Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Merentas Denai, Menikmati Pesona Air Terjun 10 Tingkat Kampung Sayap

By 25 Januari 2019Tiada komen8 minit bacaan

Laporan/ Foto: Fauzrina Bulka/ Azman Jumat (Kota Kinabalu)

KOTA BELUD, 25 Jan (Malaysiaaktif) –  Pagi itu suasana Subuh tidak seperti biasa, kerana jika sebelum ini bangkit tidur dibantu bunyian penggera telefon bimbit, tetapi berbeza kali ini pula dengan bunyi jatuhan si raja buah ke tanah.

Pokok durian yang ditanam disekeliling Porohon Garden and Lodge.

Pokok durian yang ditanam disekeliling Porohon Garden and Lodge.

Bukan itu sahaja, deburan kecil air daripada kolam ikan yang dibina di sebelah bilik penginapan berserta dinginnya udara pagi membuatkan hati semakin bersemangat menjalani aktiviti yang telah di susun di Kampung Sayap.

Untuk meneruskan rancangan yang dijadualkan, kami dinasihati supaya tidak mandi, bagi mengelakkan mudah merasa letih ketika menjalani aktiviti merentas hutan hari itu.

Rinjoe Ahhing

Rinjoe Ahhing

Tepat 8.30 pagi kami bertolak dari tapak permulaan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sayap ditemani oleh Pemandu Pelancong Berlesen Rinjoe Ahhing, 29 dan Ezra @ Ginong Sadok, 35.

Menempuh perjalanan sambil berbual dengan Rinjoe nampaknya pendakian di Eko Pelancongan Kowatuan ini amat istimewa kerana kami bakal dihidangkan dengan keindahan air terjun setinggi 10 tingkat.

Titi daripada buluh yang perlu dilalui oleh para pendaki.

Titi daripada buluh yang perlu dilalui oleh para pendaki.

“Apa yang menarik di sini adalah terdapat 10 jenis air terjun yang setiap satunya berbeza bentuk dan juga terdapat pelbagai tanaman dan buahan tropika akan dapat ditemui di sepanjang jalan seperti nenas, terap dan durian.

“Jarak perjalanan daripada titik permulaan di SK Sayap ke pondok rehat ialah sejauh 2.9 kilometer(km) di mana kita dapat menikmati keindahan air terjun tingkat keempat di sana, manakala baki enam tingkat lagi air terjun akan ditemui sejauh 900 meter lagi,”ujar Rinjoe.

Batu yang licin dan berlumut antara cabaran di sepanjang perjalanan.

Batu yang licin dan berlumut antara cabaran di sepanjang perjalanan.

Denai yang dilalui sememangnya agak mencabar walaupun kami mengenakan kasut khas berserta tongkat untuk mendaki kerana batu agak licin dan berlumut serta keadaan denai yang becak akibat hujan yang turun dua hari berturut.

Perjalanan sepatutnya mengambil masa hanya 45 minit untuk ke pondok rehat, tetapi disebabkan kami menikmati pemandangan sambil merakamkan keindahan landskap, hampir 2 jam juga untuk jejakkan kaki di air terjun ke dua.

Laluan ke air terjun yang perlu melalui kebun getah.

Laluan ke air terjun yang perlu melalui kebun getah.

“Untuk cabaran keseluruhan perjalanan ini, tidaklah begitu mencabar kepada para pendaki yang sudah biasa, namun pasti pengalaman yang berbeza pada yang baru berjinak-jinak ingin merasai pengalaman mendaki bukit.

 

“Ditambah lagi jalan dan batuan menjadi licin akibat hujan, dan sesetengah tempat juga ada runtuhan tanah,”ujar Rinjoe.

Daun yang boleh ditemui di Kowatuan dan dijadikan sebagai sabun.

Daun yang boleh ditemui di Kowatuan dan dijadikan sebagai sabun.

 Singgah sebentar melepaskan lelah di pondok rehat ternyata selesa dan mendamaikan, dengan ruangan yang luas untuk bersantai, serta dapur yang lengkap dengan makanan segera untuk dibeli.

