
Laporan/ Foto: Fauzrina Bulka/ Azman Jumat (Kota Kinabalu)
KOTA BELUD, 25 Jan (Malaysiaaktif) – Pagi itu suasana Subuh tidak seperti biasa, kerana jika sebelum ini bangkit tidur dibantu bunyian penggera telefon bimbit, tetapi berbeza kali ini pula dengan bunyi jatuhan si raja buah ke tanah.
Bukan itu sahaja, deburan kecil air daripada kolam ikan yang dibina di sebelah bilik penginapan berserta dinginnya udara pagi membuatkan hati semakin bersemangat menjalani aktiviti yang telah di susun di Kampung Sayap.
Untuk meneruskan rancangan yang dijadualkan, kami dinasihati supaya tidak mandi, bagi mengelakkan mudah merasa letih ketika menjalani aktiviti merentas hutan hari itu.
Tepat 8.30 pagi kami bertolak dari tapak permulaan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sayap ditemani oleh Pemandu Pelancong Berlesen Rinjoe Ahhing, 29 dan Ezra @ Ginong Sadok, 35.
Menempuh perjalanan sambil berbual dengan Rinjoe nampaknya pendakian di Eko Pelancongan Kowatuan ini amat istimewa kerana kami bakal dihidangkan dengan keindahan air terjun setinggi 10 tingkat.
“Apa yang menarik di sini adalah terdapat 10 jenis air terjun yang setiap satunya berbeza bentuk dan juga terdapat pelbagai tanaman dan buahan tropika akan dapat ditemui di sepanjang jalan seperti nenas, terap dan durian.
“Jarak perjalanan daripada titik permulaan di SK Sayap ke pondok rehat ialah sejauh 2.9 kilometer(km) di mana kita dapat menikmati keindahan air terjun tingkat keempat di sana, manakala baki enam tingkat lagi air terjun akan ditemui sejauh 900 meter lagi,”ujar Rinjoe.
Denai yang dilalui sememangnya agak mencabar walaupun kami mengenakan kasut khas berserta tongkat untuk mendaki kerana batu agak licin dan berlumut serta keadaan denai yang becak akibat hujan yang turun dua hari berturut.
Perjalanan sepatutnya mengambil masa hanya 45 minit untuk ke pondok rehat, tetapi disebabkan kami menikmati pemandangan sambil merakamkan keindahan landskap, hampir 2 jam juga untuk jejakkan kaki di air terjun ke dua.
“Ditambah lagi jalan dan batuan menjadi licin akibat hujan, dan sesetengah tempat juga ada runtuhan tanah,”ujar Rinjoe.
Singgah sebentar melepaskan lelah di pondok rehat ternyata selesa dan mendamaikan, dengan ruangan yang luas untuk bersantai, serta dapur yang lengkap dengan makanan segera untuk dibeli.
Jika masih mampu, pengunjung boleh meneruskan lagi pendakian 900 meter untuk ke air terjun tingkat ke 10 yang sangat berbaloi melalui denai yang sukar apabila disambut dengan limpahan air terjun yang mempesonakan.
Sebagai belia kampung yang ingin melihat perubahan, Rinjoe turut berharap agar agensi-agensi berkaitan dapat menghargai daya tarikan yang ada di Eko Pelancongan Kowatuan serta dapat membantu untuk menambah baik fasilitet, bagi menarik lebih ramai pengunjung ke sana.
“Sepanjang 2.9 km jarak perjalanan, hanya beberapa ratus meter sahaja jalan yang berturap dan boleh dilalui oleh kenderaan besar, sehingga kini belum ada projek yang dijalankan untuk menyambung jalan raya tersebut.
“Tambahan pula, komuniti sedang dalam proses membuat pungutan sumbangan daripada ahli-ahli yang juga petani-petani pemilik tanah yang terlibat dalam pembinaan jalan raya tersebut.
“Jalan raya ini nanti pastinya akan memudahkan petani untuk membawa keluar hasil tanaman mereka ke Pasar Tamu manakala jarak untuk sampai ke Eko Pelancongan Kowatuan juga lebih pendek lebih kurang 1 km saja,”harapannya.
Kira-kira jam 2.00 petang kembali ke tempat penginapan di Porohon Garden and Lodge, hidangan tengah hari yang sedap sudah menanti kami yang dimasak sendiri oleh pemilik, Jurinah Okit.
Kemesraan Jurinah kepada tetamu yang menginap di rumah kebunnya ternyata menyenangkan, beliau ramah berbual dan berkongsi cerita kehidupan penduduk di Kampung Sayap.
Menurutnya kesedaran penduduk kampung untuk menceburi bidang pelancongan timbul semenjak tahun 2016 ketika pihak Lembaga Pelancongan Sabah (STB) , Persatuan Pelancongan Kadamaian (KATA) dan Persatuan Homestay menganjurkan Bengkel Kesedaran Pelancongan kepada mereka.
“Pada penghujung 2016, buat pertama kalinya diwujudkan edu-tourism yang pertama di SK Sayap yang dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Ewon Benedick yang ketika itu menggalas jawatan sbagai Ketua Exco Komulakan UPKO.
“Apa yang menarik, kami para usahawan eko pelancongan dan penginapan telah bergabung dengan edu-tourism SK Sayap untuk memberi sumbangan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah.
“Ini bermaksud, pengunjung yang datang ke sini, contohnya menginap di Porohon Garden and Lodge ini ataupun pergi mendaki, secara automatik sebenarnya memberi sumbangan kepada murid-murid di SK Sayap juga,”ujarnya yang juga merupakan guru sains di sekolah tersebut.
