
Laporan/ Foto: Fauzrina Bulka/ Azman Jumat (Kota Kinabalu)
KOTA BELUD, 29 Jan (Malaysiaaktif) – Bagi pencinta alam dan botani di seluruh dunia, pastinya tidak akan melepaskan peluang untuk melihat tumbuhan unik, Bunga Rafflesia secara dekat.
Menerima pelawaan Persatuan Pelancongan Kadamaian (KATA) untuk melihat bunga ini kembang pastinya tidak mampu ditolak, jadual pantas diatur dan kenderaan siap untuk bergerak.
Bunga Rafflesia atau dikenali sebagai Rafflesia Arnoldii, merupakan tumbuhan berbunga tunggal yang terbesar di dunia dan hanya dapat ditemukan di kawasan hutan hujan Asia Tenggara, iaitu Malaysia, Indonesia, Filipina dan Thailand.
Bunga tersebut diperkenalkan dalam dunia saintifik oleh Gabenor Syarikat Hindia Timur, Sir Stamford Raffles; Naturalis dan Ahli Fizik, Lady Sophia Raffles dan Dr. Joseph Arnold apabila bunga ini ditemukan pertama kali pada tahun 1818 di Bengkulu, Sumatera, Indonesia.
Setibanya di Konunukan yang terletak di Kampung Sayap, kami disambut mesra oleh Ranger Kehormat Taman-Taman Sabah, Aming Gemburus, 29 dan [email protected] Saddok, 35.
Kenderaan yang kami naiki perlu diletak di bahu jalan dan kami perlu merentas denai dan tebing curam selama kira-kira 10 minit untuk sampai ke lokasi yang pertama.
Ternyata memang rezeki kami dapat melihat dua kuntum bunga Rafflesia yang mengembang, serta tambahan tiga kuntum lagi beberapa hari selepasnya, walaupun baunya tidak seindah bungaan lain tetapi berdepan dengan tumbuhan unik tersebut sememangnya rezeki di awal tahun.
Menurut Aming, Bunga Rafflesia ialah tumbuhan parasit yang hidup menumpang di pokok lain, ini bermakna makanan dan nutrien tumbuhan ini diperoleh daripada perumahnya.
“Konunukan Kampung Sayap merupakan sebuah tempat yang dipenuhi oleh “wakau” atau akar perumah Rafflesia.
“Pada awal tahun 80-an orang kampung memang menyedari akan spesies Rafflesia, walau bagaimanapun kesedaran untuk menjaga tumbuhan seperti itu masih belum ada sehingga ada di kalangan mereka yang mengambil bunga Rafflesia yang masih berbentuk bulat untuk dijadikan bahan permainan.
“Kebanyakan kawasan sekitar telah diteroka untuk dijadikan kawasan penanaman padi dan juga buah buahan menyebabkan habitat Rafflesia berkurangan,” ujarnya.
Namun begitu, Aming yang juga pengusaha Konunukan Rafflesia dan keluarga bertindak untuk tetap mengekalkan kawasan tanah mereka agar tidak diganggu supaya kelestarian habitat semulajadi Rafflesia di kawasan tersebut akan sentiasa terjaga.
Menurutnya juga, terdapat juga individu-individu yang tidak bertanggungjawab yang datang menceroboh kawasan Konunukan dan membawa balik akar perumah supaya Rafflesia dapat tumbuh di kawasan mereka.
Jelas Aming, walaupun berjaya tumbuh, namun pembiakan tersebut tidak berkembang dan terhenti setakat di situ kerana agen semulajadi pendebungaan seperti tupai dan burung tidak menyebarkan biji benih yang merupakan proses penting dalam memastikan tumbuhan dapat terus hidup dan bertahan lebih lama.
Tambahnya lagi, dalam hutan hujan tropika yang tebal di mana tiupan angin adalah terhad, kebanyakan tumbuhan bergantung kepada haiwan bagi tujuan pendebungaan dan penyuraian biji benih.
Selepas merakamkan keindahan bunga Rafflesia, Aming membawa kami melawat Batu Gasatan, yang terletak di tengah Kampung Sayap dan mempunyai lagendanya sendiri.
Menurutnya, Batu Gasatan mendapat nama daripada salah seorang pahlawan yang terbilang di Kampung Sayap suatu ketika dahulu yang digelar atuk atau aki Gasatan.
“Orang-orang dahulu memang sering belajar pelbagai ilmu mempertahankan diri dan salah satunya ialah ilmu kuat.
“Hinggalah pada suatu ketika Aki Gasatan yang baru sahaja selesai bertapa ingin menunjukkan kekuatannya dengan cara mengangkat batu yang besar sambil mendaki bukit sehingga ke sebuah perkampungan lama.
“Batu itu kemudian ditinggalkan di kampung tersebut yang mana beberapa tahun kemudian, pada 2011 seramai 31 orang penduduk kampung termasuk saya cuba untuk memindahkan batu tersebut ke kawasan Paka di Kampung Sayap.
