Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Maia Assan Berani Serlahkan Bakat Untuk Dipamer, Dinilai

By 17 Februari 2019Tiada komen7 minit bacaan
Laporan/Foto:Fauzrina Bulka/Azman Jumat(Kota Kinabalu)

Kota Kinabalu, 17 Feb (Malaysiaaktif) – Jika anda ke Balai Seni Lukis Sabah (BSLS), pasti akan tertarik dengan foto seorang lelaki barat berambut panjang berwarna merah yang sedang duduk tersenyum.

Foto tersebut walaupun tampak ringkas tetapi paduan warna dan objek yang terpapar memang unik dan memberi banyak persoalan kepada pengunjung tentang siapa empunya diri yang dirakamkan.

Salah satu foto yang membuatkan pengunjung terpaku kerana kagum.

Salah satu foto yang membuatkan pengunjung terpaku kerana kagum.

Setelah dijelaskan oleh pemiliknya, Rufiah Gitam, 43 atau lebih dikenali dengan nama Maia Assan, lelaki barat tersebut rupanya juga seorang jurufoto, Jankrishna Dames Juxtapose yang ditemuinya sewaktu menghadiri pameran bersama Funky Street Group di Kuala Lumpur tahun lepas.

“Pada saya, Istimewanya gambar tersebut saya pilih untuk dipamerkan di BSLS kerana keunikannya serta personaliti subjek itu sendiri.

“Jika dilihat persekitarannya seolah-olah di negara luar sedangkan ianya cuma berada di dalam Malaysia sahaja.

“Jadi saya berpendapat, tidak perlu ke luar negara untuk menghasilkan imej yang unik asalkan kita berada ditempat dan dimasa yang betul,”kata Maia ramah.

Maia Assan bersama karyanya yang dipamerkan di BSLS.

Maia Assan bersama karyanya yang dipamerkan di BSLS.

Turut mempamerkan dua lagi karyanya, Maia merupakan salah seorang pempamer yang mengambil bahagian dalam Pameran Bakat-bakat Baharu untuk kali ke 16 yang dianjurkan oleh BSLS setiap tahun.

Walaupun begitu, Maia bukanlah satu nama baharu dalam bidang fotografi kerana beliau sudah mula serius semenjak 2014 lagi selepas memperoleh kamera DSLR pertamanya.

Menceritakan latarbelakangnya, Maia rupanya berasal dari Kuala Penyu dan merupakan salah seorang penjawat awam di Jabatan Kesihatan, dia mengisi masa lapang dan hujung minggunya menjadikan bidang fotografi sebagai satu hobi.

Walaupun bermula sebagai satu hobi, namun beberapa bulan selepas itu dia sedar perlunya memahami seni tersebut dengan lebih mendalam maka dia mengikuti beberapa kursus bagi meningkatkan lagi kualiti dan kreativiti.

Maia menunjukkan buku koleksi foto yang mendapat sambutan di luar negara.

Maia menunjukkan buku koleksi foto yang mendapat sambutan di luar negara.

Menurut Maia, selain daripada genre landscape, beliau juga turut mempelajari dan mula memberi perhatian kepada genre potret dengan menyertai aktiviti-aktiviti yang dianjurkan bersama rakan-rakan fotografi dalam genre ini, serta mengikuti beberapa bengkel genre portraiture termasuk post-processing dan komposisi potret.

“Saya juga telah menambahbaik peralatan fotografi saya dengan membeli beberapa lens yang bersesuaian dengan genre yang saya ceburi kemudian saya berjinak-jinak dalam genre seni foto jalanan sehingga sekarang.

“Amat penting bagi saya untuk cuba memahami dan mengikuti perkembangan semasa, supaya karya saya sentiasa berkembang dan mengikuti perubahan dari masa ke semasa.

“Sekiranya ada permintaan, saya juga membuat perkhidmatan mengambil foto majlis-majlis perkahwinan, pertunangan, majlis akikah dan majlis-majlis keramaian yang lain,”kata Maia yang aktif menyertai beberapa pameran di dalam dan di luar negara.

Buku koleksi foto-foto yang dirakam sepanjang karier fotografinya.

Buku koleksi foto-foto yang dirakam sepanjang karier fotografinya.

Tambahnya, perlu bagi seseorang jurufoto untuk menyertai pameran dan mempamerkan karya mereka kerana ia salah satu cara untuk menunjukkan hasil dan bakat seorang jurufoto.

“Saya mula melibatkan diri dalam aktiviti pameran sejak tahun 2015 yang dianjurkan oleh Street 2 Street (S2S) di Matic, Kuala Lumpur sebanyak tiga kali dan sekali dalam tahun 2015 di World Travel Photo Exhibition 2015 – Waterworld Langkawi, Kedah.

“Pada akhir tahun 2015, saya telah menyertai pameran foto terbesar MOTOYUK di Jakarta, Indonesia dengan menghantar lima karya, namun hanya sekeping sahaja yang melepasi piawaian mereka.

“Walaupun begitu, saya berpuas hati kerana karya saya antara yang melepasi piawaian ketat mereka dan menjelaskan juga karya kita sudah mencapai tahap mana, tambahan pula saya satu-satunya wakil Malaysia yang dijemput sebagai pempamer ketika itu,”katanya.

Antara sijil penyertaan milik Maia.

Antara sijil penyertaan milik Maia.

Kemudian, penyertaan pameran fotonya berterusan sehinggalah 2018 dimana beliau telah menyertai Pameran Wanita Sabah yang dianjurkan oleh BSLS.

Selain pameran, Maia juga menyertai beberapa pertandingan fotografi tempatan untuk menimba pengalaman dan menguji kebolehan tentang kefahaman tentang pertandingan.

Dia turut memenangi beberapa anugerah selepas menghantar karyanya di dalam media sosial untuk dipertandingkan selain diterbitkan oleh media secara atas talian selain turut menghasilkan dua buah buku yang mengandungi koleksi foto-foto sepanjang karier fotografinya.

“Sebenarnya kita beruntung kerana rata-rata Sabah mempunyai banyak tempat-tempat menarik untuk dirakamkan seperti di Semporna, Kundasang atau Kota Belud.

Bangunan Konservasi Balai seni Lukis Sabah

Bangunan Konservasi Balai seni Lukis Sabah

“Selain faktor bentuk mukabumi serta keterbukaan orang kita yang tidak kisah jika foto mereka dirakamkan, kita juga beruntung kerana mempunyai etnik yang pelbagai dan unik di Sabah.

“Pengalaman yang paling saya tidak dapat lupakan ialah ketika berada di Semporna, kerana saya perlu berendam di lautan sehingga paras leher hanya untuk mendapatkan shot yang cantik merakamkan keluarga suku Bajau Laut yang tinggal di atas bot,”ujar Maia.

Mengulas mengenai BSLS, katanya ia merupakan satu tempat yang berprestij dan unggul untuk mempamerkan bakat dan seni anak-anak bumiputera negeri Sabah.

Ini kerana, selepas Maia menyertai bengkel dan taklimat foto yang dianjurkan oleh BSLS pada 2017 serta pameran jurufoto terkenal Amri Ginang, menurutnya saat itulah timbulnya kesedaran dan pengetahuan tentang peluang yang telah diberi oleh BSLS kepada artis-artis muda dan baharu untuk mempamer dan berkongsi hasil karya tidak mengira genre dan bidang yang diceburi.

Ruangan BSLS yang selesa, besar untuk mempamerkan karya antara faktor menarik pengunjung ke sini.

Ruangan BSLS yang selesa, besar untuk mempamerkan karya antara faktor menarik pengunjung ke sini.

“Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada kurator Jennifer P. Linggi kerana telah membuka dan memberi ruang dan peluang kepada bakat-bakat baharu tanahair untuk mempamer dan berkongsi hasil seni yang kadang-kadang tidak ramai yang tahu dan sedar tentang perkembangan kesenian dalam negeri.

“Saya amat bertuah kerana telah diberi ruang dan peluang dalam Pameran Bakat-Bakat Baharu kali ini kerana saya boleh mengadaptasi dan meluahkan perasaan melalui lukisan cahaya yang saya hasilkan.

“Saya telah menjadikan seni fotografi ini sebagai terapi dan sebagai menghargai kenikmatan dan keindahan yang Allah yang telah kurniakan kepada sekian umat-Nya dan terus ingat bahawa ciptaan-Nya itu amat indah dan magis,”luahnya yang turut berkongsi karyanya di laman sosial Facebook dan Instagram.

Maia juga berharap dan akan berusaha membawa hasil seninya ke peringkat lebih tinggi dan akan membawa nama negeri Sabah sekaligus Malaysia ke peringkat yang boleh dibanggakan.

Ruangan BSLS yang selesa, besar untuk mempamerkan karya antara faktor menarik pengunjung ke sini.

Ruangan BSLS yang selesa, besar untuk mempamerkan karya antara faktor menarik pengunjung ke sini.

Dalam pada itu, Jennifer yang juga Pengarah BSLS menjelaskan pihaknya banyak membantu para karyawan dengan menyediakan ruang mereka sendiri untuk mempamerkan karya masing-masing.

Katanya juga, BSLS telah menyusun beberapa bentuk pameran yang boleh disertai sepanjang tahun mengikut peringkat dan tahap karyawan dan yang menariknya mereka boleh menjual karya mereka secara terus kepada pengunjung.

“Jika kita ke tempat luar, mereka tidak dibenarkan untuk menjual karya mereka dalam tempoh 6 bulan dan mereka perlu tandatangani kontrak untuk mempersetujui syarat tersebut.

