
Laporan Oleh : Muhammad Rizal Redzuan (Putrajaya) / Foto Oleh : Yang Azman Mohd Othman
DENPASAR, 11 Sep (Malaysiaaktif) – Sejak tahun 2010 Kerajaan Malaysia, Indonesia dan Brunei telah memeterai Program Pertukaran Penerangan antara tiga negara ini.
Menurut Ketua Urusetia program kali ini Noorisamawati Ismail, pertukaran pegawai kali ini melibatkan enam orang pegawai dari Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) ke Bali dari 3 hingga 7 Setember 2018.

Noorisamawati Ismail (kiri sekali) memberikan taklimat kepada pegawai-pegawai daripada RRI berkaitan program yang di atur.
Tujuan utama program ini ialah untuk memberi pendedahan dan pengalaman bekerja di luar negara selain memberi peluang pertukaran informasi berkaitan fungsi dan peranan pegawai penerangan di ibu pejabat dan negeri dengan negara jiran ini.
Ia juga memberi peluang kepada wakil-wakil pegawai antara negara ini untuk bertukar-tukar idea dan berusaha utk menjalin hubungan yang lebih akrab.
Kasie Layanan Informasi Masyarakat Internasional, Junaria Ginting, Kementerian Komunikasi dan Informatika Republik Indonesia (KOMINFO) berkata, peserta kali ini telah memberikan perhatian dan tumpuan yang luarbiasa terhadap semua program yang telah di susun.

Junaria Ginting (berbaju biru) memberikan penerangan kepada delegasi Malaysia berkaitan aturcara dan tujuan lawatan.
Kesungguhan dan keinginan mereka untuk mempelajari dan memberi pendapat sangat tinggi, katanya.
Junaria memaklumkan kepimpinan tertinggi KOMINFO sebahagiannya ke Hanoi dan sebahagian lagi ke Lombok bagi menghadiri persidangan penting yang melibatkan beberapa negara.

Tanpa laut, air terjun, atau pasaraya besar hanya dengan sawah padi, penduduk Alam Puri berjaya menjadikan tempat ini kawasan pelancongan dunia
Beliau juga sepatutnya ke sana tetapi dia bersama Pagawai Analisis Data dan Informasi KOMINFO, Hendra Budi tidak mahu meninggalkan rombongan dari Malaysia ini bagi memastikan rombongan ini mendapat informasi dan layanan yang terbaik.
Katanya, banyak program yang dirancang untuk menjadikan lawatan ini lengkap dari segi info dan ilmunya, tetapi oleh kerana jarak antara satu tempat dengan tempat lawatan yang jauh, maka beberapa lokasi terpaksa di batalkan lawatannya.

Jarak lokasi lawatan yang jauh antara satu sama lain menyebabkan beberapa lawatan terpaksa digugurkan kerana kesuntukan masa
Semua lokasi yang disusun mempunyai tujuannya yang tersendiri sebagai ilmu dan pengalaman baru kepada para peserta, ujarnya.

Antara KIM di Bali yang berjaya meningkatkan taraf kehidupan penduduk melalui perusahaan kain sulam dan pakaian buatan tangan
Katanya lagi, sebagai contoh, lawatan ke Kelompok Informasi Masyarakat (KIM) Kota Denpasar iaitu kelompok Gatra Wirausaha, Anacaraka, peserta dapat melihat bagaimana Ketua KIM Gathra Wirausaha, Denpasar, Ibu Sayu Ketut Sutrisna Dewi mengubah pemikiran anak-anak muda menjadikan mereka daripada tiada apa-apa kepada usahawan yang berjaya.
Keduanya dengan lawatan ke Radio Republik Indonesia (RRI) dan TV Indonesia (TVI), para delegasi boleh melihat kesan jika jabatan-jabatan dalam agensi kerajaan cuba berpisah daripada sebuah kementerian yang besar.
Begitulah juga dengan lokasi-lokasi lain delegasi ini di bawa, semuanya ada ilmu-ilmu yang amat berguna untuk dibawa pulang ke Malaysia, ujarnya lagi.
Menurut Ketua Delegasi Malaysia, Mohd. Roffee Mohamad, walaupun lawatan ini seperti tidak formal, tetapi terlalu banyak ilmu dapat digali daripada setiap tempat lawatan.
Tempat makan sekalipun ada ilmu baru yang dapat dipelajari. Misalnya di tempt cuci tangan dan berkumur, diletakkan ubat gigi bagi menghilangkan bau makanan, katanya.
Katanya lagi, selain itu, banyak lagi ilmu yang dapat dipelajari antaranya bagaimana TV Indonesia berjaya menjadikan agenda nasional negara sebagai agenda tempatan melalui TV.

Mohd. Roffee tidak melepaskan peluang menunjukkan bakat bermain gendang kepada pegawai-pegawai Indonesia
Bagi Roffee, program seperti ini menjadikan minda peserta bergerak 24 jam kerana selepas lawatan, banyak perkara yang perlu difikirkan.
Seorang ahli delegasi ini, Hassan Ashaari Abu Bakar, lawatan ini sangat berjaya.
Banyak perkara boleh dibawa pulang terutamanya untuk Muafakat Komuniti Malaysia (MKM).
Antaranya, selama ini MKM yang dulunya dikenali sebagai K1M banyak menumpukan perhatian kepada golongan yang sudah berumur berbanding KIM di Bali yang menjadikan mereka yang berumur 16 hingga 30 tahun sebagai sasaran utama.
Tengku Abdul Halim Tengku Ayob yang juga ahli delegasi dari Malaysia berkata pelajaran paling penting ialah melihat bagaimana para pegawai di Bali ini menjaga perlatan kerja mereka dengan amat baik.
Bagi mereka di TVI, tanpa alat itu mereka tiada “periuk nasi” justeru mereka menjaganya dengan amat baik.

Tengku Abdul Halim Tengku Ayob bertukar-tukar pandangan berkaitan teknikal dengan pegawai-pegawai TVI
Sikap ini wajar dibawa pulang ke Malaysia, agar semua staff di JaPen juga dapat mengganggap perlatan kerja walaupun milik kerajaan tetapi ia ialah sumber rezeki maka perlu dijaga dengan baik.

Tengku Abdul Halim Tengku Ayob menunjukkan kebolehannya mengendalikan peralatan teknikal di TVI Bali
Salah seorang lagi peserta Malaysia, Yang Azman Mohd Othman berpendapat, pada masa-masa akan datang jadual perjalanan perlu juga memberi ruang untuk jurugambar seperti beliau merakamkan pemandangan indah di Bali.
Pulang ke Malaysia, urusetia, Noorismawati Ismail akan menyusun atur program agar lawatan balas dari KemKominfo ke Malaysia akan sebaik lawatan di Bali.
Selama lima hari di Bali para delegasi dari Malaysia telah di bawa ke beberapa jabatan yang dulunya di bawah KOMINFO. Mereka juga di bawa ke Kelompok Informasi Masyarakat yang menjadi medium penting di Indonesia bagi menyampaikan maklumat dari rakyat kepada kerajaan dan dari kerajaan kepada rakyat.