
Laporan dan foto oleh: Zaidi Jamin (Sabah)
KOTA KINABALU, 4 Okt (Malaysiaaktif) – Warga di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di negeri ini digalakkan untuk terus mencipta projek serta produk inovasi perubatan yang dinamik dan efisien agar mutu perkhidmatan yang disalurkan terus berkembang serta membantu masyarakat.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr. Christina Rundi berkata, usaha untuk membudayakan kreativiti dan inovasi di kalangan warga KKM akan terus dipergiat bukan sekadar untuk memperkemaskan perkhidmatan yang ditawarkan, sebaliknya memberi impak serta manfaat kepada organisasi dan orang ramai.
“Projek-projek inovasi yang dihasilkan sudah tentu mempunyai potensi untuk memperbaiki kaedah, prosedur dan cara kerja seharian.

Dr. Christina melawat tapak pameran dan menyaksikan projek inovasi daripada hospital yang mengambil bahagian.
“Sehubungan itu, setiap penghasilan projek inovasi bukan sahaja perlu ditambah nilai malah perlu dimantapkan serta diaplikasikan bagi meningkatkan lagi kecekapan dan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan dan perubatan di negeri ini,”ujarnya.
Dr. Christina berkata demikian semasa merasmikan Majlis Perasmian Penutupan Pertandingan Anugerah Inovasi, anjuran Bahagian Kesihatan Pergigian, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) di Auditorium Hospital Queen Elizabeth (HQE) di sini, pada Rabu.

Dr. Christina melawat tapak pameran dan menerima penjelasan daripada ketua pasukan yang menyertai pertandingan inovasi peringkat JKNS.
Tambahnya, kejayaan dalam penghasilan sesuatu inovasi peringkat organisasi amat bergantung kepada komitmen pelbagai pihak.
“Selain sumbangan buah fikiran setiap ahli pasukan, peranan pihak atasan juga penting dalam menyuntik motivasi dan semangat pasukan dalam penghasilan inovasi yang lebih berkualiti dan sesuai untuk kepentingan dan kebaikan bersama.
“Saya menghargai dan berbangga dengan kesungguhan anggota JKNS menghasilkan projek-projek inovasi yang bermutu sehingga berjaya di peringkat negeri dan kebangsaan.
“Saya berharap projek Inovasi yang berpotensi dan bermutu akan terus diperhalusi dan dikembangkan agar mampu dimanfaatkan secara lebih menyeluruh,”katanya.
Pertandingan Anugerah Inovasi Peringkat JKNS yang berlangsung selama tiga hari sejak Isnin lalu menyaksikan lebih 28 projek inovasi perubatan diketengahkan dan dibentangkan oleh kumpulan inovasi dari hospital-hospital seluruh Sabah.
Bertemakan ‘Dari Idea Ke Realiti’, acara anugerah tahunan ini antara lain bertujuan memberi pengiktirafan kepada hasil-hasil inovasi warga KKM yang mampu peningkatan kualiti penyampaian dan perkhidmatan, selain memupuk dan menyemarakkan budaya kreatif dan inovatif warganya dalam melaksanakan tugas harian.

Hospital Queen Elizabeth II dinobatkan Johan bagi Kategori Inovasi Produk melalui tajuk projek, Blood Eco- Part
Pada pertandingan ini, Kumpulan Paradigma dari Hospital Kuala Penyu dinobatkan Johan bagi Kategori Inovasi Perkhidmatan, manakala Jabatan Patologi, HQE menjadi Johan bagi Kategori Inovasi Teknologi.
Bagi Kategori Inovasi Proses, Johan dimenangi kumpulan EXC Star dari Hospital Lahad Datu, manakala kumpulan JPT Dynamic dari HQE II dinobatkan Johan bagi Kategori Inovasi Produk melalui tajuk projek, Blood Eco- Part.

Unit Pemandu Hospital Tuaran melalui Projek ET Fixator terpilih menerima Kategori Anugerah Khas Juri.
Pemenang setiap kategori turut menerima hadiah berbentuk sijil serta wang tunai sebanyak RM 1,000.
Turut terpilih menerima anugerah bagi kategori Anugerah Khas Juri ialah kumpulan Inovasi dari Klinik Pergigian Kota Belud, Pejabat Kesihatan Kawasan Sandakan dan dua kumpulan dari Hospital Tuaran.
Hadir sama pada majlis tersebut Timbalan Pengarah Bahagian Pergigian selaku Pengerusi Penganjur Pertandingan, Dr. Lawrence Mah Hon Kheong, pengarah-pengarah hospital seluruh Sabah serta pegawai-pegawai kanan KKM.
-FB