
Laporan oleh: Fauzrina Bulka/ Foto: Azman Jumat(Sabah)
PUTATAN, 23 Sept (Malaysiaaktif) -Golongan belia di daerah ini digalakkan untuk terus bergiat aktif dalam aktiviti berbentuk keagamaan sebagai usaha meningkatkan syiar Islam di Putatan.
Pembantu Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Uda Sulai berkata, pembabitan aktif anak-anak muda mampu menjadi satu elemen dakwah dari peringkat akar umbi dalam memastikan gejala-gejala negatif dapat ditangani secara efisyen.
“Penglibatan belia dan beliawanis menyertai mana-mana persatuan keagamaan di daerah ini amatlah dialu-alukan dalam usaha kita membentuk sebuah masyarakat yang lebih berdisiplin serta menegakkan dan meningkatkan syiar Islam.
“Ia sekaligus menjadi salah satu cara kita menyekat gejala negatif daripada terus menular di kalangan penduduk daerah ini khususnya di peringkat akar umbi,”katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Perwakilan Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Bahagian Penampang kali ke-32 bagi tahun 2018 /1440H, disini pada Sabtu.
Hadir sama adalah Setiausaha Agung USIA Pusat, Datuk Hamzah Mohd Zakaria.
Dalam mesyuarat berkenaan, Uda turut dipilih dan dikekalkan sebagai Ketua Bahagian USIA Penampang.
Sementara itu, mengulas mengenai peranan USIA di daerah terbabit, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N. 18 Petagas berkata, kepimpinan USIA sekarang amat relevan dan banyak berusaha mengatasi permasalahan sedia ada.
“USIA salah satu wadah sebagai berkumpul dan badan pemikir umat islam dan memainkan peranan mendalam dari dulu termasuklah di daerah Putatan ini.
“Saya harap dengan pemilihan pemimpin dan AJK Bahagian sama ada yang dikekalkan atau sebaliknya pada mesyuarat ini, dapatlah kita bersama-sama terus memartabatkan syiar Islam di Putatan dari semasa ke semasa,” katanya.
-FB