
Laporan / Foto: Mohd Zaid Awang
GOMBAK, 27 Jan (Malaysiaaktif) – Anggota bomba berjaya menangkap 15 ekor ular sawa batik sekaligus di Taman Tasik Sri Gombak, di sini hari ini.
Kejayaan operasi tersebut dikongsikan bersama di laman facebook milik Bomba Selayang dan mendapat perhatian netizen.
Difahamkan, kontraktor yang sedang membuat pemotongan rumput di kawasan riadah itu terlihat seekor anak ular yang masuk ke dalam lubang di bahagian semak bawah pokok mati, kemudian bertindak menghubungi bomba.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Selayang, Wan Saharin Wan Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 12.06 tengah hari.
“Seramai enam anggota terlibat iaitu tiga dari Balai Bomba Selayang dan tiga anggota sukarelawan bomba dari Gombak dan Kepong.
“Mereka bertindak mengorek lubang hampir setengah jam dan menemukan sarang anak ular tersebut,” katanya.
Menurutnya, terdapat anak ular yang agak agresif dan juga cuba melarikan diri namun kesemuanya berjaya ditangkap.
“Bagaimanapun ibu ular tersebut tidak ditemui. Semua ular yang ditangkap dibawa pulang ke balai dan akan dilepaskan di kawasan selamat dalam masa terdekat,” katanya.
-NAZ