Skip to main content
HomeLabuan

Kenduri Rakyat Pacu Elemen Perpaduan Rakyat Labuan

By 17 Februari 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian

LABUAN, 17 Feb (Malaysiaaktif) – Program Kenduri Rakyat menjadi salah satu elemen penting dalam memacu perpaduan dan kestabilan sosial khususnya dalam kalangan warga Labuan.

Menurut Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad, Program itu menjadi landasan kepada Kementerian untuk menzahirkan keseimbangan pembangunan modal insan warga Wilayah Persekutuan melalui pengisian aktiviti yang melibatkan penyertaan komuniti.

“Saya dapat lihat kerjasama serta perpaduan komuniti Labuan berganding bahu, merewang serta memasak beramai-ramai dan membuat penyediaan aktiviti-aktiviti lain bagi membangkitkan suasana kenduri dalam suasana yang cukup harmoni.

Khalid (duduk tengah) mencuba sendiri juadah yang disediakan komuniti India di Labuan.

Khalid (duduk tengah) mencuba sendiri juadah yang disediakan komuniti India di Labuan.

“Penganjuran Kenduri Rakyat Wilayah Persekutuan 2019 ini memberi peluang kepada semua warga Wilayah Persekutuan khususnya komuniti Labuan untuk merasai kemeriahan suasana kenduri yang semakin dilupakan pada masa kini.

“ Menjamu selera dengan menu yang dimasak sendiri secara bergotong royong oleh komuniti dapat menghidupkan kembali budaya tradisi zaman datuk nenek kita dahulu yang semakin luntur ditelan zaman,” katanya semasa merasmikan Kenduri Rakyat Wilayah Persekutuan Labuan Tahun 2019 baru baru ini.

Beliau berharap sambutan Hari Wilayah Persekutuan Tahun 2019 ini menjadi satu permulaan yang baik kepada usaha pihak kerajaan mendapatkan sokongan daripada semua komuniti Labuan serta warga Wilayah Persekutuan.

“Dalam apa jua program atau inisiatif yang dilaksanakan, kita harus terus memupuk dan menyemai dengan taburan baja keharmonian bagi membuahkan hasil kemakmuran dengan pembangunan yang cemerlang,” jelasnya.

Persembahan Tarian Singa turut memeriahkan Kenduri Rakyat Wilayah Persekutuan Labuan Tahun 2019

Persembahan Tarian Singa turut memeriahkan Kenduri Rakyat Wilayah Persekutuan Labuan Tahun 2019

Beliau turut menghargai kerjasama yang diberikan oleh Jawatankuasa Masjid dan Surau, jabatan kerajaan, badan-badan bukan Kerajaan, rukun tetangga serta Dewan-Dewan Perniagaan yang sentiasa bersedia menghulurkan tangan untuk bersama-sama Kementerian dalam menyokong segala usaha yang dilaksanakan oleh Kerajaan khususnya.

“Tidak saya lupakan kepada syarikat korporat yang melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka melalui program kenduri ini iaitu PETRONAS yang telah menyumbangkan gas memasak dan apron serta pihak PEKEMA yang menyumbangkan bantuan persekolahan melalui program Back to School yang akan turut disampaikan pada malam ini,” katanya.

EM

Tinggalkan komen anda