
PUTRAJAYA, 3 Dis (Malaysiaaktif) – Kementerian, jabatan dan agensi kerajaan perlu memperkasakan perkhidmatan Pesanan Khidmat Awam (PKA) melalui pelbagai saluran media bagi meningkatkan pemahaman rakyat mengenai sesuatu isu, kata Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Datuk Dr Mohd Ali Mohamad Nor.
Beliau berkata di samping menyediakan peruntukan yang mencukupi bagi tujuan pembikinan PKA dan pembelian ruang media, tenaga pekerja pakar kreatif juga perlu diberi perhatian.
Berucap pada Bengkel Pemerkasaan Perkhidmatan PKA di sini hari ini, Mohd Ali berkata sejajar dengan perkembangan teknologi komunikasi semasa, rakyat kini terdedah kepada ledakan maklumat yang tinggi melalui pelbagai saluran media.
Justeru, katanya kerajaan juga perlu lebih kreatif dalam membangunkan maklumat-maklumat kerajaan yang menarik dan perlu menggunakan semua saluran komunikasi dengan lebih meluas.
“Rakyat kini lebih gemar memilih dan membaca maklumat-maklumat yang berbentuk ringkas, padat dan menarik yang diolah menggunakan pelbagai teknik grafik dan multimedia.
“Maklumat-maklumat sebegini memang popular terutama di media sosial seperti melalui aplikasi Facebook, Twitter dan WhatsApp,” katanya.
Menurut Mohd Ali, pada masa ini terdapat peraturan di bawah KKMM yang mensyaratkan atau membenarkan siaran PKA Kerajaan secara percuma.
“Setiap stesen televisyen atau radio swasta perlu memberi layanan istimewa kepada kerajaan yang menetapkan tempoh wajib siaran PKA sekurang-kurangnya dua minit setiap penyiaran,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Ali berkata penyebaran pelbagai maklumat yang mengelirukan perlu ditangani dengan cekap supaya rakyat mendapat maklumat yang tepat, sahih dan cepat melalui penggunaan bahasa yang ringkas dan infografik yang menarik.
“Kerajaan sedang memberi penekanan tinggi terhadap strategi komunikasi yang berkesan untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat bagi meningkatkan pemahaman mengenai sesuatu isu berbangkit dan menangani persepsi negatif terhadap kerajaan,” katanya. – BERNAMA