Jika masih mampu, pengunjung boleh meneruskan lagi pendakian 900 meter untuk ke air terjun tingkat ke 10 yang sangat berbaloi melalui denai yang sukar apabila disambut dengan limpahan air terjun yang mempesonakan.

Papan Tanda yang dibina sebelum sampai ke destinasi.

Papan Tanda yang dibina sebelum sampai ke destinasi.

Sebagai belia kampung yang ingin melihat perubahan, Rinjoe turut berharap agar agensi-agensi berkaitan dapat menghargai daya tarikan yang ada di Eko Pelancongan Kowatuan serta dapat membantu untuk menambah baik fasilitet, bagi menarik lebih ramai pengunjung ke sana.

“Sepanjang 2.9 km jarak perjalanan, hanya beberapa ratus meter sahaja jalan yang berturap dan boleh dilalui oleh kenderaan besar, sehingga kini belum ada projek yang dijalankan untuk menyambung jalan raya tersebut.

Melepaskan leleah seketika sebelum menyambung perjalanan.

Melepaskan leleah seketika sebelum menyambung perjalanan.

“Tambahan pula, komuniti sedang dalam proses membuat pungutan sumbangan daripada ahli-ahli yang juga petani-petani pemilik tanah yang terlibat dalam pembinaan jalan raya tersebut.

“Jalan raya ini nanti pastinya akan memudahkan petani untuk membawa keluar hasil tanaman mereka ke Pasar Tamu manakala jarak untuk sampai ke Eko Pelancongan Kowatuan juga lebih pendek lebih kurang 1 km saja,”harapannya.

Permandangan menakjubkan daripada air terjun ke empat.

Permandangan menakjubkan daripada air terjun ke empat.

Kira-kira jam 2.00 petang kembali ke tempat penginapan di Porohon Garden and Lodge, hidangan tengah hari yang sedap sudah menanti kami yang dimasak sendiri oleh pemilik, Jurinah Okit.

Kemesraan Jurinah kepada tetamu yang menginap di rumah kebunnya ternyata menyenangkan, beliau ramah berbual dan berkongsi cerita kehidupan penduduk di Kampung Sayap.

Antara air terjun yang boleh ditemui di sana.

Antara air terjun yang boleh ditemui di sana.

Menurutnya kesedaran penduduk kampung untuk menceburi bidang pelancongan timbul semenjak tahun 2016 ketika pihak Lembaga Pelancongan Sabah (STB) , Persatuan Pelancongan Kadamaian (KATA) dan Persatuan Homestay menganjurkan Bengkel Kesedaran Pelancongan kepada mereka.

“Pada penghujung 2016, buat pertama kalinya diwujudkan edu-tourism yang pertama di SK Sayap yang dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Ewon Benedick yang ketika itu menggalas jawatan sbagai Ketua Exco Komulakan UPKO.

Air terjun tingkat ke 10 yang sangat mempesonakan.

Air terjun tingkat ke 10 yang sangat mempesonakan.

“Apa yang menarik, kami para usahawan eko pelancongan dan penginapan telah bergabung dengan edu-tourism SK Sayap untuk memberi sumbangan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah.

“Ini bermaksud, pengunjung yang datang ke sini, contohnya menginap di Porohon Garden and Lodge ini ataupun pergi mendaki, secara automatik sebenarnya memberi sumbangan kepada murid-murid di SK Sayap juga,”ujarnya yang juga merupakan guru sains di sekolah tersebut.

Jurinah Okit

Jurinah Okit

Tambahnya, sumbangan yang diberikan digunakan untuk kemajuan dan pendidikan murid.

“Seperti yang kita faham PIBG di kebanyakan sekolah pasti kekurangan kewangan, tetapi di SK Sayap walaupun terletak di kawasan pedalaman, tetapi eko pelancongan sangat membantu perkembangan pendidikan murid khususnya untuk menghadapi Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

“Murid-murid ini memerlukan banyak buku aktiviti dan latih tubi, jadi hasil sumbangan pengusaha eko pelancongan dapat membantu menyelesaikan masalah mereka.

