Skip to main content
HomeSabah

Pesta Tarian Naga, Unikon dan Singa 2019 Meriah

By 22 Januari 2019Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:
 Laporan/ foto: Asmidar Zainol/ Marusin Minuddin (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 22 Jan (Malaysiaaktif) – Lebih enam ribu pengunjung memeriahkan Pesta Tarian Naga, Unikon dan Singa 2019 di Stadium Likas di sini baru-baru ini.

Bagi adik Hansson Johnny, 11, kehadirannya ke pesta tersebut merupakan pengalaman yang berharga kepada dirinya.

“Ini adalah kali pertama saya menghadiri pesta ini, perasaan tentulah sungguh teruja kerana dapat melihat tarian naga, singa dan unikon secara langsung.

“Paling saya suka adalah tarian unikon, mereka dikendalikan oleh remaja seperti saya dan nampak sangat lincah di pentas.

Dewa Kekayaan dan Kemakmuran Cina menyerahkan 'jongkong emas' kepada Shuryani (kiri) sambil disaksikan oleh Shafie (tengah).

Dewa Kekayaan dan Kemakmuran Cina menyerahkan ‘jongkong emas’ kepada Shuryani (kiri) sambil disaksikan oleh Shafie (tengah).

“Saya berharap satu hari nanti dapat peluang untuk belajar dan beraksi seperti persembahan sebentar tadi,” katanya.

Pelajar Sekolah Kebangsaan Jenis Cina Lok Yuk Likas itu hadir ke pesta berkenaan bersama adiknya, Ryan, 9, dan ibunya Fauziah Ismail, 39.

Sementara itu, pengunjung dari Penampang, Elanie Wail, 32, berharap pihak urusetia program dapat menjemput lebih banyak gerai-gerai makanan muslim atau trak makanan untuk kemudahan semua pengunjung.

“Saya telah menghadiri pesta ini sejak lima tahun lalu, dan tahun ini lebih ramai pengujung yang hadir dari tahun-tahun sebelumnya kerana turut dihadiri oleh pelbagai bangsa dan agama.

“Saya ingin mencadangkan kepada pihak penganjur agar dapat memperbanyakkan lagi gerai-gerai makan halal agar dapat memudahkan mereka yang beragama Islam untuk mendapatkan makanan di sini,” ujarnya kepada pemberita.

Dari kiri - Hansson Johnny, Fauziah dan Ryan

Dari kiri – Hansson Johnny, Fauziah dan Ryan

Bagi Chong Yu Fung, 60, dia saban tahun menghadiri pesta berkenaan dan mewakili Persatuan Hakka Kota Kinabalu membuka gerai pameran di pesta berkenaan.

“Saya gembira kerana dapat berkongsi kebudayaan masyarakat Hakka dengan pengunjung yang hadir.

“Antara yang dipamerkan adalah pakaian dan makanan masyarakat Hakka, tapi yang mengujakan saya adalah dapat berjumpa dan bergambar dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal semasa beliau melawat gerai kami tadi,”katanya.

Dalam pada itu, Shafie turut berharap masyarakat di negeri ini agar dapat hidup rukun dan saling hormat menghormati antara satu sama lain.

“Kita seharusnya saling hormat menghormati dan meraikan sambutan ini agar menjadi sebuah perayaan yang menandakan kita sayang dan menghormati masyarakat Cina di negara ini khususnya di Sabah.

Elanie Wail

Elanie Wail

“Saya amat menghargai usaha penganjuran majlis ini dan kita berharap akan banyak membuahkan manfaat dan faedah antaranya dapat lebih mengenali antara kaum dan menyatukan rakyat dalam membangunkan negara serta memajukan negeri Sabah,” katanya kepada media selepas merasmikan pesta berkenaan.

Pesta Tarian Naga, Unikon dan Singa merupakan acara tahunan yang dianjurkan sejak 40 tahun lalu, mengumpul lebih 100 pasukan tarian dari pelbagai persatuan Cina di negeri ini.

Pada majlis itu, kerajaan negeri menyerahkan dana sebanyak RM15 ribu dan sumbangan RM50 ribu oleh Pejabat Konsulat Jeneral China di Kota Kinabalu kepada Gabungan Persatuan Masyarakat Cina Sabah, Kota Kinabalu.

Selain Shafie dan isteri, Datin Seri Shuryani Shuib, pesta berkenaan turut dimeriahkan dengan kehadiran menteri-menteri kabinet, ketua-ketua jabatan kerajaan negeri dan persekutuan serta pemimpin-pemimpin persatuan Cina di negeri ini.

EM

Tinggalkan komen anda