Skip to main content
Berita TempatanHomeKelantan

[KEMAS KINI] “Town Hall Anok Muda”; Pembangunan Belia Tanpa Batasan Politik – Syed Saddiq

By 16 Februari 2019Februari 19th, 2019Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan/foto: Rosli Md Zin/Shahrir Mohammad Nor (Bachok)

BACHOK, 16 Feb (Malaysiaaktif) – Sesi dialog awam Menteri Belia dan Sukan bersama anak muda yang diadakan di Dewan Pelajar Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Bachok memberi inspirasi kepada lebih 800 orang belia yang menghadiri sesi dialog ini.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata negara hari ini amat memerlukan tenaga muda bagi memajukan negara untuk lebih berdaya saing, dengan penglibatan anak muda dalam sektor kerajaan dan swasta amat digalakkan.

“Konsep tenaga belia adalah untuk mengiktiraf anak muda dalam pelbagai sektor. Kerajaan sebelum ini kurang memberi peluang dan ruang terutamanya penglibatan dalam pentadbiran peringkat tertinggi, saya akan memastikan anak muda diberi peluang yang lebih banyak dalam sektor swasta dan kerajaan kerana setiap anak muda ada potensi tersendiri,” katanya ketika sesi “Townhall Anok Mudo”, di sini baru-baru ini.

Pelajar IKTBN Ku Mohamad Afizudin Ku Mohamad Azmi, 19, beliau berterima kasih kepada pihak penganjur kerana memberi peluang untuk mengikuti sesi dialog ini.

“Kini saya jelas bahawa pihak kementerian mempunyai banyak perancangan dalam mempromosikan produk anak muda, terutamanya melalui bidang perniagaan dan bagaimana kami boleh  mendapatkan suntikan modal walaupun Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak mempunyai banyak dana,” ujar pelajar jurusan kejuruteraan automotif ini.

Sementara itu, Imam Zulkarnain Mohamad, 19, berkata beliau amat tertarik apabila Syed Saddiq mengulas mengenai perancangan kerajaan untuk memastikan pembangunan sukan yang adil bagi semua rakyat tanpa mengira batasan politik, dan perancangan KBS dalam membina infra sukan di tempat yang mempunyai gejala sosial tinggi adalah satu langkah yang hebat.

“Langkah ini mampu mengurangkan kadar jenayah di kawasan setempat. Pembinaan infra sukan ini mengambil pendekatan negara seperti Ireland, China dan Perancis yang terbukti berjaya mengurangkan kadar jenayah. Selain mampu mengurangkan jenayah, negara tersebut juga dapat melahirkan atlet berwibawa,” katanya.

Mohd Faizal Mohamad Daud, 19, tertarik mengenai peranan kementerian dalam memastikan bakat atlet dari pedalaman tidak tercicir melalui inisiatif yang akan dilaksanakan KBS iaitu pembinaan infra sukan di kawasan pedalaman.

“Dalam memastikan akademik dan sukan tidak tercicir, para atlet diberi peluang ke universiti secara khas apabila atlet itu mewakili negeri. Ini amat memberangsangkan sekali, selain kelulusan akademik untuk kemasukkan universiti, faktor kecermerlangan sukan juga diambil kira seperti diamalkan oleh negara maju,” jelasnya ketika ditemui.

-NAZ/SH

Tinggalkan komen anda