
Laporan/foto: Farhana Azlin Lajis/Saiful Haidar Salleh (Langkawi )
LANGKAWI, 25 Feb (Malaysiaaktif) – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyatakan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) merupakan satu tanda aras semangat kesukarelaan di Malaysia dalam memupuk sikap bertanggungjawab, tidak mementingkan diri, berani berdisiplin, setia kawan dan berdikari dalam diri golongan muda.
“Dengan menyertai APM, golongan muda akan mempunyai kesedaran dan jati diri yang tinggi serta tidak mudah terpengaruh dengan anasir-anasir buruk sekaligus mempengaruhi teman-teman mereka dengan sifat yang mulia.

Roslan (kanan) bersalaman dengan Mahathir (kiri) setibanya Perdana Menteri itu di Kompleks Pejabat Daerah Pertahanan Awam Langkawi, di sini semalam.
“Walaupun begitu, kebanyakan anak muda tidak minat untuk menyertai APM kerana tidak tahu akan fungsi dan peranan APM di dalam masyarakat,” katanya ketika merasmikan Kompleks Pejabat Daerah Pertahanan Awam Langkawi, di sini semalam.
Mahathir turut menjelaskan, APM perlu memperbanyakkan interaksi bersama masyarakat dan memberi pendedahan yang meluas agar dapat menarik perhatian rakyat dan anak-anak muda untuk sedar akan pengalaman yang dilalui oleh anggota agensi tersebut.
“Kerajaan tidak akan pernah berhenti untuk terus memberi sokongan dan bantuan sama ada dalam bentuk kewangan, dana serta peralatan kepada agensi ini. Saya amat menghargai segala usaha dan komitmen yang telah diperlihatkan oleh APM di dalam membantu meringankan beban rakyat apabila mereka menghadapi kesukaran dan bencana,” ujarnya lagi.
Selain itu, APM telah membuktikan sebagai salah satu badan yang berjaya menarik keanggotaan daripada pelbagai kaum dan menjadikannya sebagai satu model kerjasama baik antara kaum di negara ini.
“Diharap kompleks ini dapat digunakan sebaik mungkin dalam mempersiapkan penduduk Langkawi secara khususnya dengan ilmu-ilmu pertahanan awam supaya meraka dapat menjadi barisan hadapan dalam menangani sebarang kecemasan dan bencana,” tambahnya.
Manakala Ketua Pesuruhjaya APM Datuk Roslan Wahab, berkata APM kekal unggul sebagai platform kesukarelawanan negara.
“Melalui penyertaan rakyat sebagai anggota sukarela APM, mereka dapat menyumbang khidmat bakti di mana APM membuka platform bagi membina budaya sukarela dan keprihatinan,” ujarnya.
Kompleks Pejabat Daerah Pertahanan Awam Langkawi yang bernilai RM25.6 juta siap sepenuhnya dan diserahkan kepada kepada APM pada 15 Februari 2019 yang lalu dan dirasmikan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku Ahli Parlimen Langkawi.