“Malahan sebaliknya pada pendapat saya, balai seni adalah satu tempat yang baik untuk artis mempamerkan karya mereka dan pelawat yang datang juga pasti tertarik untuk membeli kerana susunan yang teratur serta ruang yang luas.

Jennifer P. Linggi

Jennifer P. Linggi

“Kepada pengumpul yang baharu mula mencari bahan untuk dijadikan koleksi, Pameran Bakat-Bakat Baharu ini adalah masa yang sesuai untuk mereka kerana harga yang diletakkan sangat berpatutan,”katanya.

BSLS juga turut menganjurkan pertandingan Karya Pilihan yang dibuat secara terbuka untuk artis yang sudah lama dalam industri ini, dan ia juga tempat pertemuan mereka untuk saling berkongsi aktiviti dan karya terkini.

“Polisi kami ialah, karya yang ingin dipamerkan perlulah karya yang terkini sebagai satu galakan kepada artis agar terus berkarya dan kedua-dua pameran tersebut akan dilancarkan pada 19 Februari ini,”katanya.

Menurut Jennifer, Sabah juga merupakan negeri pertama yang menganjurkan Pameran untuk Karya Wanita kerana beliau dapati dalam setiap pameran yang dianjurkan, rata-rata peserta adalah lelaki.

Ruangan BSLS yang selesa, besar untuk mempamerkan karya antara faktor menarik pengunjung ke sini.

Ruangan BSLS yang selesa, besar untuk mempamerkan karya antara faktor menarik pengunjung ke sini.

“Mungkin ini disebabkan oleh kekangan pada wanita yang sudah berkahwin untuk membahagikan masa antara keluarga, kerja hakiki dan juga hobi.

“Kerana itu juga kami lakukan ini untuk kali ke 12, dan saya berbangga untuk meletakkan bilangan tahun anjuran kerana kebanyakan negara jarang sekali dapat menganjurkan sesuatu pameran melebihi 10 tahun.

“Malahan untuk Pameran Karya Tahunan itu juga sudah mencapai kali ke 34 pada tahun ini, dan sebenarnya saya tidak menyedari hal tersebut hingga kehadiran kurator daripada Bandung, Jakarta dan Singapura yang mengagumi usaha yang dilakukan,”katanya.

Jennifer turut mengagumi semua bakat-bakat seni di Sabah yang semakin berani untuk membuat pameran sendiri di luar mungkin kerana dipengaruhi daripada media sosial dan perkongsian maklumat yang juga lebih pantas.

Ruangan BSLS yang selesa, besar untuk mempamerkan karya antara faktor menarik pengunjung ke sini.

Ruangan BSLS yang selesa, besar untuk mempamerkan karya antara faktor menarik pengunjung ke sini.

Mengulas karya Maia juga, Jennifer turut terpesona dengan karyanya yang mempunyai pengaruh luar negara sedangkan ianya hanya dirakam secara kebetulan di beberapa tempat di Malaysia.

“Saya menjangkakan karya Maia sebenarnya milik warga luar yang datang menetap di sini kerana personaliti dan kualiti yang di lihat dalam fotonya berbeza dengan yang biasanya kita rakamkan.

“Karyanya bagi saya timeless, kerana kita tidak dapat jangka tahun bila dan di negara mana dirakamkan dan saya cadangkan agar Maia cuba hantar karyanya dalam pertandingan anjuran National Geographic, mungkin ada tuah,“ujarnya.

Jennifer juga turut berharap agar semua media cetak khususnya di Sabah mempunyai ruangan khas untuk Seni dan Budaya tidak kira cabang seperti yang diberikan kepada ruangan sukan.

Ruangan BSLS yang selesa, besar untuk mempamerkan karya antara faktor menarik pengunjung ke sini.

Ruangan BSLS yang selesa, besar untuk mempamerkan karya antara faktor menarik pengunjung ke sini.

“Ini kerana Seni dan Budaya juga memberi banyak sumbangan kepada negeri dan negara kita kerana kita mempunyai banyak keistimewaan yang dapat di tonjolkan.

“Ruangan itu nanti diharap dapat membantu artis kita sekali gus memberi mereka dorongan apabila mereka tahu masyarakat sedia maklum mengenai bakat mereka.

“Jika media cetak dapat bantu menonjolkan para artis ini diharap tradisi tersebut sentiasa berterusan kerana ia sudah dikenali disamping dapat menyimpan sejarah kerana kita tidak tahu jika seni dan budaya tersebut akan bertahan beberapa tahun lagi.

“Apa yang pasti semua hasil dan karya dapat didokumenkan sebagai rujukan suatu hari nanti sebelum ia lenyap kerana kita turut risau akan generasi sekarang yang mudah terpengaruh dan mengagungkan budaya luar,”harapannya.

EM

 

Tinggalkan komen anda