Suami Jurinah, Neumin Sabanting sedang menyulam jaring untuk menadah buah durian yang gugur.

Suami Jurinah, Neumin Sabanting sedang menyulam jaring untuk menadah buah durian yang gugur.

“Setakat ini aktiviti murid yang terlibat ke pertandingan-pertandingan peringkat daerah, akan dibantu oleh PIBG dalam memberi wang belanja dan pengangkutan, memandangkan tempat ini jauh maka kos agak tinggi untuk ke luar daerah,”jelasnya.

Kata Jurinah, dapat dilihat juga keperluan penduduk kampung dan pengunjung yang datang ke sana sememangnya untuk merasai jalan raya yang baik dan berturap.

Rentetan itu, komuniti Kampung Sayap juga mengumpul dana sesama mereka dan bergotong royong memperbaiki sendiri jalan raya di kampung tersebut.

Kolam renang yang dibina sendiri di Porohon Garden and Lodge.

Kolam renang yang dibina sendiri di Porohon Garden and Lodge.

Ini kerana ada beberapa peristiwa berlaku apabila tangki minyak kenderaan pengunjung bocor, tayar pecah ataupun kereta tersekat hingga mereka tidak dapat balik mengikut perancangan sehingga mengganggu tempoh percutian.

“Tetapi jika kita lihat sebenarnya pendapatan utama di perkampungan ini adalah daripada segi pertanian.

Antara kebun sayur yang diusahakan oleh Jurinah.

Antara kebun sayur yang diusahakan oleh Jurinah.

“Mereka berniaga barang-barang pertanian ke pekan, jalan raya yang baik itu sangat penting kerana selama ini, para petani perlu membungkus hasil tanaman dengan tebal untuk mengelakkan buahan dan sayuran rosak di sepanjang perjalanan untuk ke Pasar Tamu.

“Namun begitu kontranya pula, jika jalan sudah baik, mungkin lebih ramai pengunjung akan datang ke tempat ini, keselamatan di jalan raya pula perlu diambil kira, terutama sekali pengguna jalan seperti anak-anak kampung,”ujarnya.

Permandangan menarik rumah kebun milik Jurinah.

Permandangan menarik rumah kebun milik Jurinah.

Pendapatnya, setiap permasalahan yang bakal timbul pastinya dapat ditangani jika dapat di bina pagar utama di pintu masuk untuk memantau mereka yang masuk di kawasan kampung.

“Selama ini pengunjung dapat melihat keselamatan di kampung ini sangat baik, mereka terperanjat apabila barang berharga seperti televisyen dan tong gas diletakkan di luar tanpa penjagaan.

“Kawasan ini memang selamat untuk penduduk kerana mereka tidak mengganggu barang yang bukan milik mereka.

Permandangan menarik rumah kebun milik Jurinah.

Permandangan menarik rumah kebun milik Jurinah.

“Ini memang didikan daripada penduduk kampung di sini, orang luar tidak perlu ragu-ragu datang ke sini walaupun rumah kebun kami ini tidak berpagar sepenuhnya, namun masih selamat.

“Penduduk di sini juga ramah, di mana pernah suatu ketika kereta pengunjung rosak, setiap kereta yang lalu akan berhenti untuk menghulurkan bantuan,”kata Jurinah bangga.

Katanya, sangat penting untuk menitikberatkan keselamatan di samping berusaha untuk merancang kemajuan kampung.

Komuniti yang sentiasa bersedia untuk kesejahteraan Kg Sayap.

Komuniti yang sentiasa bersedia untuk kesejahteraan Kg Sayap.

“Memang sudah ada kerjasama antara Persatuan Rukun Tetangga dan juga anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) untuk memantau keadaan, bagi memastikan kanak-kanak dan remaja tidak terpengaruh dengan aktiviti yang tidak baik.

“Di samping itu juga, kita lihat ramai remaja kini terpaksa bekerja di negara luar seperti Korea dan Australia untuk memetik buah dan macam-macam pekerjaan lagi di Singapura, Brunei mahupun semenanjung.

“Penduduk di kampung ini ramai, belia juga ramai, mereka terpaksa mencari pekerjaan sendiri di luar kampung, walhal di sini punya banyak produk.

Komuniti yang sentiasa bersedia untuk kesejahteraan Kg Sayap.

Komuniti yang sentiasa bersedia untuk kesejahteraan Kg Sayap.

“Saya harap apabila jalan raya sudah baik dan kampung sudah maju, banyak aktiviti dapat dilakukan dan mungkin orang kampung tidak perlu lagi ke luar untuk bekerja,”luahnya.

Dalam pada itu, Ketua Biro Latihan dan Pendidikan KATA, Boniface @ Doni Jiran ketika ditemui mengharapkan agar SK Sayap dan komuniti kampung dapat terus membangunkan konsep pelancongan pendidikan sebagai salah satu bidang dalam industri pelancongan di Kampung Sayap.

Boniface ketika sedang melayani anak muridnya.

Boniface ketika sedang melayani anak muridnya.

“Dalam pelancongan, keunikan itu sangat signifikan. Ia memberi ruang pilihan kepada pelancong untuk melihat dan mengalami pengalaman pelancongan yang berbeza di suatu tempat.

“Pelancongan Pendidikan di Kampung Sayap menyasarkan pelajar-pelajar universiti,kolej,sekolah-sekolah di seluruh dunia untuk menikmati keindahan alam semula jadi di kawasan pergunungan.

“Saya secara peribadi sangat berharap agar usaha SK Sayap dan komuniti dalam memperkenal dan mengimplementasikan konsep pelancongan pendidikan di Kampung Sayap secara menyeluruh dapat dilihat oleh Menteri Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Malaysia sebagai satu usaha dalam mencapai matlamat pendidikan abad ke-21.

Saya percaya konsep pelancongan pendidikan ini mempunyai ruang dalam mana-mana sudut perancangan pendidikan Malaysia,”ujar Boniface.

Pondok Terbalik di edu tourism SK Sayap.

Pondok Terbalik di edu tourism SK Sayap.

Tambahnya, dalam masa sama, melihat dalam perspektif pelancongan, usaha komuniti Kampung Sayap ini sebenarnya secara tidak langsung telah menyumbang kepada pendapatan kasar negara dan telah menambah nilai kepada produk pelancongan yang sedia ada di Sabah.

“Jika Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pelancongan Malaysia bergabung untuk membantu Kampung Sayap dalam memperkasakan konsep pelancongan, saya yakin, Kampung Sayap akan mencapai sasaran sebagai lokasi pelancongan pendidikan yang pertama di Malaysia yang mana SK Sayap terlibat sepenuhnya dalam program ini.

“Kerajaan harus mengiktiraf usaha SK Sayap dengan kerjasama komuniti Kampung Sayap dalam membangunkan sektor pendidikan dan sektor pelancongan. Atas usaha sama dalam kalangan agensi-agensi kerajaan dan komuniti di Kampung Sayap telah menjadikan Kampung Sayap sebagai satu hub pelancongan di Sabah.

Guru Besar SK Sayap, Datu Manggong Datu Jawin antara tulang belakang dalam kejayaan SK Sayap.

Guru Besar SK Sayap, Datu Manggong Datu Jawin antara tulang belakang dalam kejayaan SK Sayap.

“Keunikan kerjasama ini sebenarnya telah mewarnai corak sosio ekonomi di Kampung Sayap. Industri pelancongan sangat signifikan dalam membentuk perpaduan dalam kalangan komuniti. Bukan mudah untuk mencapai tahap perpaduan dan kesatuan seperti di Kampung Sayap.

“Maka itu, Kampung Sayap bagi saya layak untuk mendapat perhatian daripada kerajaan khususnya dua kementerian yang sangat sinonim dengan pelancongan dan pendidikan. Semoga kemudahan-kemudahan asas seperti jalan raya dapat dinaiktarafkan. Pelancong sangat bersetuju faktor akses jalan raya telah mengehadkan kehadiran pelancong ke sini,”pintanya

EM

Tinggalkan komen anda