
Laporan Oleh : Imran Sedi
LANGKAWI, 10 Sept (Malaysiaaktif) – Darul Aman Sanctuary yang terletak di Lubuk Semilang Kampung Buku, Langkawi, baru dibuka kepada orang ramai sejak bulan April 2018. Pelbagai aktiviti yang dapat menarik kehadiran pelancong untuk menikmati sendiri suasana hutan yang masih dikekalkan.
Pelancong juga dapat menyaksikan lebih dari 100 jenis herba dan pelbagai jenis binatang di Darul Aman Sanctuary. Istimewanya, pelancong yang hadir dapat merasai pengalaman untuk melihat burung hornbills dan pelbagai jenis burung yang lain secara jelas.
Timbalan Pengurus Besar BDB Leisure, Ahmad Fauzi Zainal Abidin, berkata, “Darul Aman Santuary ini merupakan tempat pelancongan yang bertemakan Eco-tourism yang mampu menarik pelancong dari luar mahupun dari Malaysia,” ujarnya semasa pertemuan dengan konvoi Kembara Media 2018 semalam.
Kembara Media 2018 anjuran Jabatan Penerangan Malaysia bersama-sama para pengamal media telah melakukan lawatan ke Darul Aman Santuary dalam usaha mempromosikan Pulau Langkawi dan pembangunan negeri Kedah.
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia yang juga penasihat program Kembara Media 2018, Datuk Ibrahim Abdul Rahman, “dengan adanya Darul Aman Santuary, Langkawi sudah lengkap sebagai tempat pelancongan, kerana Langkawi mempunyai hutan dan pantai yang cantik, serta bangunan-bangunan yang moden dan menarik,” ujarnya.