“Seperti yang kita faham PIBG di kebanyakan sekolah pasti kekurangan kewangan, tetapi di SK Sayap walaupun terletak di kawasan pedalaman, tetapi eko pelancongan sangat membantu perkembangan pendidikan murid khususnya untuk menghadapi Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).
“Murid-murid ini memerlukan banyak buku aktiviti dan latih tubi, jadi hasil sumbangan pengusaha eko pelancongan dapat membantu menyelesaikan masalah mereka.
Kata Jurinah, dapat dilihat juga keperluan penduduk kampung dan pengunjung yang datang ke sana sememangnya untuk merasai jalan raya yang baik dan berturap.
Rentetan itu, komuniti Kampung Sayap juga mengumpul dana sesama mereka dan bergotong royong memperbaiki sendiri jalan raya di kampung tersebut.
“Tetapi jika kita lihat sebenarnya pendapatan utama di perkampungan ini adalah daripada segi pertanian.
“Namun begitu kontranya pula, jika jalan sudah baik, mungkin lebih ramai pengunjung akan datang ke tempat ini, keselamatan di jalan raya pula perlu diambil kira, terutama sekali pengguna jalan seperti anak-anak kampung,”ujarnya.
Pendapatnya, setiap permasalahan yang bakal timbul pastinya dapat ditangani jika dapat di bina pagar utama di pintu masuk untuk memantau mereka yang masuk di kawasan kampung.
“Selama ini pengunjung dapat melihat keselamatan di kampung ini sangat baik, mereka terperanjat apabila barang berharga seperti televisyen dan tong gas diletakkan di luar tanpa penjagaan.
“Kawasan ini memang selamat untuk penduduk kerana mereka tidak mengganggu barang yang bukan milik mereka.
“Penduduk di sini juga ramah, di mana pernah suatu ketika kereta pengunjung rosak, setiap kereta yang lalu akan berhenti untuk menghulurkan bantuan,”kata Jurinah bangga.
Katanya, sangat penting untuk menitikberatkan keselamatan di samping berusaha untuk merancang kemajuan kampung.
“Memang sudah ada kerjasama antara Persatuan Rukun Tetangga dan juga anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) untuk memantau keadaan, bagi memastikan kanak-kanak dan remaja tidak terpengaruh dengan aktiviti yang tidak baik.
“Di samping itu juga, kita lihat ramai remaja kini terpaksa bekerja di negara luar seperti Korea dan Australia untuk memetik buah dan macam-macam pekerjaan lagi di Singapura, Brunei mahupun semenanjung.
“Penduduk di kampung ini ramai, belia juga ramai, mereka terpaksa mencari pekerjaan sendiri di luar kampung, walhal di sini punya banyak produk.
Dalam pada itu, Ketua Biro Latihan dan Pendidikan KATA, Boniface @ Doni Jiran ketika ditemui mengharapkan agar SK Sayap dan komuniti kampung dapat terus membangunkan konsep pelancongan pendidikan sebagai salah satu bidang dalam industri pelancongan di Kampung Sayap.
“Pelancongan Pendidikan di Kampung Sayap menyasarkan pelajar-pelajar universiti,kolej,sekolah-sekolah di seluruh dunia untuk menikmati keindahan alam semula jadi di kawasan pergunungan.
“Saya secara peribadi sangat berharap agar usaha SK Sayap dan komuniti dalam memperkenal dan mengimplementasikan konsep pelancongan pendidikan di Kampung Sayap secara menyeluruh dapat dilihat oleh Menteri Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Malaysia sebagai satu usaha dalam mencapai matlamat pendidikan abad ke-21.
Saya percaya konsep pelancongan pendidikan ini mempunyai ruang dalam mana-mana sudut perancangan pendidikan Malaysia,”ujar Boniface.
Tambahnya, dalam masa sama, melihat dalam perspektif pelancongan, usaha komuniti Kampung Sayap ini sebenarnya secara tidak langsung telah menyumbang kepada pendapatan kasar negara dan telah menambah nilai kepada produk pelancongan yang sedia ada di Sabah.
“Jika Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pelancongan Malaysia bergabung untuk membantu Kampung Sayap dalam memperkasakan konsep pelancongan, saya yakin, Kampung Sayap akan mencapai sasaran sebagai lokasi pelancongan pendidikan yang pertama di Malaysia yang mana SK Sayap terlibat sepenuhnya dalam program ini.
“Kerajaan harus mengiktiraf usaha SK Sayap dengan kerjasama komuniti Kampung Sayap dalam membangunkan sektor pendidikan dan sektor pelancongan. Atas usaha sama dalam kalangan agensi-agensi kerajaan dan komuniti di Kampung Sayap telah menjadikan Kampung Sayap sebagai satu hub pelancongan di Sabah.
“Keunikan kerjasama ini sebenarnya telah mewarnai corak sosio ekonomi di Kampung Sayap. Industri pelancongan sangat signifikan dalam membentuk perpaduan dalam kalangan komuniti. Bukan mudah untuk mencapai tahap perpaduan dan kesatuan seperti di Kampung Sayap.
“Maka itu, Kampung Sayap bagi saya layak untuk mendapat perhatian daripada kerajaan khususnya dua kementerian yang sangat sinonim dengan pelancongan dan pendidikan. Semoga kemudahan-kemudahan asas seperti jalan raya dapat dinaiktarafkan. Pelancong sangat bersetuju faktor akses jalan raya telah mengehadkan kehadiran pelancong ke sini,”pintanya