Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

Perintis “Awareness and Risk Communication” Banteras Rabies

By 29 Januari 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/Foto: Robin Junang

KUCHING, 29 Jan (Malaysiaaktif) – Berikutan kematian akibat penyakit anjing gila atau rabies meningkat kepada 16 orang setakat ini, kerajaan negeri telah mengambil langkah drastik bagi membendung wabak itu daripada terus berleluasa.  Setakat Januari 2019, sebanyak 61 buah kawasan dari Lundu hingga ke Miri telah dikenalpasti sebagai zon jangkitan wabak rabies dan telah diklasifikasikan sebagai bencana tahap II peringkat negeri.

Susulan daripada Bengkel Pemantapan Pelan Tindakan Pembanterasan Wabak Rabies Sarawak pada 16 hingga 18 Januari 2019 bertempat di Damai Beach Resort anjuran Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan kerjasama Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), satu Jawatankuasa Publisiti dan Promosi Kesedaran Wabak Rabies telah dibentuk.

Objektif bengkel tersebut untuk membuat penilaian terhadap pencapaian Pelan Tindakan 1.0 yang telah dibuat pada tahun 2017. Selain itu menambahbaik inisiatif-inisiatif dan seterusnya memperkenalkan langkah baharu bagi menghasilkan Pelan Tindakan Pembanterasan Wabak Rabies 2.0 bagi tahun 2019 hingga 2022.

Berikutan daripada bengkel tersebut juga Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak telah diberi mandat untuk mengetuai Jawatankuasa Publisiti dan Promosi Kesedaran Wabak Rabies. Di bawah arahan MKN Perkara 21, peranan Jabatan Penerangan Malaysia iaitu menjelaskan penubuhan Pusat Media Bencana serta Perkara 22 yang menetapkan pegawai berautoriti dalam menyampaikan kenyataan media berkaitan kejadian bencana.

Satu mesyuarat jawatankuasa telah diadakan pada 28 Januari 2019 dengan beberapa agensi yang terlibat penyakit rabies seperti Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak, RTM, Bernama dan Sarawak Society For Prevention Of Cruel Animals (SSPCA) Tujuan mesyuarat tersebut adalah untuk mencari pendekatan terutama dari segi mesej dan platform penyampaian yang berkesan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat terutama dalam kawasan yang telah dikenalpasti sebagai zon perintis kempen. Pemilihan mesej dan platform amat dititikberatkan bagi memastikan objektif kempen ini sampai kepada mereka yang terlibat dengan pemeliharaan haiwan terutama anjing dan kucing.

Risalah Rabies sedia untuk diedarkan kepada orang ramai

Risalah Rabies sedia untuk diedarkan kepada orang ramai

Kempen perintis “Awareness And Risk Communication” meliputi Daerah Bau dan Lundu ini  dibahagikan kepada tiga fasa iaitu pra operasi bermula pada 15 -28 Januari, tempoh operasi bermula 1 – 10 Mac dan pos operasi, 11 – 17 Mac 2019.  Selaku Pengerusi kepada Jawatankuasa Publisiti dan Promosi Kesedaran Wabak Rabies peranan utama jawatankuasa ini adalah untuk mengetuai aktiviti kempen wabak rabies melalui empat medium utama penyampaian maklumat iaitu media sosial, media cetak, media elektronik dan komunikasi bersemuka.

Sebagai projek perintis, jawatankuasa perlu mencari resolusi kaedah yang berkesan bagi menyampaikan maklumat kepada masyarakat di kawasan yang telah dikenalpasti. Ini kerana sesetengah kawasan amat sensitif dengan isu-isu ‘pemburuan’ dan penangkapan anjing peliharaan mahupun anjing berkeliaran. Bagi mengelak perkara yang tidak diingini berlaku adalah amat penting kaedah kempen, mesej serta maklumat digunakan dalam program ini.

-ER

Tinggalkan komen anda