Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

Kes Rabies Sarawak, Pelbagai Agensi Bekerjasama Tingkat Kesedaran

By 18 Disember 2018Mei 7th, 2019Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto: Robin Junang (Sarawak)

KUCHING, 18 Dis (Malaysiaaktif) – Jangan memandang ringan akan wabak penyakit anjing gila atau rabies. Semenjak ia diisytiharkan  wabak di Sarawak, penyakit ini telah meragut 15 nyawa semenjak  30 Jun tahun lalu. Hanya seorang sahaja pesakit yang telah keluar dari hospital namun masih menanggung komplikasi neurologi yang serius.

Penyakit ini semakin memberi ancaman terhadap kesihatan penduduk negeri ini dan masyarakat semakin takut apabila terlihat anjing liar berkeliaran di kawasan bandar dan kampung. Stigma dan tanggapan terhadap anjing menghantui sebahagian daripada pejalan kaki terutamanya di kawasan perumahan dan  bangunan kedai. Bagi mengelak ancaman anjing ini, mereka terpaksa membawa kayu sebagai senjata untuk mengelakan diri daripada diserang anjing liar.

Pemilik-pemilik anjing juga kurang peka dengan membiarkan anjing mereka bebas berkeliaran kawasan perumahan dan bangunan kedai. Kes-kes gigitan anjing kebanyakan berlaku adalah  di kawasan perumahan dan bangunan kedai. Peningkatan kes gigitan anjing ini disebabkan oleh tahap kesedaran pemilik dan masyarakat terhadap penyakit anjing gila masih rendah.

Berdasarkan laporan dari Jawatankuasa Pengurusan  Bencana  Negeri Sarawak, setakat ini lebih kurang 98,620 ekor anjing dan 8,508 ekor kucing telah divaksinasikan. Daripada statistik tersebut sebanyak 293 ekor anjing dan 20 ekor  kucing dikenalpasti positif rabies.  Setakat ini kes gigitan anjing lebih kurang 18,222 dengan purata bulanan sebanyak 1,071.

Setakat ini  sebanyak 6,395 vaksinasi ke atas manusia manakala pengawalan populasi anjing lebih kurang 13,000 telah dilakukan oleh agensi terbabit. Hampir seluruh bahagian negeri Sarawak telah diisytiharkan sebagai kawasan atau zon yang mempunyai wabak rabies kecuali Bahagian Limbang.. Sebanyak 58 kawasan dalam 11 bahagian negeri diisytiharkan sebagai sebagai zon wabak rabies.

Risalah infografik yang dicetak dan ditular di dalam media sosial

Risalah infografik yang dicetak dan ditular di dalam media sosial

Beberapa kempen vaksinisasi haiwan dan manusia telah dijalankan oleh agensi kerajaan yang berkaitan bagi memastikan wabak ini dapat dikawal. Kempen-kempen pencegahan jangkitan dan panduan  virus rabies ini telah dijalankan oleh beberapa agensi melalui media eletronik seperti media eletronik, media cetak dan media siber.

Jabatan Penerangan Sarawak  sebagai peneraju perhubungan awam  kerajaan telah bertindak melaksanakan beberapa kempen kesedaran  dan pencegahan rabies bagi membantu agensi-agensi seperti Jabatan Kesihatan Negeri, Jabatan Veterinar Negeri, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak. Tindakan JaPen Sarawak adalah untuk memberi kesedaran melalui hebahan umum di dalam media sosial dan juga  komunikasi bersemuka tentang penyakit tersebut.

Siaran berulang rakaman pesanan atau tip kesihatan rabies turut dilakukan oleh RTM melalui rancangan terbitan mereka.  Jabatan Penerangan Sarawak turut memainkan peranan dengan membuat rakaman videografik dan infografik untuk hebahan melalui media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram. Pesanan atau tip kesihatan ini merupakan panduan serta langkah-langkah berkenaan dengan penyakit rabies yang disampaikan oleh  Dr Eunice Mellisa Joseph, pakar kesihatan awam, Jabatan Kesihatan Bahagian Kuching.

Tim Media Sosial membuat rakaman pesanan atau tip rabies dengan Dr. Eunice

Tim Media Sosial membuat rakaman pesanan atau tip rabies dengan Dr. Eunice

Risalah-risalah dan poster-poster   turut diedarkan kepada penduduk di zon wabak dan juga bukan zon wabak rabies. Tindakan pantas ini adalah untuk mengelak masyarakat daripada panik dan mengambil langkah-langkah pengawalan dan pencegahan rabies.

Kempen kesedaran dan pencegahan ini sekurang-kurangnya dapat membantu masyarakat agar mereka mengambil langkah-langkah tertentu sekiranya mereka terkesan anjing-anjing yang disyaki mempunyai simpton pembawa rabies. Ia juga memberi panduan dan rujukan kepada mereka yang digigit anjing. Difahamkan beberapa kes kematian akibat penyakit ini adalah kerana tindakan lambat mangsa untuk mendapatkan rawatan di hospital.

-ER

Tinggalkan komen anda