Skip to main content
HomeLabuan

Kempen Kibar Bendera WP Bangkit Semangat Patriotik

By 27 Januari 2019Tiada komen3 minit bacaan
 Laporan/ foto: Md Khairul Azad Yunus Jeffrey Nian

LABUAN, 27 Jan (Malaysiaaktif) – Kempen Kibar Bendera Wilayah Persekutuan (WP) dapat membangkitkan semangat patriotik dan cintakan tanah air khususnya di kalangan warga Labuan.

Menurut Pengerusi Perbadanan Labuan (PL), Dato Sri Amir Hussien, acara itu merupakan acara pembukaan Kalendar Sambutan Hari Wilayah Persekutuan.

“Dengan berkibarnya bendera Wilayah Persekutuan yang menghiasi bangunan, jalan raya, kampung, taman perumahan dan ruang pejabat, bukan sahaja menjadi petunjuk meraikan ketibaan 1 Februari bahkan diharap dapat menzahirkan rasa bangga menjadi warga Wilayah Persekutuan yang maju dan sejahtera.

“Rasa bangga dan cintakan tanah air merupakan perkara yang dituntut di dalam agama Islam kerana cintakan watan itu adalah sebahagian daripada iman,” katanya.

Amir (depan) bersama Azhar ( kiri) menyempurnakan gimik Pelancaran Kempen Kibar Bendera WP, Peringkat W.P Labuan

Amir (depan) bersama Azhar ( kiri) menyempurnakan gimik Pelancaran Kempen Kibar Bendera WP, Peringkat W.P Labuan

Jelasnya, pelancaran kempen itu juga melibatkan semua lapisan masyarakat di Labuan.

“Bermula dari pelajar tadika, Gen-Y dan warga emas yang hadir bukan sahaja sebagai jemputan namun turut menyertai pelbagai aktiviti pengisian seperti Kayuhan Sihat, pertandingan mewarna, pertandingan mencari harta karun dan Zumba ria.

“Pendekatan ini dilihat dapat membawa kita ke arah gaya hidup yang sihat dan seterusnya melahirkan pemikiran yang sihat.

“Selain itu, kemeriahan yang disambut di Medan Selera ini direbakan ke sekitar bandar Labuan apabila konvoi Kayuhan Sihat melalui beberapa jalan utama dan singgah ke Pasar Sentral bagi sesi walk-about sambil mengedarkan bendera kepada para peniaga di sana,” katanya semasa berucap merasmikan Pelancaran Kempen Kibar Bendera WP, Peringkat W.P Labuan pagi tadi.

Tambahnya, kempen bukan terhenti ketika majlis pelancaran namun kemeriahannya akan berterusan apabila semua pihak dipelawa menyertai Pertandingan Kibar Bendera Wilayah Persekutuan yang berlangsung sepanjang bulan Februari.

Amir bersama-sama tetamu jemputan lain melakukan pelepasan acara Kayuhan Sihat.

Amir bersama-sama tetamu jemputan lain melakukan pelepasan acara Kayuhan Sihat.

“Sebanyak tujuh kategori akan dipertandingkan iaitu bangunan kerajaan, bangunan swasta/ premis perniagaan, bangunan sekolah menengah/ sekolah menengah agama Islam, bangunan sekolah kebangsaan/ sekolah rendah agama Islam, bangunan sekolah tadika/ tabika dan kampung.

“Berdasarkan pengalaman lepas, kemeriahan kibaran bendera di Labuan sentiasa menjadi sebutan dan contoh terbaik berbanding di Kuala Lumpur dan Putrajaya, inilah semangat yang kita harapkan agar sentiasa diteruskan dan menjadi budaya kehidupan masyarakat kita di sini,” katanya di hadapan seribu hadirin yang menghadiri majlis tersebut.

Jelasnya lagi, acara kemuncak Sambutan Hari Wilayah Persekutuan peringkat Labuan ialah Kenduri Rakyat pada 15 Februari 2019 yang akan dirasmikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid bin Abdul Samad.

“YB Menteri juga akan menyaksikan Karnival Sukan yang akan diadakan pada 16 Februari 2019 di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan yang dikelolakan bersama Perbadanan Labuan, Jabatan Belia dan Sukan Labuan serta Majlis Sukan Wilayah Persekutuan.

“Acara-acara yang dianjurkan ialah Fun Ride, Fun Walk & Run, Bola Tampar Pantai, Petanque Pantai, e-sport, Mini Marathon Kayak dan Aerobik Pantai.

“Acara-acara ini secara langsung turut mengundang penyertaan dari kawasan berdekatan seperti Kota Kinabalu, Beaufort, Sipitang, Kuala Penyu, Menumbok, Limbang, Lawas, Miri dan negara Brunei Darussalam,” jelasnya.

Penyertaan dari luar Labuan itu katanya menggambarkan betapa Hari Wilayah Persekutuan turut dinanti-nantikan dan menjadi sebab mereka berkunjung ke Labuan.

“Kita berharap agar kemeriahan Sambutan Hari Wilayah Persekutuan peringkat Labuan pada tahun ini sekali lagi mencatatkan jumlah ketibaan pengunjung yang memberangsangkan malah melebihi catatan tahun lalu iaitu seramai 100,294 orang,” katanya.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif PL, Datuk Azhar Ahmad, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) PL, Fadzilah Mahmud, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan) PL, Ibrahim Tambi dan Ahli-Ahli Majlis Penasihat PL.

EM
Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda