Skip to main content
Berita TempatanHomeSelangor

Bakar Mercun, Tiga Ditahan Reman

By 22 Januari 2019Tiada komen1 minit bacaan
Laporan / Foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 22 Jan (Malaysiaaktif) – Pihak Polis berjaya menahan tiga suspek kes letupan mercun berhampiran Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves malam semalam yang mencederakan 34 orang.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, semua suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini sehingga 25 Januari.

“Suspek pertama lelaki berusia 23 tahun ditahan di lokasi kejadian, suspek kedua dan ketiga pula ditahan jam 1 pagi dan 3 pagi di sekitar Batu Caves,” katanya.

Orang ramai melihat keadaan sebuah kereta yang terjejas akibat letupan mercun.

Orang ramai melihat keadaan sebuah kereta yang terjejas akibat letupan mercun.

Samsor berkata, dalam kejadian berlaku jam 9 malam itu, seramai 34 orang dilaporkan cedera selepas mercun yang dibakar suspek sepatutnya meletup di udara, namun disebabkan masalah teknikal ia meletup atas jalan raya.

“Enam orang yang cedera telah dihantar ke Hospital Selayang, Kuala Lumpur dan Sungai Buloh, manakala 28 lagi menerima rawatan di klinik kesihatan berhampiran.

“Mangsa yang menerima rawatan di hospital juga telah dibenarkan pulang secara berperingkat,” katanya.

Tambah beliau, susulan kejadian juga menyebabkan tiga kenderaan yang diletakkan berhampiran lokasi turut terjejas kesan letupan tersebut.

“Pihak polis tidak mengeluarkan permit bagi pembakaran mercun pada perayaan tersebut. Kes disiasat bawah Seksyen 286 Kanun Keseksaan,” katanya.

 

-NAZ

Tinggalkan komen anda