Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Program MESEJ Ubah Nasib Peserta

By 4 Oktober 2018Tiada komen4 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan dan foto: Mary Anne R.(Sabah)

 

 

KENINGAU, 4 Okt (Malaysiaaktif) – Pengenalan Program Mini Estate Sejahtera (MESEJ) di negeri ini beberapa tahun yang lalu telah memberi peluang kepada peserta yang terdiri daripada Ketua Isi Rumah Miskin Tegar (KIRMT) untuk membina kehidupan baru yang lebih baik.

Sebagai contoh, MESEJ Bunang bukan sahaja berjaya membantu meningkatkan pendapatan para peserta program MESEJ tetapi juga dapat mengeluarkan peserta daripada garis kemiskinan tegar.

Rumah peserta MESEJ Bunang

Rumah peserta MESEJ Bunang

Ini terbukti apabila pendapatan peserta MESEJ itu menunjukkan peningkatan yang ketara lima kali ganda iaitu daripada sekitar RM200 sebulan sebelum menyertai program itu kepada lebih RM1,000 sebulan.

PETRUS-BUNANGSeorang daripada 33 peserta MESEJ Bunang, Petrus Yuyah yang berasal dari Kampung Minopir dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Liawan berkata, beliau mula berhijrah ke MESEJ Bunang pada tahun 2012, selepas melalui proses temu duga dan tapisan daripada pihak pejabat daerah Keningau.

“Pada ketika itu, pendapatan saya sekitar RM250 hingga RM400 sebulan tetapi setelah menyertai MESEJ Bunang, pendapatan saya telah meningkat sehingga RM1,200 sebulan.

“Terima kasih kepada kerajaan khususnya SLDB, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah, Pejabat Daerah dan semua agensi yang terlibat menjayakan program ini,” katanya ketika ditemui pemberita semasa lawatan Menteri Pembangunan Luar Bandar Ewon Benedick di MESEJ Bunang Keningau, baru-baru ini.

Seorang lagi peserta, Severinus Ambrose, dari Kampung Bakiau berkata, pendapatan bulanannya kini jauh lebih baik berbanding sebelum menyertai program MESEJ Bunang.

“Kalau dulu, semasa bekerja sendiri mengusahakan tanaman sayur-sayuran di kampung, pendapatan saya tidak menentu. Kadang-kadang RM100 sebulan dan kadang-kadang langsung tiada.Severinus-BUNANG 2

“Tetapi bila terpilih sebagai peserta di MESEJ Bunang, pendapatan saya meningkat sehingga RM1,000. Program ini benar-benar membantu mengubah kehidupan kami sekeluarga,” katanya.

Begitu juga dengan Jaliah Muadin, ibu kepada tiga orang anak, beliau berterima kasih kepada kerajaan atas usaha menyediakan pelbagai kemudahan untuk keselesaan para peserta di MESEJ Bunang.

“Di sini banyak kemudahan disediakan, selain menerima pendapatan tetap, kebajikan peserta juga dijaga dengan baik. Misalnya anak kami pergi sekolah keselamatannya terjamin, sebab ada bas sekolah yang mengambil dan menghantar mereka ke sekolah.

“Kalau di kampung dulu, tambang bas sekolah untuk anak saya sebanyak RM120 setiap bulan tapi sekarang saya tidak perlu risau lagi kerana bas sekolah percuma disediakan untuk anak-anak peserta MESEJ Bunang.

“Selain itu kita pergi hospital pun ada kenderaan disediakan untuk menghantar dan mengambil peserta MESEJ yang memerlukan rawatan di hospital,” katanya.

Daripada segi pendapatan, Jaliah berkata, sebelum menyertai program itu, beliau tiada pendapatan tetap dan hanya memperoleh sekurang-kurangnya RM250 sebulan hasil pendapatan menoreh getah.

JALIAH-BUNANG 3“Tetapi selepas menyertai MESEJ Bunang, alhamdulillah pendapatan saya boleh mencapai sehingga RM900 sebulan dan saya sudah mampu membeli sebuah motosikal,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Luar Bandar Ewon Benedick berkata, MESEJ Bunang yang mengusahakan tanaman sawit merupakan antara yang paling berjaya di antara 52 Mesej seluruh Sabah.

Beliau berkata, kejayaan itu dapat dilihat menerusi peningkatan purata pendapatan kesemua peserta MESEJ iaitu dari RM727 sebulan pada 2013 kepada RM1,079 sebulan pada 2018.

“Pada pendapat saya, MESEJ Bunang I adalah antara satu daripada kesemua MESEJ di seluruh Sabah yang paling berjaya kerana KPLB Sabah secara konsisten membayar dividen kepada seramai 33 peserta.

“Selain disediakan rumah, bekalan elektrik, air dan jalan raya yang selesa, turut disediakan di MESEJ Bunang I ialah bas sekolah untuk menghantar anak-anak peserta ke sekolah,” katanya.

Ewon yang juga Adun Kadamaian mahu agar para peserta MESEJ Bunang mempelbagaikan aktiviti pertanian untuk menambah sumber pendapatan mereka.

“Memandangkan kos sara hidup semakin meningkat, kita mahu membantu para peserta MESEJ di sini untuk mempelbagaikan aktiviti pertanian dan penternakan yang bersesuaian bagi meningkatkan lagi pendapatan bulanan mereka,” katanya.

Ewon(kiri) ketika melawat rumah salah seorang peserta.

Ewon(kiri) ketika melawat rumah salah seorang peserta.

Beliau turut memuji usaha dan kerjasama semua jabatan serta agensi berkaitan yang membantu membangunkan MESEJ Bunang.

 

-FB

 

Tinggalkan komen anda