
Laporan/Foto: Wee Kim Been (Kota Bharu Kelantan)
KOTA BHARU, 16 Feb 2019 (Malaysiaaktif)– Pengemaskinian Bantuan Sara Hidup Rakyat 2019 mula dibuka 1 Feb sehingga 15 Mac 2019 seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2019. Terdapat tiga kategori penerima (BSH) iaitu kategori isi rumah berpendapatan bulanan RM 2000 ke bawah diberi RM 1000, kategori isi rumah berpendapatan bulanan RM 2001 hingga RM 3000 diberi sebanyak RM 750 dan kategori isi rumah berpendapatan RM 3001 hingga RM 4000 diberi sebanyak RM 500. BSH akan diberi dalam bentuk kredit ke akaun bank dan secara baucar kepada penerima secara berperingkat.
Penerima bantuan BSH pada tahun- tahun sebelum ini perlulah melakukan pengemaskinian data maklumat bagi memastikan diri mereka terus menerima bantuan pada tahun 2019.
Menurut Shulailini Mohd Shuhaimi, 36, Pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri Kelantan berkata, purata dalam sehari hampir 2000 orang penerima telah berdaftar untuk Bantuan Sara Hidup sejak kaunter ini dibuka pada 1 Feb 2019 di Daerah Kota Bharu sahaja.
Menurutnya lagi, rata-rata penerima (BSH) lebih suka menggunakan kaedah manual berbanding online kerana lebih mudah dan cepat.
Ujarnya lagi, bagi menampung kesesakan pendaftaran pengemaskinian, pihak (LHDN) Kelantan telah membuka lokasi alternatif di UTC Kota Bharu. Di mana waktu pendaftaran pada hari ahad sehingga khamis dibuka jam 1.00 tengahari hingga 10.00 malam, manakala pada hari jumaat dan sabtu dibuka pada jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang.
Hamzah Roslan, 34, melahirkan rasa syukur yang tidak terhingga kepada Kerajaan Pusat, di mana bantuan ini masih diteruskan lagi sejak diperkenalkan pada tahun 2012. Bagi beliau selaku ketua isi rumah dan mempunyai tangungan tiga orang anak ianya sedikit sebanyak dapat menampung kos sara hidup yang semakin meningkat saban hari.
Abdullah Mamat, 44, menyifakan Bantuan Sara Hidup tahun ini, cara pengagihannya lebih bersasar kepada isi rumah yang betul-betul layak sebagai penerima, selain penambahbaikkan RM 120 kepada anak-anak di bawah umur 18 tahun dan tidak melebihi empat orang dalam setiap isi rumah.
Seterusnya menurut, Oii Sek Giok, 66, turut melahirkan rasa bangga sebagai rakyat Malaysia kerana keperhatinan Kerajaan Pusat menjaga kebajikan rakyat khususnya yang berpendapatan pertengahan dan rendah. Selain membela nasib golongan ini, ia juga merancakkan ekonomi dalam negara khususnya, ujarnya kepada Malaysia aktif.