Skip to main content
Berita TempatanHomeSelangor

Kaum India Dan Melayu Turut Sertai Kumpulan Tarian Singa

By 6 Februari 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan / Foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 7 Feb (Malaysiaaktif) – “Saya minat sangat dengan tarian singa, jadi saya ikut rakan-rakan kaum Cina untuk belajar,” demikian kata Steven Kumar a/l David, pemuda keturunan India yang menyertai kumpulan Tarian Singa Hong Teck.

Menurutnya yang tinggal di Selayang Baru dan berusia 21 tahun itu, beliau teruja melihat rakan-rakan kaum Cina yang melakukan aksi lompatan dan akrobatik setiap kali membuat persembahan.

“Saya belajar daripada seorang ‘sifu’ selama empat bulan. Kemudian saya sertai kumpulan ini membuat persembahan di merata tempat.

“Setiap kali buat persembahan, pasti ada orang yang menghampiri untuk bertanyakan sesuatu. Maklumlah orang India main tarian singa. Bagi mereka kelihatan pelik, tapi saya dah biasa,” katanya yang telah lapan tahun bersama kumpulan tarian singa.

Seorang lagi pemain tarian singa, Vaitesh a/l Suresh, 19, berkata kebiasaannya beliau bermain alat muzik (gendang) atau memakai maskot ‘Choy San Yeh’.

“Saya minat tarian ini kerana banyak berkawan dengan rakan-rakan Cina ketika di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Selayang Baru, dekat sini.

“Hari ini saya memakai pakaian maskot. Kadang-kadang saya turut bermain gendang atau membuat tarian singa,” katanya yang telah enam tahun mengikuti kumpulan tersebut.

Teruja untuk belajar tarian singa ketika melihat kawan-kawan kaum Cina membuat persembahan - Vaitesh a/l Sureh

Teruja untuk belajar tarian singa ketika melihat kawan-kawan kaum Cina membuat persembahan – Vaitesh a/l Sureh

Mereka ditemui ketika membuat persembahan tarian singa sempena sambutan Tahun Baru Cina di Selayang, semalam.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Tarian Singa, Chong Fui Dick berkata, lebih 60 orang pemain tarian singa kumpulan mereka dan terdapat kaum lain yang turut serta.

“Kumpulan kami terdapat lapan orang India dan dua orang kaum Melayu. Mereka mahir tarian singa atau bermain gendang. Cuma hari ini, orang Melayu bersama kumpulan kami yang satu lagi buat persembahan di tempat lain.

“Tarian singa ini sebenarnya bukan melibatkan keagamaan, ia hanya sebuah persembahan tarian. Semua orang boleh sertainya, kami sangat mengalu-alukan,” jelasnya.

Menurut Fui Dick, penyertaan selain kaum Cina dalam kumpulan mereka memberi kelebihan kerana ia menarik perhatian orang ramai terutama kaum Melayu dan India.

“Tidak dinafikan ia menarik perhatian penonton, ada yang teruja bergambar atau berswafoto. Jelas mengambarkan semangat perpaduan yang erat,” katanya.

 

-NAZ

Tinggalkan komen anda