketibaan dia dan rakan, dan rakan, Yanis Moreira, 26, dari Netherlands ke Kota Kinabalu pada Khamis adalah tepat kerana dapat bersama-sama menyaksikan sambutan berkenaan hari ini.
“Kami dimaklumkan oleh kakitangan asrama penginapan berkenaan sambutan pagi ini, oleh yang demikian kami membuat keputusan untuk tidak melepaskan peluang walau pun saya tidak berapa sihat, saya tetap gembira dapat berada di sini.
“Seronok dapat menyaksikan kepelbagaian dalam sambutan hari ini, bukan sahaja daripada pakaian, set pentas tetapi juga kenderaan-kenderaan perarakan.
“Kami akan berkongsi saat ini di laman sosial supaya sambutan ini dapat dikongsi dengan rakan-rakan di tanah air kami,” kata Valentina dan turut disokong oleh Yanis.
Meraikan hari terakhir di Kota Kinabalu dengan menghadiri sambutan Hari Kebangsaan menjadi aturcara tiga kawan baik dari Guanangzhou, China.
Holand Lee, 25, Chen Jianru, 25 dan Ruby Zheng, 25, tiba ke negeri ini sejak tiga hari yang lalu berkata sambutan berkenaan sangat meriah dan bertenaga.
“Kami dapat menyaksikan kanak-kanak yang sangat aktif dan ceria sepanjang acara begitu juga dengan persembahan-persembahan yang disampaikan.
“Walaupun kami tidak memahami apa yang disampaikan, kami tetap merasakan sebahagian daripada mereka di sini.
“Rakyat Sabah sangat peramah serta banyak membantu sepanjang berada di sini dan kami akan pasti kembali ke negeri ini satu masa nanti,”kata Ruby mewakili rakan-rakannya.
Untuk rekod, lebih 10 ribu pengunjung memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah pagi tadi.
Acara bermula pukul 7.15 pagi dan berakhir pada pukul 10 pagi menyaksikan perarakan perbarisan 149 kontijen dan persembahan-persembahan seperti penyampaian puisi khas, ‘Sayangi Malaysia Kita’ persembahan khas oleh Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah; Penerbangan Lintas Hormat oleh Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM), PDRM dan Bomba serta persembahan koir oleh DBKK.
Sambutan berkenaan dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal dan turut dihadiri oleh isterinya, Datin Seri Panglima Shuryani Shuaib; Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Syed Abas Syed Ali; Menteri Pembangunan Infrastruktur selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan, Datuk Peter Anthony serta menteri-menteri kabinet kerajaan negeri Sabah.
-FB