“Ia kemudian dijadikan tugu dengan tujuan untuk memperingati amalan nenek moyang terdahulu,” katanya.
Selepas itu, kami juga dibawa melawat ke Segindai yang merupakan sebuah tapak sejarah lokasi pertapaan dan juga lokasi menghaluskan potongan kepala pada zaman “mogisasangod” sebelum kepala tersebut digantungkan pada pokok ara atau “nunuk” yang tumbuh di kawasan tersebut.
Selepas lawatan di tapak lagenda tersebut, Aming membawa kami berehat di kebun duriannya yang terletak di Lombon Farmstay yang turut menawarkan penginapan untuk pengunjung luar.
Rumah tiga bilik yang lengkap dengan peralatan memasak di dapur, Lombon Farmstaynya turut menyediakan kemudahan asas seperti pondok tempat bersantai, kamar persalinan dan juga kolam mandi.
Dalam pada itu, yang turut bersama kami, Ezra juga ramah berkongsi cerita mengenai profesionnya sebagai ranger dan juga perbezaan Kampung Sayap dahulu dan sekarang.
Menurutnya, semenjak Kampung Sayap sudah mula diterima pelancong luar, mereka melihat perlunya dianjurkan kursus-kursus pengiktirafan untuk pemandu-pemandu arah di sini.
“Jadi kami para belia mengambil inisiatif untuk dapatkan lesen sebagai pemandu arah supaya jika nanti ada pelancong yang datang, kita tahu bagaimana untuk melayan mereka.
“Dengan itu, kami perlu sentiasa peka dengan iklan yang ditawarkan dan kebetulan Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) menganjurkan kursus perlesenan untuk pemandu arah setempat dan tertumpu di lokaliti Lembah Danum, Maliau Basin dan Kinabatangan.
“Bayaran sepatutnya dalam lingkungan RM6,000 hingga RM7,000 tetapi memandangkan ketika itu kami ditaja dan ditemuduga oleh JPSM, maka segalanya percuma sahaja.
“Kursus tersebut dikendalikan oleh Borneo Tourism Institute yang mengambil masa selama 20 hari di Maliau Basin termasuk praktikal dan peperiksaan.
“Tenaga pengajar pula terdiri daripada kalangan pemandu arah kanan dan pensyarah yang memang berpengalaman dan buat kajian mengenai alam serta penyelidik-penyelidik daripada Taman-Taman Sabah,” terangnya.
Tambah Ezra, selepas penyerahan sijil kelulusan, mereka diberi tempoh tiga bulan untuk memohon lesen, namun begitu, hanya 24 orang sahaja yang berjaya daripada hampir 200 orang yang mencuba nasib dan beliau satu-satunya yang berjaya mewakili Kampung Sayap.
Menurut Ezra juga, walaupun sebelum ini mereka tahu kewujudan air terjun di perkampungan tersebut tetapi tidak menganggapnya sebagai kawasan pelancongan kerana tiada promosi dilakukan dan hanya sekadar lokasi rekreasi penduduk kampung.
“Dahulu kami kurang pendedahan, jika ada pelancong luar datang, kami segera bersembunyi kerana malu untuk berkomunikasi berbeza sekarang kerana keyakinan sudah meningkat.
“Sekarang setiap kali pelancong luar datang, mereka akan ada aktiviti dengan murid-murid sekolah seperti mengadakan kelas bahasa Inggeris, kelas melukis, aktiviti permainan dalam bahasa Inggeris.
“Mereka juga turut diberi peluang melakukan aktiviti kampung seperti menoreh getah, membuat perangkap, melastik serta diberi pengalaman menanam padi bukit dan memetik buahan tempatan,” katanya.
Ternyata Kampung Sayap sememangnya unik kerana punya sumber air yang banyak dengan kira-kira 40 buah air terjun, terletak di kawasan pergunungan yang sesuai untuk mendaki serta kawasan hutan tebal, yang masi banyak belum diteroka dan dicemari dengan pembangunan.
Kata Ezra, kini juga sudah banyak Homestay dan Farmstay dibina yang menjadi sumber pendapatan sampingan dan banyak menukar rutin harian untuk kelangsungan hidup mereka sebagai petani.
Jelasnya juga, dalam apa jua perancangan yang dilakukan, masyarakat perlu menyokong usul kerajaan terutama sekali aspirasi yang dibuat oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Ewon Benedick.
“Beliau pernah menyatakan bahawa Kampung Sayap akan menjadi hub pelancongan melalui program Mini Estet Sejahtera (MESEJ) Kampung, maka penduduk perlu beri kerjasama penuh untuk merealisasikan hasrat itu agar apa yang kita mahu terutama jalan raya dapat dibuat.
“Harapan saya, jika pelancongan di Kampung Sayap benar-benar dapat dibangunkan dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan dan lain-lain, saya rasa belia-belia di kampung tidak akan keluar dari kampung dan kami sama-sama dapat bangunkan dan mendapat peluang pekerjaan di sini,” ujarnya.