
Laporan oleh: Fauzrina Bulka/Foto: Azman Jumat
SANDAKAN, 20 Ogos (Malaysiaaktif) – Pengerusi Bulan Sabit Merah Malaysia(BSMM) Sandakan, Josie Pang gembira kerana daerah ini terpilih menjadi tuan rumah bagi meraikan Ulangtahun ke 70 BSMM peringkat negeri.
“Dengan semangat dan nilai kasih sayang, prihatin, kebaikan serta bersedia memberi bantuan tanpa mengira waktu kepada masyarakat, kita dapat bersama-sama merayakan Ulang Tahun ke-70 pada tahun ini.
“Saya sangat berbangga dengan semua pasukan di seluruh Sabah, kerana saling menyokong antara satu sama lain dan sentiasa bersatu tanpa rasa takut demi kebaikan ummah dan masyarakat.
“Justeru, dalam sambutan Hari Ulang Tahun ke-70 Daerah dan Hari Bulan Sabit Merah Malaysia Sedunia, kami berharap dapat memberikan yang lebih baik kepada masyarakat,”ujarnya.
Josie berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan Majlis Makan Malam Muhibbah yang dianjurkan di Hotel Sheraton pada ahad malam.
Mengulas lanjut kata Josie, pasukannya telah bekerja keras untuk menyediakan perkhidmatan pertolongan cemas ketika diperlukan oleh masyarakat, sentiasa bersedia melalui musim hujan, menyediakan perkhidmatan ambulans percuma, menderma makanan serta menganjurkan seminar dan kem latihan.
Tambahnya, mereka berjaya dalam usaha untuk merealisasikan impian mereka bagi menaiktaraf Pusat BSMM daerah serta membina galeri untuk meraikan ulangtahun ke 70.
“Tepukan gemuruh perlu diberikan kepada sukarelawan, senior, penderma serta tetamu dan malam ini akan menjadi malam untuk meraikan sumbangan anda kepada keharmonian dan keprihatinan kepada persatuan.
“Kami sangat berbangga kerana sumbangan anda yang diberikan dalam pelbagai cara hingga dapat membantu mereka yang memerlukan, semoga semangat kita akan sentiasa berterusan,”katanya.
Hadir sama dalam majlis tersebut, Pengerusi BSMM Sabah, Asnan Yunus Chung; Penasihat BSMM Sandakan, Lt Kdr (K) Datuk Charles O Pang Su Ping; Setiausaha Majlis Perbandaran Sandakan, Faridah Giau; Bendahari Kehormat Kebangsaan, Hakim Hamzah, Pengarah BSMM Sabah, Simon Chin.
-FB