Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Kolej Vokasional Menempa Nama Dipersada Antarabangsa

By 17 Oktober 2018Tiada komen3 minit bacaan

Laporan Oleh : Mohd Mahathir/Foto: Kolej Vokasional Keningau (Sabah)

 

 

KENINGAU, 17 Okt (Malaysiaaktif) – Kolej Vokasional (KV) Keningau telah meraih pingat gangsa sempena pertandingan International Robotic Contest yang berlangsung di Kintex Exhibition Hall, Seoul,Korea pada 12 Oktober lalu.

Malaysia diwakili oleh KV Keningau dan Kolej Vokasional Kuantan yang mendapat pingat emas dalam kategori sekolah menengah.

Guru pengiring, Mohamad Al Khalifa Mohd Affnan berkata sebelum mengikuti pertandingan di Seoul, mereka terlebih dahulu mengikuti pertandingan di peringkat kebangsaan.

“Banyak kekangan yang kami tempuhi antaranya kewangan, teknologi, teknikal dan juga masa yang terbatas kerana profesion saya sebagai pensyarah KV dan sesi pembelajaran para pelajar yang menyertai pertandingan ini.

thumbnail

“Namun, atas dorongan dan sokongan Pengarah KVK, Johari@Jaibet Sabin, kami sahut cabaran ini memandangkan jurusan robotik ini agak baru dan asing.

“Jadi kami berusaha untuk memberikan yang terbaik dan bermula dari kosong, kami mulakan perancangan, susun dan terjemahkan idea kami menjadi realiti walaupun terpaksa mengeluarkan belanja dari poket kami sendiri,”ujarnya.

Tambahnya, saingan sengit daripada peserta Korea dan juga KV Kuantan memberikan pengalaman yang cukup berharga buat mereka.

“Mendapat tempat ketiga dalam pertandingan ini merupakan satu titik permulaan ke arah industri robot di Malaysia dan juga pelaksanaan modul dalam pembelajaran di Kolej Vokasional Keningau.”katanya.

Peserta, Enilgo Epui,18, yang mengambil jurusan teknologi automotif berkata pertandingan ini merupakan cabaran yang agak sukar kerana ditugaskan untuk pemasangan rangka dan struktur robot yang kompleks.

Menurutnya, Teknologi robotik ini bukan perkara mudah dan amat mencabar minda dan tenaga kerana teknologi ini masih baru buat mereka.

Sementara itu, tugasan untuk rekaan struktur dan mekanikal diserahkan kepada rakan sekumpulannya Hariz Fadhullah Dol yang juga berusia 18 tahun.

thumbnail (2)

“Gabungan idea dari guru dan juga rakan-rakan membolehkan robot ini terhasil.

“Jika saya seorang memang saya tidak mampu untuk membuat robot ini, jadi idea daripada rakan dan guru memainkan peranan penting supaya robot ini berfungsi,” katanya.

Manakala seorang lagi rakan, Princefony Johnny,19, yang mengambil Jurusan Elektrik pula ditugaskan di bahagian “otak” dan juga pendawaian.

“Tugasan yang sukar ini melibatkan pengaturcaraan komputer yang rumit, dengan bantuan aplikasi komputer sememangnya memudahkan tugasan kami.

“Walaupun pada objektifnya membuat robot untuk memasukkan bola ke dalam jaring nampak mudah pada pandangan mata kasar, tetapi di sebalik proses itu melibatkan pelbagai fasa dan pengaturcaraan komputer yang diperlukan,” ujarnya.

Dalam pada itu, menurut Pensyarah KV, Mohd Sirhajwan Idek,30, pertandingan seperti ini selaras dengan seruan kerajaan yang memperkasakan Technical and Vocational Educational Training(TVET).

“Secara tidak langsung, ia dapat menambah lagi peluang kepada para belia untuk memupuk minat dalam industri robotik sejajar dengan revolusi industri 4.0 kini yang akan melibatkan banyak penggunaan robot dalam industri pada masa akan datang.

“Sebagai pensyarah di kolej ini saya juga berbangga dengan kejayaan ini dan sekali gus mempromosi Kolej Vokasional Keningau di peringkat antarabangsa dan kejayaan ini dapat dikongsi bersama rakyat Malaysia dan menambah beberapa koleksi kejayaan luar Negara yang telah kami peroleh,”katanya.

Timbalan Pengarah, Kolej Vokasional Keningau, Mark Medi, turut berterima kasih kepada semua peserta dan pensyarah yang bertungkus lumus mengerah keringat dan juga wang ringgit tanpa mengira penat lelah demi sebuah kejayaan.

“Saya akan sentiasa terus menyokong kepada pembangunan seperti ini sama ada dalam negeri mahupun luar negara.

“Pencapaian pensyarah dan pelajar di sini amatlah besar. Pada tahun ini saja kami telah berjaya mendapat tempat di mata dunia dengan memenangi empat emas di World Invention Innovation di Seoul,Korea pada Jun lalu.

“Kemudian, kami memenangi satu emas dan dua gangsa di International Young Inventor Awards di Bali,Indonesia dan meraih naib johan pada Pertandingan Anugerah Inovasi dalam pengajaran metodologi kajian 2018 di Rom, Itali Julai lalu,”jelasnya.

Beliau juga berharap agar kesemua pensyarah dan pelajar agar tidak mudah berputus asa dan terus dengan usaha memajukan dan mempromosikan Kolej Vokasional di mata dunia.

Tinggalkan komen anda