
Laporan : Hamidah Md Drus (Kuala Pilah) Foto : Mohd Khairulnizam Mohd Yunus
KUALA PILAH, 9 September (Malaysiaaktif) – Kuala Pilah berpotensi menjadi hab pendidikan kerana di daerah ini bukan sahaja ada Universiti Teknologi Mara (UiTM), malah juga institusi pengajian yang lain. Oleh itu, keberadaan institusi ini dapat dirasai dan memberi impak yang positif kepada masyarakat di dalam daerah ini.
Menurut Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, merangkap Ahli Parlimen Kuala Pilah, Eddin Shazlee Shith, sektor pendidikan mampu berkembang di Kuala Pilah pada masa depan. Beliau berkata demikian ketika menghadiri program Fiesta@Pilah di sini pagi tadi. Objektif program Fiesta@Pilah adalah untuk memperkenalkan UiTM kepada masyarakat umum.
Seramai 2000 orang pengunjung membanjiri program fiesta@pilah yang dianjurkan oleh Jabatan Penerangan Negeri Sembilan dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA ( UiTM ) Cawangan Kuala Pilah.
Program yang dimulakan dengan aktiviti senamrobik dan Larian ‘Run it Out’ sejauh 7.3km turut diserikan dengan beberapa acara menarik lain antaranya aktiviti sukaneka melibatkan Muafakat Komuniti Malaysia(MKM) daerah Kuala Pilah, pertandingan lagu patrotik & pakaian patriotik, pertandingan mewarna kanak-kanak, wacana budaya, derma darah, jualan buku, pameran dari pelbagai agensi. Selain itu, hadirin juga diberikan perkongsian maklumat berkaitan Menangani bankrupt dan bagaimana mengelakkan penipuan online daripada Bank Islam.
Eddin berkata “Saya berpendapat UiTM perlu sentiasa menjalinkan kerjasama strategik dengan agensi luar terutamanya Jabatan Penerangan. Ini kerana Jabatan Penerangan adalah agensi yang bertindak dalam mengerakkan minda rakyat yang sentiasa komited dalam menyebar luaskan dasar-dasar atau apa sahaja maklumat kerajaan kepada masyarakat. Justeru, saya mengharapkan program sebegini tidak berakhir setakat ini sahaja. Ianya perlu diteruskan untuk masa-masa akan datang”, ujarnya ketika merasmikan Program Fiesta@Pilah di Kompleks Rakan Muda Kuala Pilah semalam.
Sementara itu, seorang pengunjung anak jati Kuala Pilah, Mohamad Redwani Mohd Jasni, 31 merasakan program seperti ini harus dijadikan acara tahunan. Malah katanya ini adalah cara terbaik untuk memperkenalkan Kuala Pilah kepada orang luar.
“Pelajar UiTM khususnya bukannya semua berasal dari Negeri Sembilan. Inilah masa yang sesuai mereka dapat bersama-sama masyarakat setempat dan mempelajari adat dan budaya negeri ini”, ujarnya yang menyertai aktiviti larian ‘Run it Out’,” katanya ketika ditemui wartawan.
Turut hadir Sabarudin Yeop Hamza, Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Sembilan, Rektor UiTM Negeri Sembilan, Prof. Dr. Nasrudin Mohammed serta ketua-ketua Jabatan Daerah.