Skip to main content
Berita TempatanHomeSelangor

Penurunan Peratus Keluar Mengundi Tiga PRK Membimbangkan – Azmin

By 9 September 2018Tiada komen2 minit bacaan

Laporan dan Foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 9 Sep (Malaysiaaktif) – Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, melahirkan kebimbangan terhadap penurunan peratus keluar mengundi tiga pilihan raya kecil (PRK) yang diadakan baru-baru ini.

“Kita perlu ambil iktibar melalui PRK yang diadakan kerana kehadiran dan penyertaan pengundi begitu merosot sehingga kurang daripada 50 peratus.

Azmin (tiga dari kiri) bergambar bersama perwakilan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) Gombak di Taman Gombak, hari ini.

Azmin (tiga dari kiri) bergambar bersama perwakilan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) Gombak di Taman Gombak, hari ini.

“Sekiranya perkembangan ini berterusan, saya bimbang masa depan PKR dan Pakatan Harapan (PH) akan terjejas, seandainya tidak diambil langkah-langkah yang proaktif untuk belajar daripada tiga PRK tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan di Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) Gombak di Dewan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Taman Gombak, sini hari ini.

Azmin yang merupakan Ketua PKR Cabang Gombak, mengulas isu peratusan keluar mengundi yang rendah ketika PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis mencatatkan 48 peratus, DUN Seri Setia (43 peratus) dan DUN Balakong hanya 42 peratus sahaja.

Beliau berpendapat kemungkinan rakyat sudah ‘letih’ dengan politik-politik di negara ini kerana banyak pihak hanya bermain politik hingga tidak memberi perhatian kepada pembangunan negeri dan negara.

“Saya mengajak rakyat dan anggota parti supaya mengelakkan daripada fenomena ‘letih dalam perjuangan’ kerana salah kita sendiri yang terlalu banyak berpolitik hingga lupa membangunkan negara, memulihkan ekonomi dan memberi kesejahteraan kepada rakyat.

Azmin (empat dari kanan) ketika menyampaikan ucapan semasa Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) Gombak, hari ini.

Azmin (empat dari kanan) ketika menyampaikan ucapan semasa Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) Gombak, hari ini.

“Mandat besar yang diberikan oleh rakyat semasa pilihan raya umum ke-14 (PRU14) harus diberikan perhatian kepada pembangunan negara dan ketepikan kepentingan peribadi,” ujarnya.

Menurutnya yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, sebelum PRU14, rakyat telah diberi harapan yang besar bahawa PKR dan PH mahu membawa politik baharu di negara ini.

“Kita ajak rakyat supaya runtuhkan tembok kezaliman, lawan perasuah dan yakinkan rakyat bahawa PH dan PKR membawa budaya dan politik baharu yang akhirnya membaca kemenangan yang besar,” katanya.

“Tidak mungkin rakyat khususnya orang Melayu dan bumiputera meletakkan harapan dan sokongan kepada PKR sekiranya kita gagal menyakinkan mereka bahawa inilah satu-satunya parti di dalam PH yang akan membawa satu politik baru, bukan politik perkauman tetapi untuk semua rakyat,” tegasnya di hadapan 260 orang perwakilan.

 

-NAZ

Tinggalkan komen anda