Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Pembangunan Negeri Ke Tahap Lebih Baik – Shafie

By 11 September 2018Tiada komen2 minit bacaan

Laporan oleh: Idris Sani Saberun/Foto: Volintine Jiloh(Sabah)

KOTA KINABALU, 11 Sept (Malaysiaaktif) – Kerajaan komited memacu pembangunan negeri ke tahap lebih baik agar berdaya saing, dinamik, makmur selain bertekad mensejahterakan kehidupan rakyat secara menyeluruh.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, Sabah mempunyai segala-galanya untuk muncul sebagai sebuah kuasa ekonomi yang mana aset paling utama ialah keluasan tanah untuk aktiviti pertanian, peladangan, sumber alam dan keindahan alam semula jadi serta kepelbagaian masyarakat yang menjadi daya tarikan sektor pelancongan.

“Jika segala perancangan berjalan lancar, Sabah bukan hanya akan menjadi antara negeri yang pesat membangun, malah tiada kumpulan rakyat yang akan ketinggalan menikmati arus pembangunan dan kemajuan negeri.

Tun Juhar (depan, dua dari kanan) bersalaman dengan hadirin sambil diiringi Mohd Shafie, Bongsu (lima dari kiri) dan Aidi (tiga dari kanan) sejurus tiba diperkarangan Wisma MUIS

Tun Juhar (depan, dua dari kanan) bersalaman dengan hadirin sambil diiringi Mohd Shafie, Bongsu (lima dari kiri) dan Aidi (tiga dari kanan) sejurus tiba diperkarangan Wisma MUIS

“Sehubungan itu, rakyat perlu membuka mata dan merebut peluang yang wujud untuk memajukan diri, keluarga, masyarakat dan seterusnya negeri,” ujarnya pada Majlis Perhimpunan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sabah 2018 di Dewan Sa’adah Wisma MUIS, dekat sini pagi Selasa.

Tambah Shafie, kesatuan dan perpaduan rakyat yang berbilang kaum, agama dan adat resam di negeri ini menjadi kunci kepada kepesatan pembangunan negeri Sabah.

“Hasil daripada sikap masyarakat yang kaya dengan perasaan saling menghormati dan menerima kepelbagaian yang wujud menjadi sinergi bagi melestarikan keharmonian hidup beragama dan bermasyarakat di negeri ini.

Mohd Shafie (tiga dari kiri) menyambut ketibaan Tun Juhar (kanan).

Mohd Shafie (tiga dari kiri) menyambut ketibaan Tun Juhar (kanan).

“Sehubungan itu, proses pengukuhan perpaduan rakyat hendaklah terus dilaksanakan kerana peredaran masa membawa bersama pelbagai cabaran baru, yang boleh menjejaskan perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri ini.

“Ia amat bertepatan sekali dengan tema sambutan Maal Hijrah pada tahun ini iaitu ‘Menyantuni Umat Membawa Rahmat’,” katanya.

Hadir sama di majlis berkenaan ialah Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Dr Juhar Datuk Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni; isteri Ketua Menteri, Datin Seri Shuryani Datuk Shuib; Timbalan Ketua Menteri, Datuk Jaujan Sambakong; Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Datuk Aidi Moktar; Mufti Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Bongsu Aziz Jaafar dan Yang Di-Pertua MUIS, Datuk Seri Hasbullah Mohd Taha.

 

 

-FB

Tinggalkan komen anda