Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

Lebuh Raya Pan Borneo Fasa Pertama; Dirasmi Esok

By 25 Januari 2019Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:
Laporan/foto: Mohd Baharruddin Mohamad/Cassidy Lisut (Sarawak)

SEMATAN, 25 Jan (Malaysiaaktif) – Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo telah bermula  15 September 2015 dengan melibatkan kos anggaran sebanyak RM 580 juta dan bagi Fasa Pertama Lebuhraya ini iaitu jajaran Telok Melano ke Sematan sepanjang 33km sedia digunakan oleh orang ramai dan akan dirasmikan pada hari esok.

Majlis bakal dirasmikan bersama oleh YB Menteri Kerja Raya dan YAB Ketua Menteri Sarawak membuktikan komitmen dan kerjasama erat Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak dalam menambahbaik jaringan infrastruktur jalan raya di Sarawak melalui pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak.

Selaras dengan visi dan komitmen Allahyarham Tan Sri Pehin Sri Haji Adenan bin Satem, mantan Ketua Menteri Sarawak, pembukaan jajaran Telok Melano ke Sematan bakal menyaksikan potensi perkembangan ekonomi dan pembangunan yang lebih giat di perkampungan sekitar Telok Melano khususnya Kampung Telok Melano dan Kampung Telok Serabang.

Gambar kenangan wartawan Malaysiaktif di Telok Melano yang merupakan titik permulaan Lebuhraya Pan Borneo

Gambar kenangan wartawan Malaysiaktif di Telok Melano yang merupakan titik permulaan Lebuhraya Pan Borneo

Kawasan Telok Melano khususnya berpotensi untuk dimajukan sebagai lokasi eko-pelancongan dengan lokasinya yang strategik, berdekatan dengan Tg.  Datu National Park dan Samunsan Wildlife Sanctuary.

Pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar turut dititikberatkan dalam usaha Kerajaan untuk menyediakan kemudahan infrastruktur jalanraya khususnya bagi jajaran Telok Melano ke Sematan. Memandangkan lokasinya merentasi Tg.  Datu National Park dan Samunsan Wildlife Sanctuary, pelbagai inisiatif telah diambil untuk mengurangkan impak pembinaan ke atas alam sekitar.

Di antaranya adalah penggunaan kabel komunikasi dan elektrik bawah tanah, pembinaan struktur jambatan rentangan panjang sebagai laluan haiwan liar di Jambatan Samunsan, mengubah rekabentuk jalan daripada dual carriageway kepada single carriageway untuk meminimumkan kawasan pembinaan dan mengelakkan pembinaan di kawasan berkepadatan tinggi pokok bakau.

-ER

Tinggalkan komen anda